Arkib Tag: sasaran

Perodua sasar pengeluaran 265,900 kenderaan untuk 2022, tingkat pegangan pasaran kepada 40.6 peratus

PERODUA menjangkakan untuk mengeluarkan sebanyak 265,900 kenderaan iaitu 37.5 peratus lebih tinggi berbanding 193,400 kenderaan dihasilkan pada 2021.

Pengeluar yang berpangkalan di Rawang itu menjangka dapat meningkatkan bahagian pasarannya kepada 40.6 peratus tahun ini dengan mendaftarkan 247,800 kenderaan daripada sasaran jualan industri (TIV) 610,000.

Sebagai perbandingan, pegangan pasaran pada 2021 adalah 37.4 peratus.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata ramalan 610,000 TIV adalah unjuran dalaman Perodua kerana syarikat tersebut percaya pasaran mampu melepasi sasaran 600,000 TIV yang ditetapkan oleh Persatuan Automotif Malaysia.

Beliau berkata Perodua melihat jaminan daripada kerajaan bahawa langkah-langkah dalam membendung wabak Covid-19 menunjukkan kejayaan dan penutupan tidak akan berlaku lagi.

“Peningkatan dalam pengeluaran akan membawa peningkatan pembelian alat ganti automotif sumber tempatan sebanyak 41.5 peratus iaitu kepada RM7.5 bilion berbanding RM5.3 bilion yang dibeli pada 2021,” kata beliau.

Mengulas mengenai prestasi 2021, Zainal berkata tahun ini amat mencabar kerana negara dan industri utamanya terpaksa berhadapan dengan pelbagai krisis di sepanjang tahun.

Bagi 2021, Perodua menjual 190,291 kenderaan, iaitu 13.6 peratus kurang berbanding 220,163 kenderaan yang didaftarkan pada 2020.

Bencana banjir

Kelihatan sebuah kenderaan ditenggelami banjir dalam insiden tahun lalu. – Foto ihsan Malay Mail

Merujuk kepada banjir yang berlaku pada Disember dan awal Januari tahun ini, Perodua telah menerima hampir 2,103 kes banjir di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, 366 kenderaan telah dibaiki dan dikembalikan kepada pemilik masing-masing.

Kemasukan kenderaan Perodua ke pusat servisnya adalah sebagai tindakan kepada Program Bantuan Banjir Perodua yang ditawarkan syarikat itu yang terdiri daripada diskaun 50 peratus untuk alat ganti standard, kos buruh percuma untuk semua penggantian dan pembaikan serta perkhidmatan tunda percuma 24 jam melalui nombor hotline Perodua 1800-88-5555.

Perodua tingkatkan sasaran 240,000 unit untuk 2022, rancang eksport kereta terpakai ke luar negara

PERODUA kini dalam landasan untuk melepasi sasaran 200,000 unit jualan bagi tahun 2021. Kini mereka meningkatkan sasaran kepada 240,000 unit untuk 2022, iaitu tambahan 20 peratus dari tahun ini.

Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata angka 240,000 itu adalah jangkaan awal namun mereka akan berkongsi ramalan lebih tepat pada Januari 2022 depan.

Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad

Menurut Dato’ Zainal, tahun 2021 merupakan ‘tahun paling mencabar setakat ini’ dan 2022 dijangkakan menjadi ‘tahun pemulihan’.

“Kami percaya perkara buruk telah berlalu (lockdown berkaitan Covid-19) dan insya-Allah, walaupun ada risiko lain dalam pasaran, kami melihat 2022 sebagai tahun pemulihan,” katanya kepada para media dalam sesi pandu uji Myvi facelift di Johor Bahru.

“Jualan kenderaan dijangka meningkat dalam tempoh enam bulan pertama 2022 kerana pembeli mahu mendapat manfaat dari insentif pengecualian cukai oleh kerajaan,” katanya.

Angka 240,000 sebenarnya sasaran jualan Perodua untuk 2020 sebelum berlakunya Covid-19 dan memaksa mereka mengubah semula sasaran kepada 210,000.

Sasaran sama ditetapkan untuk 2021, tetapi masalah lain pula berlaku seperti lockdown dan isu-isu bekalan komponen menyebabkan angka sasaran diturunkan kepada 214,000.

Mungkin mereka dapat mencapai 240,000 untuk 2022? Sama-sama kita lihat.

Eksport kereta terpakai ke luar negara

Jadi, dengan sasaran jualan yang tinggi dan menjadi antara jenama paling popular di Malaysia, sudah tentu terdapat lambakan kenderaan Perodua di sini.

Bagi membolehkan pelanggan menaik taraf atau menukar kereta lama mereka kepada kenderaan baharu, Perodua mempunyai saluran untuk berbuat demikian iaitu Perodua Pre-Owned Vehicle (POV).

Jadi, apa berlaku kepada kenderaan terpakai yang tidak habis dijual? Ada sebarang cara pelupusan?

Perodua Myvi S-Edition di Brunei. Sumber: Motoqar

Menariknya, Dato’ Zainal berkata, “Kami sedang melihat kepada kemungkinan untuk mengeksport kereta-kereta terpakai ini ke luar negara.”

“Saya tidak boleh umumkan lagi negara mana, tetapi kami masih mengkaji, malah telah menghantar beberapa unit kereta untuk ujian dan penilaian.”