Honda telah memperkenalkan Prelude Limited Edition 2027, iaitu model edisi khas yang dijadualkan dilancarkan di Jepun pada 20 Ogos 2026. Tempahan kini sudah pun dibuka di semua pengedar Honda di negara itu.
Sejak diperkenalkan pada September 2025, Prelude generasi baharu menerima sambutan yang positif di mana rata-rata pelanggan menggemari rekaan coupe yang rendah, lebar dan sporty.
Kemasan eksklusif serlahkan imej lebih premium
Apa yang membezakan Prelude Limited Edition ialah warna badan eksklusif Premium Crystal Garnet Metallic, yang menawarkan kemasan merah dengan tona lebih pekat dan berkilau seakan wain merah. Ini berbeza dengan warna Rallye Red yang kelihatan lebih sporty.
Kabin serba Bordeaux
Untuk bahagian dalaman, Honda menggunakan gabungan warna Bordeaux dan hitam bagi mewujudkan suasana yang lebih mewah dan matang.
Harga naik sekitar 2%, tiada perubahan mekanikal
Prelude Limited Edition ditawarkan pada harga 6,306,300 yen (RM161,777), kira-kira 2% lebih mahal berbanding Prelude standard yang berharga 6,179,800 yen (RM158,532).
