Arkib Tag: pokok tumbang

Pokok tumbang di Jalan Tun Ismail libatkan hampir 10 kenderaan, seorang maut dan seorang cedera

SEORANG maut manakala seorang lagi cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail berhampiran sebuah hotel.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kejadian jam 2:19 petang.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Kuala Lumpur, M Fatta M Amin berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

Beliau berkata, tiga jentera bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Titiwangsa, Jalan Tun Razak dan Sentul turut dihantar ke lokasi membabitkan kekuatan keseluruhan seramai 27 pegawai serta anggota.

“Sebaik tiba di lokasi mendapati terdapat pokok besar tumbang di atas jalan raya dan sebanyak 17 kenderaan terbabit.

“Landasan monorel di sebelah atas turut dihalang dengan dahan pokok dan beberapa fasiliti awam termasuk perhentian bas rosak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi menyelamat segera dijalankan dan dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota.

“Mangsa pertama seorang lelaki berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan manakala mangsa kedua lelaki berusia 26 tahun mengalami kecederaan,” katanya.

Berdasarkan beberapa video yang tular, pokok menghempap hampir 10 kenderaan sehingga menyebabkan remuk teruk.

Proton Wira dihempap pokok, lima sekeluarga terselamat

LIMA sekeluarga berdepan detik cemas selepas kenderaan jenis Proton Wira dinaiki dihempap sebatang pokok dalam satu kejadian di Alor Gajah, Melaka.

Kejadian pada 6.30 petang semalam menyebabkan pasangan suami isteri cedera di bahagian kepala sementara tiga anak mereka mengalami cedera ringan.

Insiden turut membabitkan seorang lelaki berusia 45 tahun yang memandu kereta jenis Honda Accord.

Laporan pihak bomba memaklumkan lelaki terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Semua mangsa berjaya dikeluarkan orang awam sebelum dibawa ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Siasatan awal mendapati kejadian pokok tumbang itu berlaku ekoran hujan lebat.