Arkib Tag: PPV

Rebat RM20 untuk rakyat Selangor menggunakan Grab ke PPV

SELURUH rakyat Selangor kini berpeluang menerima rebat RM20 apabila menggunakan perkhidmatan e-hailing Grab Malaysia untuk ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Perkara itu diumum Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, hari ini.

Jelasnya, langkah itu merupakan hasil kerjasama Grab Malaysia dan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI).

“Saya secara sukacita mengumumkan rebat pengangkutan bagi mendapatkan vaksin dibuka kepada semua lapisan.

“ Ia tidak sebagaimana yang saya umumkan pada 9 Jun bahawa terhad kepada 50 tahun ke atas.

“Memikirkan bahawa vaksin adalah satu keperluan kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas, kini rebat pangangkutan dibuka kepada semua rakyat Selangor,” katanya.

Sebelum ini, hanya individu berusia 50 tahun ke atas layak menerima rebat RM20 apabila menggunakan perkhidmatan Grab Malaysia untuk ke PPV.

Usaha itu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor dengan peruntukan RM1 juta yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0.

Rebat tersebut sah bagi perjalanan ke PPV seluruh negeri dan Kuala Lumpur mulai 1 Julai hingga 30 September.

Untuk makluman lanjut dan urusan pendaftaran, sila layari pautan www.platselangor.com.

Hamil tidak halang wanita tawar khidmat pandu percuma kepada penerima vaksin

HAMIL enam bulan tidak menghalang seorang wanita menabur bakti kepada masyarakat dengan menawarkan khidmat pemanduan percuma kepada golongan memerlukan.

Wanita dikenali sebagai Rabiatul memberi perkhidmatan percuma itu kepada individu terkesan menetap di Cyberjaya yang perlu mendapatkan suntikan vaksin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Raiatul berkata, ia diharap dapat meringankan beban golongan memerlukan terutama ibu tunggal dan pelajar memandangkan harga tambang e-hailing bagi perjalanan dua hala ke UKM mencecah RM50.

“Rasa puas apabila dapat menolong orang lain yang memerlukan.

“Saya bergerak dengan kebenaran polis setiap kali kerana perlu merentas daerah dari sini Cyberjaya).

“Bagi penumpang, mereka hanya perlu menunjukkan tarikh janji temu di aplikasi MySejahtera di sekatan jalan raya (SJR),” katanya seperti dilapor Bernama.

Kerja amal Rabiatul sebelum ini tular di media sosial selain mendapat pujian ramai atas hasil usahanya itu.

Sementara itu, Rabiatul mengakui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) amat dititikberatkan ketika membawa penumpang.

Ia termasuk mengamalkan jarak sosial yang mana penumpang perlu duduk di tempat duduk belakang.

Rabiatul cetus inspirasi

Usaha Rabiatul berjaya menjadi inspirasi kepada pihak lain yang turut mengikut jejak langkah sama.

Pengarah Urusan Gilmore House Theraphy Nazree Hisyam Md Nasir bersama Klinik Mediviron Pelangi Semenyih menyediakan perkhidmatan Grab dua hala untuk mereka ingin mendapatkan vaksin.

Menurutnya, khidmat tersebut diutamakan bagi warga emas dan juga individu yang menghadapi kesukaran pergerakan.

“Alamat PPV adalah terbuka dan tidak terhad kepada satu PPV sahaja.

Namun, syarat urusan pengambilan dan penghantaran penumpang adalah di Cyberjaya sahaja,” katanya.

Setakat ini, 50 slot tempahan perkhidmatan Grab diperuntukkan sebagai permulaan dan akan ditambah mengikut keperluan warga Cyberjaya.

“Permohonan boleh dibuat menerusi mesej di Facebook Gilmore Kids Theraphy tiga hari sebelum tarikh vaksinasi dengan tangkap layar janji temu MySejahtera,” katanya lagi.

Polis beri amaran elak parkir sesuka hati di Pusat Pemberian Vaksin

ORANG ramai mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (PWTC) diminta untuk tidak meletak kenderaan sesuka hati sehingga menghalang trafik.

Amaran diberi pihak polis selepas terdapat individu berbuat demikian sehingga menyusahkan pengguna jalan raya lain.

Memetik kenyataan polis, mereka didapati bersalah akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk saman.

Selain itu, pihak polis juga tidak tergagak-agak mengenakan tindakan tunda kenderaan jika terdapat keperluan berbuat demikian.

“Orang ramai yang hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) AztraZeneca di PWTC dinasihati tidak meletakkan kenderaan sewenang-wenangnya sehingga menghalang lalu lintas.

“Sekiranya peraturan dan undang-undang tidak dipatuhi, tindakan saman atau tunda akan dilaksanakan,” memetik kenyataan di laman Facebook, Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM.

Terdapat beberapa lokasi dijadikan sebagai PPV di sekitar lembah Kelang termasuk Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ideal Convention Centre Shah Alam.

Justeru, orang ramai dinasihati untuk mematuhi peraturan dengan tidak menghalang laluan trafik yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun, jika anda kurang bernasib baik dan telah disaman, berikut antara kaedah pembayaran yang boleh dibuat:

Semak saman melalui MyEG

Antara perkhidmatan ditawarkan MyEG termasuk semak dan membayar saman. Anda Cuma perlu layari https://www.myeg.com.my/.

Terus ke kaunter bayaran trafik

Anda boleh terus ke kaunter bayaran trafik di lokasi berdekatan. Semakin cepat anda lunaskan bayaran saman, maka semakin ‘tenang’ hidup anda.

Gagal membayar saman bukan sahaja menambah ‘hutang’ anda dengan pihak berkuasa malah, boleh menjejaskan rekod sebagai pemandu.

Bayar saman melalui SSO-PDRM

Portal Sistem Semakan Online (SSO) disediakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Anda cuma perlu melayari portal SSO di http://sso.rmp.gov.my/.

Demikian antara kaedah pembayaran saman yang boleh anda lakukan.

Jadilah rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dengan tidak membebankan pengguna jalan raya lain atas sikap penting diri.