Arkib Tag: PRU15

Tiada perancangan mansuh tol, kos tinggi – Menteri Kerja Raya

KERAJAAN persekutuan tidak berhasrat mengambil alih konsesi lebuh raya sedia ada untuk memansuhkan tol, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Katanya, pengambil alihan seperti itu pada masa ini tidak dapat dibuat disebabkan implikasi kewangan yang signifikan.

Walaubagaimanapun, Nanta berkata kerajaan akan mempertimbangkan semula cadangan itu selepas keadaan kewangan dan fiskal negara membenarkan.

Nanta berkata demikian dalam satu tulisan parliman untuk menjawab ADUN Padang Besar, Rushdan Rusmi, yang bertanyakan mengenai strategi pentadbiran Anwar untuk menghapuskan lebuh raya bertol.

“Untuk makluman ahli yang dihormati, kerajaan komited dan fokus dalam agendanya menangani kos sara hidup yang meningkat dan mengurangkan beban kepada rakyat.

“Walaubagaimanapun, pada masa ini, kerajaan tidak merancang mengambil alih konsesi lebuh raya yang sedang beroperasi memandangkan implikasinya terhadap kewangan adalah besar,” kata menteri itu.

Dalam manifesto PRU15 Pakatan Harapan, mereka berikrar menghapuskan tol di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sekiranya diberikan mandate memerintah negara.

Pasca PRU15: Anthony Loke kembali sebagai Menteri Pengangkutan

ANTHONY Loke hari ini kembali dipilih sebagai Menteri Pengangkutan di bawah Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media pengumuman Kabinet di Putrajaya.

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

Anthony Loke yang juga Setiausaha Agung DAP itu pernah memegang jawatan sama di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.

Pasca PRU15: DS Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri Malaysia ke-10

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Anwar Ibrahim dijangka mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 hari ini.

Gambar oleh: Malay Mail

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, “Setelah memperhalusi titah pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah telah memberi perkenan untuk melantik Yang Berhomat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.”

Menurut kenyataan itu lagi, ia selaras dengan kuasa Baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lepas, PH memenangi 82 kerusi, sementara Perikatan Nasional (PN) memenangi 73 kerusi, dan Barisan Nasional (BN) memenangi 30 kerusi.

Pasca PRU15: Polis adakan sekatan jalan raya seluruh negara

BERMULA malam tadi (22 November), Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di lokasi strategik setiap daerah di seluruh negara dengan penugasan secara 24 jam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata langkah mengadakan sekatan jalan raya ini adalah sebahagian daripada usaha PDRM mencegah jenayah melalui peningkatan ‘omnipresence’ atau kehadiran polis.

Sumber: Facebook Polis Diraja Malaysia

“Langkah ini bagi menjamin tahap keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan.

“Demi keselesaan pengguna jalan raya dan kelancaran lalu lintas, tiada halangan lalu lintas atau sekatan pada waktu puncak dan siang hari,” tambahnya.

Beliau berkata orang ramai diminta memberikan kerjasama dalam mematuhi arahan yang diberikan ketika melalui sekatan jalan raya terutama di waktu puncak.

“Masyarakat tidak perlu bimbang untuk melakukan aktiviti harian kerana PDRM memberi jaminan tahap keselamatan di seluruh negara adalah terkawal,” katanya.

SJR itu akan dilaksanakan sehingga satu masa yang ditetapkan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah semalam dilihat di perkarangan Istana Negara memandu Hyundai Palisade.

Dalam perkembangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sehingga semalam, Yang di-Pertuan Agong mencadangkan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan.

Walaubagaimanapun, Pengerusi PN, Muhyiddin menolak cadangan itu kerana mendakwa ia bertentangan dengan pendirian gabungan itu.

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah semalam menitahkan 30 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap Seri Paduka di Istana Negara secara individu pada pagi ini (23 November).

PLUS keluarkan cadangan waktu perjalanan sempena PRU15

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik di antara 1.8 juta hingga 1.9 juta sehari di rangkaian lebuh raya kendaliannya dari 17 hingga 21 November ini sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Oleh itu, PLUS telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa ketika pulang ke kampung untuk mengundi pada 19 November ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, bagi perjalanan keluar dari Lembah Klang bermula 16 November hingga 18 November, pengguna lebuh raya dari Lembah Klang yang menuju ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

“Manakala, pengguna dari Lembah Klang yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan masuk ke lebuh raya di antara jam 1:00 petang hingga 4:00 petang,” katanya.

Bagi perjalanan pulang semula ke Lembah Klang dan ibu kota bermula 20 November hingga 21 November pula, pengguna dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara), Johor dan lain-lain negeri disarankan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

“Pengguna juga perlu menjangka akan menghadapi tempoh perjalanan yang lebih panjang di lebuh raya berikutan peningkatan kenderaan berbanding hari-hari biasa. Namun begitu, PLUS turut membuat persediaan dari sudut operasi lebuh raya bagi membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selesa sepanjang tempoh tersebut,” tambah beliau.

Persediaan ini merangkumi aspek pengurusan operasi serta kemudahan lebuh raya di plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R) agar kesemuanya berada pada tahap yang terbaik untuk menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya.

Sementara itu, PLUS akan menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong di lebuh raya bermula 17 November sehingga 21 November 2022.

Bagaimanapun, ini tidak termasuk kerja-kerja kecemasan seperti pengalihan kenderaan yang terlibat di dalam kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja-kerja pembaikan yang kritikal.

Selain itu, PLUS akan menugaskan kira-kira 200 pasukan PLUSRonda untuk menjalankan rondaan 24 jam setiap hari, serta 1,500 kakitangan di plaza-plaza tol. Seramai 30 orang petugas di Pusat Pemantauan Trafik juga akan memantau pergerakan trafik serta mengkoordinasi bantuan kepada pengguna lebuh raya.

Syarikat itu juga akan menyediakan kren di lokasi-lokasi strategik lebuh raya untuk mempercepatkan proses pengalihan, penundaan kenderaan rosak atau kenderaan terlibat dengan kemalangan.

Tol percuma pada 18 dan 19 November sempena PRU15

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa 30 konsesi lebuh raya telah bersetuju untuk menawarkan kadar tol percuma pada hujung minggu ini bersempena dengan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Ismail Sabri, kadar tol percuma itu akan bermula dari 12.01 pagi 18 November (Jumaat) dan akan berakhir pada 11.59 malam 19 November (Sabtu).

Ia melibatkan semua jenis kenderaan persendirian Kelas 1 yang dianggarkan kira-kira 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kenderaan di lebuh raya.

“Implikasi kewangan daripada inisiatif ini akan diserap sepenuhnya oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sebagai salah satu dari inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka, dengan anggaran kos tanggungan sebanyak RM34.5 juta,” katanya.

Menurut beliau lagi, tawaran pemberian tol percuma itu diputuskan setelah mengambil kira cadangan dan rundingan yang melibatkan antara Kementerian Kerja Raya dengan semua syarikat pengendali konsesi lebuh raya minggu lalu.

“Melalui inisiatif ini, kerajaan berharap agar ia dapat meringankan serba sedikit beban kewangan para pengguna khususnya warga negara untuk pulang mengundi demi melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemilih dalam sistem demokrasi yang diadakan setiap lima tahun sekali,” katanya.