Arkib Tag: shell recharge

Shell dan Porsche bekerjasama untuk buka pengecas EV prestasi tinggi di Genting Highlands

GENTING Highlands merupakan salah satu destinasi percutian tetapi untuk pemandu kereta elektrik (EV) mungkin ada ‘halangan’ kerana perlu mendaki bukit, dan terdapat kerisauan isu pengecasan bateri.

Namun, ini tidak akan menjadi masalah lagi di masa depan kerana Shell Recharge mendedahkan perancangan mereka untuk membina stesen pengecasan prestasi tinggi (HPC) 360kW.

Dengan kerjasama bersama Porsche Malaysia dan Genting Malaysia Berhad, projek itu akan menempatkan 10 ruang pengecasan bagi memudahkan lagi akses kenderaan EV ke pusat percutian tanah tinggi itu.

Ini juga akan menjadi penambahan terbaharu bagi 136 lokasi pengecasan Shell Recharge EV sedia ada di seluruh negara, yang juga menghubungkan Singapura, Malaysia, dan Thailand.

“Tidak lama lagi, pemilik EV seluruh negara dan luar negara boleh memandu naik ke resort ini (Genting Highlands) tanpa kerisauan jarak (range anxiety), mendapatkan pengalaman pemanduan tanpa risau dengan rangkaian Shell Recharge kami,” kata Seow Lee Ming, Pengurus Besar Shell Mobility Malaysia.

Sementara itu, CEO Sime Darby Auto Performance, Christopher Hunter pula berkata: “Kerjasama kami dengan Shell Recharge menunjukkan komitmen kami dalam membolehkan pemanduan jarak jauh dan merentasi sempadan dengan EV, menghubungkan tiga negara – Thailand, Malaysia, dan Singapura.

“Kami teruja untuk memudahkan lagi pengalaman pengecasan bagi pemilik-pemilik Porsche Taycan, serta model-model elektrik Porsche yang lain (akan datang), dengan adanya Shell Recharge 360kW di Resorts World Genting,” tambah Christopher.

Apabila siapnya 10 pengecas itu, pemilik EV mampu mengecas kenderaan mereka dari 5 hingga 80 peratus dalam masa kira-kira 20 minit sahaja.

Dari kesemua 10 stesen pengecas itu, empat darinya adalah terdiri dari pengecas prestasi tinggi 360kW dan baki empat stesen bagi pengecas AC 22kW. Kesemua pengecas bakal didatangkan dengan penghubung jenis CCS Type 2.

Berita lebih baik dan penting juga, Shell Recharge kini dalam fasa peralihan ke arah mekanisma harga mengikut kilowatt-hour (kWh).

Pelanggan pengecas AC mendapat kadar pengecasan baharu ini bermula 1 November lepas manakala pelanggan pengecas pantas DC bakal menikmati kadar baharu bermula 15 Disember.

Shell Recharge mengekalkan bayaran tempahan parkir pengecas yang sama di seluruh negara, dan semua tempahan boleh dibuat menggunakan aplikasi Shell ParkEasy. Untuk maklumat lanjut mengenai Shell Recharge HPC di Genting, layari https://www.shell.com.my/motorists/shell-recharge/shell-recharge-hpc.html.

Van elektrik warga Singapura dilihat curi-curi caj di stesen DC Shell Recharge

DALAM episod Warga Singapura Buat Hal Apa Hari Ini, selepas isi ‘mencuri subsidi’ dengan mengepam petrol RON95 secara haram, kini ada hal terbaharu mereka lakukan.

Sebuah van elektrik dengan nombor pendaftaran negara itu dilihat mengecaj di stesen pengecaj pantas DC Shell Recharge di Tangkak, Johor.

Menurut gambar yang dikongsi Pak Cik Shell di laman Instagram beliau, van BYD T3 itu menggunakan kemudahan itu secara haram.

Shell Recharge merupakan fasiliti mengecaj kenderaan elektrik berbayar. Anda perlu membayarnya terlebih dahulu menggunakan aplikasi ParkEasy sebelum penghadang di petak parkir diturunkan.

Dari gambar yang dikongsi, van tersebut tidak diparkir dengan betul dengan penghadang masih belum diturunkan, menandakan ia dicaj secara curi-curi.

Fasiliti Shell Recharge mengenakan bayaran pengesahan RM4, dan RM20 untuk setiap lima minit bagi 25 minit pertama. Kemudian caj bertukar kepada RM20 untuk setiap lima minit seterusnya.

Ini bermakna anda akan dikenakan caj RM244 sejam tanpa henti untuk penggunaan biasa.

Shell Recharge merupakan jaringan pengecas pantas yang disediakan di sepanjang laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dengan dua lokasi permulaan yang terletak di Shell Tangkak Lay-by (arah Selatan) dan Shell R&R Pagoh (arah Selatan).