Arkib Tag: rim

Rim Bridgestone Super R.A.P. dijelmakan semula sebagai Evo

SEKALI pandang, rim Mazda MX-5 (atau Miata) di atas nampak tidak ubah seperti rim kompang Perodua Axia yang dicat putih.

Tapi takkan lah kereta cantik macam Miata pakai rim kompang je? Sebenarnya ia adalah rim Bridgestone Super R.A.P. yang diperbuat daripada aluminium aloi. Bukan calang-calang punya rim ni!

Untuk pengetahuan anda, rim Super R.A.P. diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1987 sebagai rim yang ideal untuk pertandingan.

Tahun ini, ia dihasilkan semula dengan nama Super R.A.P. Evo sempena ulang tahun ke-60 penglibatan Bridgestone dalam sukan permotoran.

Menurut Japanese Nostalgic Car, rim Super R.A.P. Evo membuat kemunculan pertamanya di Tokyo Auto Salon pada Januari lalu namun ketika itu ia masih dalam peringkat prototaip.

Bridgestone pada masa itu sedang membuat tinjauan untuk melihat PCD dan saiz yang patut dihasilkan. Sambutan yang diberikan sangat menggalakkan dengan lebih 3,000 respons diterima.

Kini, rim Super R.A.P. Evo telah pun memasuki pasaran Jepun dalam saiz 15 inci, lebar 7.0J dan 7.5J, serta dua pilihan PCD iaitu 4×100 untuk MX-5/Miata/Roadster dan 4×114.3 untuk kereta-kereta lain. Harga bermula dari 48,000 yen (RM1,555) untuk PCD 114.3 dan 49,000 yen (RM1,587) untuk PCD 100.

Tetapi kenapa rim Super R.A.P. mempunyai rekaan seperti rim kompang? Rim ini asalnya direka untuk rali dan gymkhana, jadi lubang-lubang kecil yang anda lihat ini dikatakan dapat melindungi komponen brek dari batu dan lumpur lebih baik berbanding jejari.

Apa yang menarik, rim Super R.A.P. yang asal boleh didapati dalam saiz 13 dan 14 inci sebelum saiz 15 inci diperkenalkan di pasaran. Ia juga menggunakan binaan two piece berbanding Evo yang merupakan rim jenis one piece.

Bukan itu sahaja, Super R.A.P. yang asal yang juga boleh didapati dalam warna merah selain warna putih Racing Pearl White ini.

Kereta rosak jalan berlubang, lelaki menang saman RM2,980 terhadap majlis perbandaran

SEORANG lelaki memenangi tuntutan pampasan hampir RM3,000 terhadap sebuah majlis tempatan selepas keretanya mengalami kerosakan akibat jalan berlubang.

Fahrurrazi Hamid membawa tuntutan terhadap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) ke mahkamah untuk mendapatkan pampasan bagi dua tayar dan empat rim tayar.

Gambar hiasan. Sumber: Carthrottle

Mahkamah berpihak kepadanya dengan memerintahkan MPKj menyelesaikan tuntutan sebanyak RM2,980, merangkumi kos empat rim (RM1,800), satu tayar (RM800), ruang pelaras (RM180), dan caj tunda (RM200).

Ketika Fahrurrazi memandu pada waktu malam di Jalan Sungai Long berhampiran Taman Perniagaan Budiman pada September 2020, keretanya melanggar lubang pada jalan, menyebabkan tayar dan rim kiri belakang keretanya rosak.

Keesokan harinya, selepas gagal mencari rim dengan reka bentuk yang sama, beliau terpaksa menggantikan keempat-empat rim dan dua tayar dengan kos keseluruhan RM3,580.

Beliau memfailkan tuntutan terhadap MPKj dan hanya ditawarkan RM1,430 daripada Takaful Malaysia Berhad, syarikat insurans majlis tempatan itu, sebagai pampasan bagi kos satu tayar dan satu rim.

Selepas permintaan untuk jumlah disemak ditolak, beliau membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna tetapi dimaklumkan bahawa tribunal itu tidak mempunyai bidang kuasa berhubung perkara itu.

Beliau kemudian memfailkan tuntutan kecil di Mahkamah Majistret Kajang dan perbicaraan berlangsung pada 15 Julai tahun ini.

Mewakili dirinya di mahkamah, Fahrurrazi menjelaskan mengapa beliau terpaksa menggantikan keempat-empat rim itu dengan kos RM450 bagi setiap rim terpakai.

Katanya, beliau tidak menemukan rim dengan reka bentuk serupa untuk menggantikan rim yang rosak dan rim terpakai juga lebih murah berbanding membeli empat rim baharu, yang berharga RM687.50 setiap satu, atau RM2,750 bagi kesemuanya.

MPKj yang diwakili penolong pegawai undang-undang Muhidin Mahmud menyatakan pihaknya telah mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelenggara semua jalan bawah bidang kuasanya dan menafikan liabiliti.

Beliau mendakwa, pemanduan melulu Fahrurrazi menjadi punca kejadian, seperti yang terbukti dengan rim dan tayar yang rosak.

Muhidin juga menyatakan bahawa tuntutan penggantian keempat-empat rim adalah pengayaan yang tidak adil kerana hanya satu rim yang rosak.

Majistret Noor Firdaus Rosli memutuskan MPKj bertanggungjawab sepenuhnya atas kerosakan yang dialami kereta Fahrurrazi.

“Melihat gambar daripada plaintif, memang wujud lubang,” katanya sambil menambah, jelas bahawa jalan itu tidak diselenggara dengan baik.

“Mengenai sama ada plaintif menyumbang kepada kerosakan itu, dapatan saya adalah negatif. Kejadian berlaku pada waktu malam, dan mana-mana orang munasabah tidak boleh diharapkan untuk menyedari dan mengubah haluan kenderaan mereka untuk mengelak lubang itu,” kata Noor Firdaus.

Mengenai hujah yang dikemukakan oleh MPKj bahawa wujud unsur pengayaan yang tidak adil dalam menggantikan keempat-empat rim, majistret berkata, tidak masuk akal jika kereta boleh dipasang rim berbagai-bagai reka bentuk.

Memetik Kertas Teknikal SAE bertajuk “Kesan reka bentuk roda pada seretan aerodinamik kenderaan penumpang” yang diterbitkan tiga tahun lepas, Noor Firdaus berkata: “25 peratus daripada seretan aerodinamik kenderaan disebabkan oleh rodanya, dan mencadangkan sesebuah (kenderaan) untuk dipasang rim berbagai-bagai reka bentuk hanya akan mengundang akibat (buruk) yang tidak dijangka, selain daripada hakikat bahawa (perkara ini) tidak pernah dibuat, sekurang-kurangnya oleh mana-mana individu yang munasabah.”

Sebaliknya, majistret tidak membenarkan tuntutan tayar tambahan itu kerana ia tidak mempunyai justifikasi.

Saman Fahrurrazi terhadap Takaful Malaysia turut dibuang kerana telah ditentukan bahawa tiada hubungan undang-undang antara beliau dan syarikat itu.

Gah! Toyota Land Cruiser Jepun terima ‘sentuhan’ Modellista

PASARAN automotif Jepun menyaksikan kemunculan pertama Toyota Land Cruiser 300 baharu selepas diperkenalkan, Jun lalu.

Didatangkan dengan varian GR Sport, model ini dilengkapi aksesori menarik daripada Modellista.

Saiz yang begitu besar membuatkan model ini kelihatan begitu ‘gah’. – Foto ihsan Toyota

Antara kelebihan Toyota Land Cruiser 300 baharu termasuk tambahan spoiler hadapan, ruang bukaan udara serta kemasan krom dan hiasan jalur hitam pada fender.

Selain itu, Toyota Land Cruiser 300 baharu juga mempunyai skirting tambahan pada bampar belakang yang mempunyai kemasan seakan diffuser.

Para pelanggan juga diberi pilihan untuk melakukan penambahan aksesori lain seperti spoiler, plet krom dan paling utama, rim 21 inci!

Bahagian belakang Land Cruiser 300 yang sangat menawan. – Foto ihsan Toyota

Berikut antara beberapa aksesori lain yang terdapat pada Toyota Land Cruiser 300:-

  • Lampu kaki penumpang
  • Panel besi tepi pintu,
  • Pelekat cermin cahaya infra-red
  • Lampu but

Bagaimanapun, Toyota Land Cruiser 300 versi global tidak mempunyai spoiler, hiasan fender dan lampu tambahan bahagian dalam.

Bahagian rekaan rim juga agak berlainan bagi unit pasaran global yang mana ia juga didatangkan dengan dua warna sama ada hitam atau perak.

Ruang bagasi Land Cruiser 300. – Foto ihsan Toyota

Hobi kayangan, ketahui 10 rim termahal di dunia

TERDAPAT pelbagai jenis rim di pasaran sama ada meliputi harga mampu milik atau sekadar mampu tengok.

Di Malaysia sahaja, terdapat ratusan ribu jenis rim kereta aftermarket di pasaran dengan pelbagai harga ditawarkan.

Harga rim bukan sahaja bergantung kepada jenama malah, diukur dengan kualiti serta reka bentuknya.

Artikel kali ini jom kita lihat antara rim yang dikatakan termahal di dunia!

10 jenis rim termahal di dunia

Menerusi pencarian di alam maya terdapat beberapa rim disenaraikan sebagai paling mahal di dunia.

Berikut antara 10 rim paling ‘wow’ untuk tatapan anda!

Vossen Novitec NV1

Rim Vossen Novitec NV1 merupakan antara rim termahal di dunia yang mana ia dijual sekitar $10,000 atau bersamaan RM42,000.

Antara keistimewaan rim ini bukan sahaja warnanya malah, ketahanan menerima tekanan ketika kenderaan dipandu laju.

Asanti AF 862

Asanti AF 862 terkenal di kebanyakan negara Eropah.

Rim ini dijual sekitar $14,400 atau RM60,000 sekaligus menjadikan ia antara termahal di dunia.

Selain kelihatan premium, rim Asanti juga hadir dengan pelbagai reka bentuk unik yang sesuai dipadankan dengan kereta mewah.

GFG Forged Wheels

Kebanyakan pemilik kereta sports seperti Ferrari dan Lamborghini pasti pernah mendengar nama rim ini.

Sejak 1997, GFG mula dikenali apabila rim keluaran syarikat ini mendapat permintaan tinggi daripada pemilik kereta mewah.

GFG mendakwa terdapat jutaan pemandu telah memilih menggunakan rim keluaran mereka.

Setakat ini, harga rim dipasarkan GFG adalah sekitar $15,200 atau RM63,000!

Savini SV42

Keistimewaan Savini bukan sahaja terletak pada reka bentuknya semata-mata.

Rim keluaran syarikat asal Itali ini dikatakan amat ringan kerana diperbuat daripada aluminium T6.

Harga dijual di pasaran adalah $16,000 (RM66,000).

Lexani Forged

Rim keluaran Lexani boleh didapati pada kebanyakan kereta mewah seperti Bentley dan Rolls Royce.

Anda yang berminat boleh mendapatkan rim ini pada harga $16,400 atau RM68,000.

Forgiato Basamento

Adakah anda memandu jenis kenderaan pacuan empat roda atau utiliti sukan (SUV)?

Jika ya, rim Forgiato boleh dimasukkan dalam senarai check list.

Forgiato terkenal sebagai jenama rim bersaiz besar dari negara Uncle Sam.

Harga rim Forgiato Bsamento dijual sekitar $18,400 atau RM76,000.

Mercedes-Benz G Wagon with Forgiato Estremo

Forgiato Estremo dijual pada harga $22,800. Harga tersebut bersamaan RM94,000!

Rim ini diperbuat daripada aluminium berkualiti tinggi sama seperti yang terdapat pada sesebuah pesawat.

Nutek 708 Series R8 Concave

Nutek amat istimewa kerana setiap rim dihasilkan adalah hasil garapan idea pemilik syarikat itu sendiri.

Selain unik, rim keluaran Nutek memiliki pelbagai warna menarik mengikut cita rasa pembeli.

Harga rim Nutek dijual sekitar $24,000 atau RM99,000!

Vossen VLE-1

Rim VLE-1 keluaran Vossen pernah dijual pada harga $40,000 atau RM165,000!

Pada 2014, Vossen telah membekalkan lebih 20 set rim VLE-1 kepada beberapa pembekal tanpa sebarang maklumat harga.

Apa yang terjadi, salah satu daripada pembekal itu telah memasarkan rim berkenaan di alam maya pada harga $40,000.

Namun, tidak dapat dipastikan adakah rim tersebut berjaya dijual atau sebaliknya.

Asanti Diamond

Rim Asanti Diamond didatangkan dengan perhiasan berlian mengikut cita rasa pembeli.

Individu berminat mendapatkan rim ini boleh memilih jenis berlian yang ingin diletakkan pada rim tersebut.

Asanti Diamond boleh didapati pada harga $1,000,000 atau RM4,125,500.00!

Demikian antara list rim kereta termahal di dunia.

Kesimpulannya, tidak dinafikan rim memainkan peranan penting dalam menentukan ‘seri’ sesebuah kereta.

Namun, nasihat kami dalam asyik ‘melayan’ kehendak, jangan sampai dapur tidak berasap sudah.

#HobiKamiMahal