Arkib Tag: RE:GENERATE x Universiti Malaya

Bateri EV BMW diberi hayat kedua, bantu bekalkan elektrik kepada komuniti Semai

BMW Group Malaysia dan Universiti Malaya (UM) memasang sistem penyimpanan tenaga solar menggunakan bateri EV BMW terpakai di Kampung Saweh, Pos Sinderut, Kuala Lipis, Pahang.

Projek menerusi kerjasama penyelidikan RE:GENERATE x Universiti Malaya itu membolehkan 20 isi rumah komuniti Orang Asli suku Semai menikmati bekalan elektrik 24 jam buat pertama kali.

Sebelum ini, penduduk bergantung pada generator petrol dan diesel selama kira-kira empat jam setiap malam.

Dengan kos sekitar RM10 sehari bagi setiap rumah, penggunaannya tertumpu kepada lampu dan kipas.

30 modul bateri diberi hayat kedua

Sistem baharu ini dibangunkan oleh Profesor Madya Dr. Tan Chia Kwang bersama pasukan penyelidik UMPEDAC.

Pemasangan berlangsung dari 23 hingga 27 Oktober 2026, menjadikannya pelaksanaan lapangan kedua kerjasama tersebut.

Antara ciri sistem tersebut ialah:

  • 30 modul bateri BMW terpakai
  • Jumlah kuasa penyongsang 8 kW
  • Peruntukan tenaga 3 kWh sehari bagi setiap rumah
  • Panel solar terpakai daripada operasi ladang solar komersial
  • Jangka hayat bateri sekurang-kurangnya lima tahun berdasarkan reka bentuk semasa

 

Sistem berpusat membolehkan kapasiti yang tidak digunakan sesebuah rumah dimanfaatkan oleh rumah lain mengikut keperluan.

Bateri pula ditempatkan dalam struktur kayu dan buluh daripada sumber setempat.

Sokong penyimpanan makanan

Sistem ini direka untuk menampung penggunaan peti sejuk yang membolehkan hasil buruan dan makanan mudah rosak disimpan lebih lama.

Bekalan baharu turut mengurangkan kos operasi serta mengelakkan pelepasan ekzos daripada generator.

Menurut BMW Group Malaysia, projek ini menunjukkan bagaimana bateri EV yang tamat penggunaan asal boleh dimanfaatkan semula untuk membantu komuniti luar bandar.

Bagi UM pula, pelaksanaan tersebut menjadi platform menguji kebolehpercayaan sistem dalam keadaan sebenar.

Projek ini dibiayai bersama oleh UMCares, Universiti Ritsumeikan di Jepun dan Tech Inspiration Systems Sdn. Bhd.