Arkib Tag: sewa

Kadar sewa Litar Antarabangsa Sepang naik bermula 1 April

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) mengesahkan mereka akan menaikkan kadar sewa litar tersebut sebanyak 45 peratus berkuat kuasa 1 April.

Dengan kadar baharu itu, sewaan trek pada hari biasa untuk sesi siang akan meningkat 27 peratus daripada RM55,000 kepada RM70,000, manakala hari hujung minggu naik 32 peratus daripada RM60,500 kepada RM80,000.

Untuk sesi malam pula, kadar sewa pada hari biasa meningkat 41 peratus daripada RM55,000 kepada RM78,000, manakala hari hujung minggu naik 45 peratus daripada RM60,500 kepada RM88,000.

Harga-harga yang disebutkan termasuk bantuan pegawai teknikal dan perubatan, ambulans dan kenderaan pemadam kebakaran, pencuci dan kakitangan keselamatan serta akses kepada kemudahan yang berkaitan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, kenaikan harga itu adalah bagi memastikan litar bertaraf gred satu FIA itu terus beroperasi dengan “standard tertinggi”.

“Sebagai sebahagian daripada komitmen SIC untuk mengekalkan standard tertinggi dalam kemudahan dan perkhidmatan, kami telah mengumumkan pelarasan harga sewa litar dan kemudahan kami yang akan berkuat kuasa pada 1 April 2024,” kata Shafriman.

“Keputusan ini adalah penting untuk mempertahankan kualiti kemudahan kami, meningkatkan perkhidmatan dan memudahkan penambahbaikan berterusan yang akan menyumbang kepada pengalaman pelanggan yang lebih baik,” tambah beliau.

Kenaikan harga ini sudah dijangka sejak Januari tahun lalu apabila Shafriman menyatakan bahawa ia tidak dapat dielakan berikutan peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan. SIC tidak pernah menaikkan harga sewaannya sejak 2013.

Kos operasi makin tinggi, Litar Antarabangsa Sepang mungkin akan naikkan kadar sewa

KADAR sewa Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mungkin akan dinaikkan bagi menampung kenaikan kos operasi dan penyelenggaran yang telah mengurangkan margin keuntungan litar itu, lapor New Straits Times.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman mendedahkan bahawa kadar baharu bagi sewaan litar itu berkemungkinan akan berkuat kuasa mulai pertengahan tahun ini.

“Pasukan SIC masih membuat semakan secara keseluruhan tetapi paling awal mungkin menjelang pertengahan tahun atau suku ketiga tahun ini, jika tidak tahun depan,” kata beliau.

Perlumbaan terakhir F1 di Sepang pada 2017. Gambar oleh: The Independent

Tambah Shafriman lagi, sudah 10 tahun kadar sewa litar Sepang tidak disemak. Kadar semasa adalah RM55,000 sehari untuk hari minggu dan RM65,000 untuk hujung minggu.

“Kos kami telah meningkat dua atau tiga kali ganda dan kami tidak dapat bertahan dengan kadar semasa kerana margin kami sangat tipis. Ini termasuk kos seperti logistik untuk membawa peralatan masuk dan keluar dari trek, kos pembersihan dan juga landskap.

“Kami berterima kasih kepada pelanggan sedia ada kami yang telah menyokong kami selama ini tetapi mereka perlu memahami bahawa semua orang telah terjejas dengan peningkatan kos,” katanya.

Menufut Shafriman, trek hampir ditempah sepenuhnya untuk sesi hujung minggu namun slot untuk hari minggu masih tersedia.

Antara acara besar yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang tahun ini termasuk Grand Prix MotoGP Malaysia Petronas, ujian musim sejuk MotoGP, Kejohanan Superbike Malaysia, Malaysia Championship Series dan Sepang 1000km.