Arkib Tag: potong barisan

Polis buru 14 kereta potong barisan di Kota Tinggi

SERAMAI 14 pemilik kenderaan sedang dikesan polis akibat tindakan mereka memotong barisan di sepanjang Jalan Kota Tinggi-Kluang.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, tindakan itu diambil selepas perbuatan mereka tular di Facebook.

Katanya, nombor pendaftaran kenderaan terbabit ialah JNA 2863, JVS 2930, MBG 4188, RAM 3334, UiTM 6686, JQK 153, JPE 6058, RS 8079, JPJ 899, VJC 3572, JQN 5554, JTF 7772, JUW 7269 dan VCQ 6740.

“Polis mendapati kesalahan ini menjejaskan aliran trafik dan secara tidak langsung boleh mencetuskan kemalangan jalan raya.

“Pemandu kenderaan ini digesa tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Kota Tinggi bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan berasingan, Hussin berkata, dua pemandu kereta dikenakan tindakan selepas bertindak memotong garisan berkembar.

Katanya, polis mengesan penyebaran video dirakam orang awam dan dimuat naik ke Facebook yang memaparkan dua kejadian secara berasingan.

“Kejadian ini itu membabitkan pemandu Toyota Alphard di Jalan Kulai-Kota Tinggi berhampiran loji rawatan air Semanggar dan seorang lagi, pemandu Kia Carnival di Jalan Johor Bahru-Mersing iaitu berhampiran Felcra Sungai Ara.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah Kota Tinggi berjaya mengesan dan tindakan ke atas kedua-dua pemandu sudah diambil.

“Polis mengingatkan masyarakat supaya lebih peka dengan kesan pemanduan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain dan menyarankan mengubah cara pemanduan bagi kebaikan bersama,” katanya.

Ditahan polis kerana ikut ambulans terlalu rapat, warga maya puas hati

TINDAKAN seorang pemandu yang sengaja mengikuti sebuah ambulans bagi memotong barisan mengundang padah selepas ditahan pihak polis.

Menerusi sebuah video tular di media sosial, kelihatan kenderaan itu mengikuti rapat sebuah ambulans di satu lokasi tidak diketahui.

Berang dengan tindakan terbabit, pemandu ambulans kemudian bertindak memaklumkan kepada kenderaan peronda polis yang kebetulan berada di situ menggunakan alat pembesar suara.

Sebaik mendengar aduan pemandu ambulans, kelihatan polis berkenaan mendekati kenderaan terbabit sebelum dipercayai menahannya untuk diambil tindakan undang-undang.

Rata-rata pengguna media sosial berang dengan sikap tidak bertanggungjawab pemandu yang mengambil kesempatan memotong barisan dengan mengikuti rapat ambulans berkenaan.

Jelas mereka tindakan itu bukan sahaja tidak menghormati pengguna jalan raya lain malah, menganggu aliran trafik.

Pada masa sama, pengguna media sosial turut berpuas hati dengan tindakan pantas polis walau hanya menerima aduan melalui pembesar suara.