Program Penilaian Kenderaan Baharu ASEAN NCAP secara rasmi menarik balik penarafan lima bintang bagi Proton X90 2026 yang baru dilancarkan.
SUV tersebut kini diberikan penarafan 1 bintang sahaja disebabkan penyingkiran sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) pada model yang dikemas kini tersebut.
Pada tahun 2023, Proton X90 telah memperoleh penarafan lima bintang dengan skor keseluruhan 83.79 mata, merangkumi prestasi berikut:
- Perlindungan Penumpang Dewasa (37.75/40.00)
- Perlindungan Kanak-kanak (17.79/20.00)
- Bantuan Keselamatan (15.71/20.00)
- Keselamatan Penunggang Motosikal (12.50/20.00)
Pengurangan ciri keselamatan X90
ASEAN NCAP mendapati sebahagian besar teknologi ADAS yang dinilai pada tahun 2023 telah dikeluarkan daripada X90 2026, antaranya:
- Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
- Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
- Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
- Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
- Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
Di bawah Protokol ASEAN NCAP 2021-2025, penarafan bintang sesebuah kenderaan akan dihadkan jika ia menunjukkan prestasi buruk dalam mana kategori tunggal.
Penyingkiran teknologi ini menyebabkan skor Bantuan Keselamatan (SA) jatuh ke tahap 4-bintang.
Manakala kategori Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) yang sangat bergantung kepada Pengesanan Titik Buta telah merosot mendadak ke penarafan 1-bintang.
Kesannya, penarafan keseluruhan Proton X90 kini dihadkan kepada tahap 1-bintang sahaja.
Keselamatan bukan sesuatu yang boleh dikompromi
Menurut Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Siti Zaharah binti Ishak selaku Ketua Pengarah MIROS berkata, “Kami amat kesal dengan keputusan Proton untuk mengeluarkan teknologi ADAS yang mampu menyelamatkan nyawa daripada model facelift baharu ini.
“Bagi melindungi pengguna dan mengekalkan integriti piawaian keselamatan, kami tidak mempunyai pilihan selain menarik balik penarafan 5-bintang.
“Ini menjadi peringatan kepada semua pengeluar: keselamatan bukanlah sesuatu yang boleh dikompromi.
“Jangan korbankan teknologi keselamatan yang telah terbukti demi kemewahan luaran semata-mata seperti sistem infohibur atau upholsteri kulit,” ujarnya lagi.
Ts. Yahaya Ahmad selaku Ketua Teknikal ASEAN NCAP menambah, “Pengesanan Titik Buta (BSD) adalah faktor pemberat kritikal dalam kategori keselamatan penunggang (MS) kami.
“Penyingkirannya bersama bantuan canggih yang lain telah melucutkan mata yang sebelum ini memberikan X90 penarafan tahap tertinggi.
“ASEAN NCAP akan terus memantau semua pengeluar yang telah dinilai, kami tidak akan teragak-agak untuk menarik balik penarafan mana-mana jenama yang mengabaikan keselamatan kenderaan selepas penilaian dibuat.
Proton X90 2023-2025 masih lagi 5-bintang
ASEAN NCAP mengesahkan model X90 yang dikilangkan antara tahun 2023-2025 masih lagi mendapat penarafan 5-bintang.
Ini kerana model yang disebutkan itu tadi masih lagi dilengkapi dengan teknologi ADAS yang ditetapkan oleh protokol penilaian 2021-2025.
