Arkib Tag: Pulsar NS200

Cabaran 1600km Modenas terima pengiktirafan Malaysia Book of Records

MODENAS bersama dengan kelab pemilik Modenas Dominar D400, DC Projek mengukir sejarah apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi ‘Jarak Paling Jauh Dilalui Konvoi Motosikal Dalam Tempoh 24 Jam’.

Konvoi yang diketuai oleh Presiden DC Projek, Muhammad Adib bin Rapia’e itu terdiri daripada 25 pemilik Dominar D400 dan tujuh pemilik Pulsar NS200.

Mereka memulakan perjalanan pada 1hb Oktober 2022 jam 9.40 pagi dan tamat pada 2 Oktober jam 9.15 pagi dengan jumlah tunggangan sejauh 1,642 km yang dilengkapkan dalam masa 23 jam 25 minit.

Acara pelepasan berlangsung di Glenmarie, Shah Alam dan dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan.

Konvoi menghala ke kilang Modenas di Gurun, Kedah, sebagai laluan pertama,  Dengan jarak perjalanan sejauh sebelum meneruskan perjalanan menuju sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam, Kedah di mana mereka disambut dengan cuaca yang kurang baik.

Dari Kedah, konvoi meneruskan perjalanan sejauh 491 km ke Selatan menuju ke Sungai Besi, Kuala Lumpur dan terus ke Johor Bahru, Johor dan kembali semula ke Glenmarie, Shah Alam.

Dalam keadaan gelap gelita, dengan hanya berbekalkan minuman serta makanan ringan sebagai pengalas perut, konvoi meneruskan perjalanan dan hanya berhenti sebentar untuk rehat, mengisi petrol dan mengambil gambar resit petrol yang diisi bagi mematuhi syarat yang ditetapkan MBOR.

“Dengan keadaan hujan sepenjang perjalanan dari Kedah ke Johor, dengan kelajuan 110km/j, ada kalanya kami berhadapan dengan situasi “hydroplaning” ketika menunggang. Dan apa yang kami boleh katakan, kami amat bersyukur dengan kestabilan dan prestasi Modenas Dominar D400 dan Modenas Pulsar NS200”, kata Muhammad Adib.

“Tahniah kepada kesemua 32 peserta dalam menyempurnakan cabaran ini. Walaupun, saya tahu sebenarnya kumpulan itu tidak mempunyai banyak masa untuk melalui setiap negeri, namun saya amat berharap mereka telah memperolehi kepuasan daripada pencapaian program ini”, kata Roslan Roskan.

Modenas Pulsar NS200 2021 dengan tiga warna baharu, harga kekal RM9,655!

SEJAK mula diperkenalkan pada Mei 2017 dan menerima penambahan ABS pada 2019, Modenas Pulsar hari ini diperkenalkan dengan warna dan rekaan grafik baharu.

Dengan lebih dari 8,000 unit terjual, Modenas Pulsar NS200 ABS dikatakan antara street bike paling popular di negara ini.

Untuk kemaskini 2021, NS200 diberikan tiga warna baharu iaitu Plasma Blue, Burnt Red dan Pewter Grey, digandingkan dengan grafik baharu pada badannya.

Seperti pada namanya, Pulsar NS200 dikuasakan oleh enjin 200cc DTS-i yang menjana 18kW (24hp) dan 18.6Nm tork, dan digandingkan dengan transmisi 5-kelajuan.

Selain dari sistem brek anti-kunci ABS yang didatangkan standard, NS200 ini dilengkapi dengan penyerap hentak teleskopik di depan dan bush anti-geseran serta suspensi belakang jenis gas Nitrox.

Harga cadangan Modenas Pulsar NS200 ABS ini kekal tidak berubah, iaitu RM9,655 (tanpa cukai jalan dan insurans). Berminat? Anda boleh mula melihat street bike ini dengan lebih dekat di semua pengedar sah Modenas pada Oktober ini.