Arkib Tag: sempadan

Pintu sempadan dibuka, jumlah kenderaan dijangka meningkat

PEMBUKAAN semula sempadan Malaysia – Singapura dijangka menyebabkan berlaku penambahan kenderaan pada hujung minggu ini.

Menteri Pengangkutan berkata, keadaan itu juga ditambah dengan pengecualian caj jalan dan tol selama seminggu.

Datuk Seri Wee Ka Siong menambah, kedatangan bulan Ramadan dan Hari Qing Ming juga menyebabkan rakyat kedua negara melakukan perjalanan rentas sempadan.

“Pengecualian ini menggalakkan mereka yang lama tidak balik ke Malaysia ataupun orang Singapura hendak masuk ke Malaysia.

“Seperti mana saya telah huraikan dua sambutan besar iaitu Awal Ramadan dan Hari Qing Ming.

“Secara tradisi mereka balik maklumlah dua tahun tidak boleh balik, mungkin ada yang ambil kesempatan untuk balik menziarahi kubur orang tua atau ahli keluarga,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. – Foto ihsan Malay Mail

Sementara itu, Wee turut melihat pembukaan pintu sempadan akan meningkatkan aktiviti ekonomi Negeri Johor.

“Kemasukan kenderaan akan kita lihat dari Singapura ke Johor dan ini memberi kesan yang sangat positif kepada ekonomi negeri Johor,” katanya lagi.

Bermula esok, pintu sempadan Malaysia – Singapura akan dibuka selepas kedua-dua kerajaan bersetuju untuk berbuat demikian.

Semua pintu sempadan antarabangsa melalui laluan darat, udara dan laut juga akan dibuka sepenuhnya.

Malaysia, Singapura siap sedia untuk pembukaan sempadan darat dan udara

MALAYSIA dan Singapura mengorak langkah melakukan persiapan segera bagi menyambung semula kebenaran perjalanan darat dan udara sepenuhnya kepada rakyat kedua-dua negara yang telah lengkap divaksin berikutan keadaan pandemik Covid-19 yang semakin stabil.

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Ong Ye Kung mengadakan perbincangan mengenai keadaan pandemik di kedua-dua negara di pejabatnya di sini semalam.

“Kami bersetuju keadaan sudah stail dan kami boleh mengorak langkah ke arah penyambungan semula perjalanan darat dan udara sepenuhnya untuk mereka yang telah lengkap divaksin,” kata beliau dalam hantaran di Twitternya.

“Malaysia dan Singapura berhubung semula dan #ReopeningSafely,” katanya dalam satu lagi hantaran.

Ong sedang dalam lawatan kerja tiga hari ke Malaysia bermula semalam.

Pada masa ini Malaysia melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat dan udara dengan Singapura, sebuah program permudah cara perjalanan dua hala bagi individu yang mendapat dos lengkap suntikan vaksin Covid-19.

Di bawah VTL, individu yang lengkap divaksin dari sebuah negara boleh memasuki negara lain tanpa kuarantin bergantung kepada saringan Covid-19 dan keperluan selanjutnya ditentukan oleh negara penerima.

Pada 8 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Malaysia akan membuka semula sempadan bermula 1 April ini bagi menggiatkan semula ekonomi negara, terutamanya industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik ini.