Arkib Tag: r line

Ulasan VW Golf GTi dan R-Line di litar – Pandu uji

INGIN dinyatakan terlebih dahulu bahawa ini bukanlah pandu uji penuh, sebaliknya hanya tanggapan pertama di litar untuk Volkswagen Golf Mk8.

Tetapi kami dapat memandu uji kedua-dua varian yang dilancarkan iaitu Golf R-Line dan juga Golf GTi, jadi saya akan kongsikan sedikit ulasan untuk kedua-dua kereta dari sesi pemanduan singkat itu.

Disebabkan kedua-dua model menggunakan enjin dan kotak gear berbeza, saya akan ulas mengikut empat aspek; penghantaran kuasa, kotak gear, casis dan pengendalian, dan adakah kereta ini sesuai untuk kegunaan litar.

Golf R-Line

Baik, kita mulakan dengan Golf R-Line dahulu, ya sabar, kita mulakan dengan model asas ya. Jangan terkeliru dengan Golf R yang berharga RM358k, kerana hot hatch itu mempunyai kuasa lebih 300hp, sistem 4Motion dan sebagainya.

Golf R-Line adalah varian ‘lebih mesra’ pemandu dan poket, diasaskan dari Golf 1.4 tetapi dikemaskan dengan pakej R-Line yang memberikannya rupa cukup sporti. Malah ada beberapa aspek seperti tempat duduknya nampak lebih sporti dari Golf GTi sendiri.

Golf R-Line dijual pada harga antara RM155k hingga RM165k, kenapa antara? Kerana Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) belum mengesahkan harganya.

Penghantaran kuasa

Untuk aspek ini, harus kita ketahui Golf R-Line dipacu oleh enjin 1.4-liter TSI yang menjana 150hp dan 250Nm tork dari 1,500 hingga 4,000rpm.

Terus terang saya katakan, pecutan Golf ini tidaklah rasa terlalu mengujakan, kerana jika dibandingkan, Honda Civic pun sudah mempunyai 180hp dari enjin 1.5-liter VTEC Turbo padanya. Mungkin juga kerana keadaan Litar Sepang yang luas dan lebar membuatkan daya pecutan dan kelajuan tidak begitu terasa.

Tetapi enjin 1.4 TSI ini mempunyai 250Nm iaitu 10Nm lebih dari Honda Civic, jadi mungkin pecutan dalam gear lebih bertenaga, dan pemanduan seharian dalam bandar lebih ‘ummpph’.

Apa pun, penghantaran kuasa cukup linear dan walaupun enjin ‘ditarik’ hingga ke redline, kabin Golf ini tidak bising dan enjin tidak terasa ‘menjerit’ atau mengaum. Jadi ini membuatkannya selesa untuk diperah ke hujung rpm walaupun enjin ini merupakan unit janaan turbo.

Kotak gear

Untuk Mk8, Golf 1.4 kini menggunakan kotak gear baharu automatik 8-kelajuan jenis torque converter menggantikan DSG dwi-klac pada generasi sebelumnya (Mk7 dan Mk7.5).

Harus dikatakan juga untuk pecutan berterusan di litar seperti ini, kotak gear 8AT ini terasa tidak begitu gembira dihenyak. Ya, ia memang mampu bertahan, tetapi pecutan dari unit 8AT dengan klac tunggal ini bukanlah yang terpantas dan terlancar.

Mungkin juga kerana penulis telah ‘dimanjakan’ dengan kereta-kereta lain dengan kotak gear lebih sporti di litar sebelum ini.

Respon dari input paddle-shifter juga tidak begitu pantas, tetapi menariknya, tetap ada ‘blip’ yang sporti semasa downshifting memasuki selekoh.

Penulis percaya Golf R-Line dengan kotak gear 8AT ini lebih selesa dalam pemanduan biasa dan benar sekali, semasa memandu perlahan memasuki South Paddock, tukaran gear pada 8AT ini sangat lancar dan selesa.

Penulis juga percaya Volkswagen menggantikan DSG dengan 8AT ini bertujuan mengurangkan kos peneyelenggaraan Golf secara amnya, kerana DSG dwi-klac adalah lebih kompleks, jadi pasti lebih tinggi kos menjaganya.

Casis dan pengendalian

Semasa mengambil selekoh tajam dari jalan lurus keluar South Paddock dan terus potong ke Turn 8 dalam konfigurasi South Circuit, casis Golf R-Line ini cukup bersahaja menampung semua daya membelok.

Dan di selekoh panjang berkelajuan tinggi seperti di Turn 12, dapat dirasakan bahawa had pengendalian R-Line ini adalah tayarnya, kerana casis tetap tegap memastikan kestabilan kereta.

Tayar pada Golf ini pun adalah Bridgestone Turanza, sejenis tayar touring dan bukan paling sporti. Jadi jika anda memiliki Golf R-Line dan ingin menaik taraf pengendaliannya, tukarlah tayar dahulu, pasti hasilnya cukup ketara.

Bukan hendak katakan Bridgestone Turanza ini tayar yang tidak bagus, tidak sama sekali, tetapi Turanza lebih kepada ketahanan jangka masa panjang dan sedikit penjimatan bahan api.

Sesuai untuk litar?

Golf R-Line boleh sahaja masuk track day, “tak segan”, orang kata. Pakej R-Line pun sememangnya memberikan gaya sporti padanya.

Tetapi untuk pemanduan lebih optima, mungkin anda boleh tukar tayar. Untuk kereta yang sudah melepasi tempoh jaminan pula, bolehlah menaik taraf pelapik brek.

Golf GTi

Kini kita ke hero pada hari ini, iaitu Golf GTi yang ikonik.

Golf GTi Mk8 dijual pada harga RM212,711 dan ia mendapat harga yang agak kompetitif kerana GTi kini merupakan model pemasangan tempatan (CKD).

Ini merupakan kali pertama kilang VPCM di Pekan memasang Golf GTi dan ini juga kali pertama GTi dipasang selain di Jerman dan China.

Penghantaran kuasa

Terus ke pandu uji, dengan ledakan 245hp dan 370Nm tork dari enjin EA888 2.0-liter TSI, Golf GTi ini jelas terasa lebih bertenaga memecut keluar South Paddock, terus mencapai 150km/j dengan mudah sebelum membrek dan downshift untuk memasuki selekoh pertama yang hampir 180-darjah.

Untuk perbandingan dengan Mk7.5, enjin pada GTi Mk8 ini adalah 15hp dan 20Nm lebih berkuasa.

Pecutan dan penghantaran kuasa juga ditemani dengan bunyi deruman yang cukup merdu, paling jelas dalam mod Sport. Tetapi saya yakin bunyi ini lebih kepada janaan pada pembesar suara, dan bunyi ekzos di luar sebenarnya lebih senyap untuk menepati piawaian Eropah yang semakin ketat.

Tetapi pemanduan setakat ini cukup untuk memberikan senyuman. Apa pun, kita yang memandu perlu kepuasan, bukannya perlukan ekzos terlalu kuat untuk ‘belanja’ orang di luar, betul tak?

Kotak gear

Sekarang, padanan unit DSG 7-kelajuan ini suatu pasangan atau peneman paling ideal untuk enjin 2.0-liter TSI tadi.

Jika enjinnya ibarat suami, kotak gear dwi-klac ini merupakan isterinya, dan boleh dikatakan mereka tidak boleh hidup tanpa satu sama lain. Eh apa yang saya melalut ni.

Point nya ialah, semasa memecut, kita boleh rasakan yang enjin TSI dan kotak gear DSG ini seolah-olah dicipta untuk bekerja bersama.

Kotak gear ini membantu menyampaikan kuasa ke roda dengan cukup cekap dan efektif. Untuk pemanduan litar, pakej drivetrain ini terasa selesa atau “feels at home” di sini.

Upshift begitu lancar dan pantas sekelip mata, dan downshift pula sempurna segala rev-matchingnya dan memberikan sensasi kepuasan untuk pemandu menggunakan paddle-shifter.

Casis dan pengendalian

Antara ciri penting pada Golf GTi yang tiada pada R-Line adalah XDS (pengunci differential elektronik) dan DCC (Dynamic Chassis Control) iaitu penyerap hentak elektronik.

GTi juga dilengkapi suspensi yang 15mm lebih rendah berbanding Golf R-Line, jadi kesemua ini memberikannya rasa yang lebih selesa dan mantap di litar.

XDS bekerja cukup cemerlang untuk memastikan cengkaman optima apabila pedal minyak ditekan rapat semasa keluar selekoh pertama yang agak tajam. Tanpa XDS ini, tayar depan sebelah dalam akan mudah tergelincir, hasilnya kuasa terbazir dan kereta menjadi understeer.

DCC pula memastikan kawalan badan cemerlang sama ada di jalan lurus atau di selekoh, olengan badan (body roll) jelas kurang pada GTi, lantas membantu tayar Bridgestone Potenza padanya membekalkan cengkaman maksima.

Menariknya, saya dapat rasakan juga bahawa tayar belakang mengikut cukup baik sebarang input agresif di tayar depan, seolah-olah tayar depan dan belakang bersama-sama membantu kereta membelok.

Ini saya percaya hasil dari talaan geometri suspensi yang cukup baik oleh jurutera-jurutera Volkswagen.

Sesuai untuk litar?

Sudah tentu! Dengan yakinnya saya berani katakan bahawa Golf GTi ini boleh sahaja terus dibawa ke litar sebaik anda menerima kuncinya dari bilik pameran. Keluar kedai terus boleh lenjan!

Kesimpulan

Dapat disimpulkan di sini bahawa Golf R-Line dan GTi masing-masing direka untuk tujuan dan golongan pemilik berbeza walaupun berasaskan model sama.

Saya tidak sabar untuk melihat bagaimana Golf R-Line cukup praktikal untuk kegunaan seharian dan adakah Golf GTi juga selesa untuk pemanduan di luar litar.

Akhir sekali, kami teruja untuk mengetahui apa yang mampu Golf R tawarkan, iaitu sebuah hot hatch lebih hardcore. Jentera ini sememangnya sebuah monster jika dilihat spesifikasinya, adakah ia seronok dan mudah dipandu? Sama-sama juga kita nantikan.

Pelancaran Golf Mk8 R-Line, GTI makin hampir! Harga masih rahsia…

KEMUNCULAN model Golf Mk8 dijangka pada bulan ini pastinya dinantikan oleh kebanyakan peminat kereta khususnya mereka yang meminati jenama Volkswagen.

Berdasarkan pengumuman Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) sebelum ini, terdapat dua varian ditawarkan iaitu R-Line dan GTI.

Persoalannya, apakah jangkaan yang boleh dibuat bagi kedua-dua varian ini? Jom kita semak spesifikasi yang ada pada R-Line dan GTI.

Golf Mk8 R-Line dan GTI

Varian R-Line dikatakan memiliki enjin 1.4 liter TSI dengan 150 PS dan tork 250 Nm.

Ia juga mempunyai kotak gear torque converter lapan kelajuan dan tidak lagi menggunakan DSG klac kering tujuh-kelajuan.

Golf Mk8 R-Line ini juga mampu mencapai kelajuan 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat.

Bagaimana pula dengan Golf Mk8 GTI?

Volkswagen menggunakan enjin EA888 2.0 liter turbo empat-silinder bagi varian GTI.

Ia menghasilkan 245 PS dan 370 Nm iaitu peningkatan 15 PS dan 20 Nm berbanding GTI sebelum ini.

Kuasa pecutan 0-100 km/j pula hanya mengambil masa 6.4 saat sahaja!

Menurut VPCM, kedua-dua varian Golf Mk8 dipasangkan di pusat pengeluaran Volkswagen di Pekan, Pahang.

Bagaimanapun, VPCM masih berteka-teki mengenai harga Golf Mk8 R-Line dan GTI.
Sama-sama kita nantikan…

Volkswagen Passat R-Line 2022 kini lebih kuasa dan premium, 220PS, RM212k

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan Passat R- Line baharu yang berharga RM211,916.88 (atas jalan tanpa insurans) iaitu kira-kira RM8,000 lebih mahal dari model 2020 sebelum ini.

Walaubagaimanapun, penambahan harga itu boleh ‘dimaafkan’ kerana Passat R-Line ini mendapat tambahan kuasa dan ciri premium.

Passat R-Line ini menjana 220PS dan 350Nm tork dari enjin 2.0TSI, dipadankan dengan kotak gear DSG 6-kelajuan. Pemanduan juga boleh ditala dengan Dynamic Chassis Control (DCC) mengikut citarasa dan mood pemandu.

Perincian lebih halus telah ditambah pada ruang kabin untuk menjadikannya lebih mewah. Ciri paling ketara ialah sistem audio premium Harman Kardon yang terdiri daripada 12 unit pembesar suara berprestasi tinggi dan amplifier 700-watt.

Sedan ini turut dilengkapi kawalan pendingin hawa dengan sentuhan haptik yang ringkas dan mudah digunakan turut disediakan.

Pilihan untuk warna metalik ialah perak (Scale Silver), biru (Aquamarine Blue), dan kelabu (Manganese Grey); manakala warna hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White) ialah warna mutiara yang ditawarkan tanpa kos tambahan.

Setiap pembelian Passat R-Line ini hadir dengan penyelenggaraan percuma tiga tahun, di samping jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

Volkswagen Arteon R-Line 2021 dilancar secara rasmi – CKD, 280hp, 4Motion, dari RM248k

SETELAH tempahan dibuka kira-kira sebulan lepas, Volkswagen Arteon R-Line facelift didedahkan secara rasmi hari ini.

Pelancaran itu dibuat secara maya oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM). Jujurnya kedatangan Arteon R-Line facelift ini menunjukkan usaha VPCM dalam merancakkan pasaran sedan segmen-D yang kian mengecil.

Oh ya, Volkswagen Arteon ini bukanlah sedan sepenuhnya, tetapi lebih kepada sebuah fastback. Volkswagen Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion ditawarkan pada harga RM247,670.97 dengan pengecualian cukai, dan merupakan model CKD (dipasang di Malaysia). Harga ini juga termasuk jaminan 5-tahun dan pakej penyelenggaraan percuma 3-tahun.

Jangan ingat rupa eksekutif Arteon ini tiada prestasi. Di bawah ‘kulitnya’ terdapat enjin EA888 2.0-liter turbo yang menjana 280hp dari (5,100-6,500rpm) dan 350Nm (1,700-5,600rpm), yang menghantar kuasa ke semua roda melalui DSG 7-kelajuan dan sistem pacuan 4Motion.

Dengan ini, pecutan 0 ke 100km/j boleh dibuat dalam 5.6 saat sahaja. Untuk konteks, pecutan ini lebih pantas dari Honda Civic Type-R (5.8 saat) dan Golf GTi (6.4 saat).

Kelengkapan luaran Arteon termasuklah lampu depan LED sepenuhnya, lampu belakang LED dengan signal sequential, dan rim Montevideo dwi-tona aloi 19-inci. Satu ciri yang menjadi magik untuk Arteon ialah penyerap hentak Dynamic Chassis Control (DCC), menjadikan ia sedap dipandu.

Ciri di bahagian dalaman pula termasuklah kemasan kulit Nappa, sistem audio Harman Kardon 700-watt dengan 12 pembesar suara, kamera 360-darjah, dan sistem infotainmen dengan skrin 9.2-inci yang menyokong Apple CarPlay serta Android Auto.

Arteon baharu didatangkan dalam tiga pilihan warna metalik iaitu kelabu (Manganese Grey), biru (Lapiz Blue) dan perak (Pyrite Silver); serta dua warna mutiara; hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White).

Harga Arteon ini sudah memasuki ‘wilayah’ BMW 3-Series G20 dan Mercedes-Benz C-Class W205. Jenama Jerman mana yang jadi pilihan anda?