Arkib Tag: Polo GTI

Volkswagen Polo GTI Edition 25 – model edisi terhad ulang tahun ke-25

TAHUN 1998 merupakan kali pertama Volkswagen meletakkan nama ‘GTI’ yang ikonik pada model Polo. Bagi meraikan peristiwa penuh sejarah itu, Volkswagen telah memperkenalkan model edisi terhad Polo GTI Edition 25.

Terhad kepada 2,500 unit sahaja, Polo GTI Edition 25 tampil berbeza dengan grafik honeycomb dan nombor 25 pada bahagian sisi, kemasan hitam pada bumbung dan cermin sisi, serta rim Adelaide 18 inci dalam warna Glossy Black.

Selain itu, ia boleh didapati dalam warna baharu Ascot Grey, di samping pilihan warna yang sedia ada iaitu Pure White, Kings Red Metallic, Reef Blue Metallic, Smoke Grey Metallic dan Deep Black Pearl Effect.

Tidak dilupakan adalah perincian berwarna merah pada gril, angkup brek dan tulisan GTI pada tailgate.

Di dalam, terdapat tempat duduk sport dengan balutan kulit hitam-merah dan logo GTI yang disulam, kemasan hitam berkilat dan tulisan GTI berwarna merah.

Logo “One of 2500” pada ambang pintu pula akan mengingatkan pemandu bahawa kereta yang dipandu adalah model edisi terhad.

Polo GTI Edition 25 tidak diberikan sebarang penambahbaikan dari segi prestasi. Ini kerana hot hatch ini sudah cukup berkuasa, dengan enjin turbo 2.0-liter empat silinder dengan 207 PS dan 320 Nm yang membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.5 saat.

Biarpun begitu, aspek pengendaliannya telah dipertingkatkan menerusi penambahan sistem suspensi sport yang lebih rendah sebanyak 15 mm.

Menurut Volkswagen, ia mampu memberikan pengendalian yang lebih tepat dan tahap cengkaman lebih tinggi apabila digabungkan dengan electronic differential lock XDS.

Pelanggan yang mementingkan keselamatan boleh mendapatkan pakej IQ.DRIVE yang merangkumi pelbagai ciri bantuan pemandu termasuk Travel Assist. Ciri ini boleh mengawal stereng, brek dan pecutan dari kelajuan 0 hingga 210 km/j untuk pemanduan separa autonomi.

Polo GTI Edition 25 akan dibuka untuk tempahan di Jerman bermula 1 Jun ini, dengan harga 35,205 euro (~RM172,479).

Volkswagen Polo GTI facelift lebih memukau, mampu cecah 240km/j!

SELEPAS memperkenalkan model Polo facelift generasi keenam April lalu, Volkswagen kini mendedahkan pula versi berprestasi tinggi yang menjadi idaman ramai iaitu Polo GTI.

Ia bukan sahaja menampilkan rekaan lebih segar, malah enjin dan sistem keselamatan turut dipertingkatkan.

Jom kita lihat antara kelebihan yang ada pada Polo GTI baharu ini.

Reka Bentuk Luaran

Polo GTI didatangkan dengan reka bentuk luaran menarik dengan bentuk lampu hadapan dan belakang baharu serta corak bermotifkan sarang lebah pada gril.

Lampu hadapan menggunakan teknologi IQ Light LED Matrix, manakala lampu belakang pula adalah daripada jenis diod pemancar cahaya (LED).

Apa yang lebih menarik adalah penggunaan jalur lampu pada bahagian bawah gril dan lampu hadapan.

Menurut Volkswagen, ia diinspirasikan daripada model Golf GTI MK8 dan model elektrik ID.

Lampu itu turut ditemani oleh jalur berwarna merah yang merupakan ‘trademark’ GTI sejak dahulu lagi.

Bahagian belakang pula terdapat lampu brek beranimasi, lampu isyarat membelok dinamik serta ‘diffuser’ yang didatangkan dalam warna sama dengan warna badan.

Rim didatangkan standard dalam saiz 17 inci, namun pelanggan yang ingin tampil lebih agresif boleh mendapatkan unit 18 inci.

Lampu jalur berwarna merah yang merupakan ‘trademark’ GTI sejak dahulu lagi. – Foto ihsan Car Scoops

Ruang Dalaman

Tidak seperti bahagian luaran, perubahan pada ruang dalaman Polo GTI tidak begitu ketara.

Apa yang baharu adalah stereng multifungsi yang menampilkan butang sensitif sentuhan dan logo terkini Volkswagen.

Selain itu, terdapat kluster instrumen digital (Digital Cockpit Pro) berukuran 10.25 inci yang dikuasakan oleh sistem infotainmen generasi baharu MIB3.1.

Kehadiran sistem ini membolehkan Apple CarPlay dan Android Auto digunakan secara tanpa wayar.

Antara elemen lain terdapat pada bahagian dalaman Polo GTI baharu adalah:-

  • Trim Titanium Black pada bahagian tiang dan pelapik bumbung
  • Papan pemuka berwarna merah serta jahitan kontras pada stereng
  • Sistem audio Beats berkapasiti 300 watt dengan enam pembesar suara
Tona warna merah dan hitam menyerlahkan ‘kegarangan’ Polo GTI baharu. – Foto ihsan Car Scoops

Enjin Polo GTI baharu

Seperti sebelum ini, Polo GTI dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang dipadankan dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan.

Namun, kuasanya telah ditingkatkan dari 200 PS kepada 207 PS.

Jumlah tork bagaimanapun kekal pada 320 Nm.

Prestasinya masih lagi mengagumkan iaitu 6.5 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan kelajuan maksimum mencecah 240 km/j.

Buat pertama kalinya, hatchback ini dilengkapi dengan IQ.Drive Travel Assist yang menggunakan sistem Adaptive Cruise Control dan Lane Assist untuk pemanduan separa auto pada kelajuan sehingga 210 km/j.

Perkataan GTI diletak di bawah logo Volkwagen. – Foto ihsan Car Scoops