Arkib Tag: POE

Proton perkenal inisiatif penarafan 5 bintang, tingkat tahap perkhidmatan selepas jualan

PROTON telah melancarkan inisiatif penarafan lima bintang bagi meningkatkan lagi tahap perkhidmatan selepas jualan untuk pelanggan di cawangannya di seluruh negara.

Ia merupakan lanjutan daripada inisiatif Proton Operational Excellence (POE) yang telah dimulakan pada 6 Mac 2023.

Menurut pengeluar kenderaan nasional itu, pengiktirafan baharu ini akan diberikan berdasarkan skor POE dan kualiti perkhidmatan bagi menggalakkan semua cawangan untuk mencapai dan mengekalkan tahap perkhidmatan dan kepuasan pelanggan yang tinggi.

Kualiti perkhidmatan dinilai dalam dua kategori iaitu kelajuan dan pematuhan SOP dan ini kemudiannya dinilai dalam enam bidang tumpuan. Matlamat akhir adalah untuk menguruskan keprihatinan pelanggan di cawangan dengan berkesan dan untuk memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik.

Inisatif POE Proton menekankan pematuhan kepada syarat-syarat seperti proses perkhidmatan, kecekapan juruteknik, inventori stok dan pengurusan pelanggan.

“Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan prestasi perniagaan cawangan dan menambah baik kecekapan operasi pusat perkhidmatan di seluruh negara,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Menerusi inisiatif ini, setiap cawangan diberi penilaian pada setiap bulan dan hasilnya dikongsi dengan semua cawangan lain untuk menunjukkan dengan jelas kedudukan mereka dalam rangkaian.

Bahagian selepas jualan Proton juga bekerjasama rapat dengan cawangan untuk meningkatkan perkhidmatan mereka secara proaktif dengan mengadakan roadshow suku tahunan untuk memberi pengiktirafan kepada pencapaian terbaik serta mengukuhkan prestasi dengan perkongsian amalan terbaik.

Dengan permulaan inisiatif penarafan lima bintang, lima pengedar Proton akan dianugerahkan pengiktirafan tertinggi setiap bulan, menandakan mereka sebagai pusat kecemerlangan selepas jualan dan perkhidmatan pelanggan.

Bagi memastikan pariti dan penerimaan daripada rangkaiannya, KPI untuk inisiatif itu ditetapkan berdasarkan maklum balas daripada semua cawangan serta penandaarasan amalan terbaik daripada OEM lain.

Bagi menandakan permulaan inisiatif ini, acara pelancaran telah diadakan di Melinau Auto di Kuching, salah satu daripada tiga cawangan Proton yang diberi pengiktirafan baharu selepas memenuhi semua syarat.

Selepas pelancaran inisiatif lima bintang, senarai cawangan yang diiktiraf akan diterbitkan di laman web korporat Proton dan disertakan dengan lencana tersendiri untuk pengiktirafan pengedar.

Inisiatif Kecemerlangan Operasi Proton sasar tingkatkan kepuasan pelanggan

PROTON telah melancarkan inisiatif Kecemerlangan Operasi Proton (POE) dalam usahanya untuk meningkatkan prestasi pusat perkhidmatannya di seluruh negara.

Menurut pengeluar kereta nasional itu, inisiatif tersebut akan dimulakan di 13 cawangan perintis dan akan disepadukan secara progresif ke semua cawangan 3S dan 4S di seluruh negara.

Pendekatan berperingkat ini menekankan komitmen Proton terhadap pelaksanaan yang sistematik, memastikan kecemerlangan operasi di setiap titik sentuh pelanggan.

Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata pihaknya berdedikasi untuk memberikan tahap perkhidmatan premium kepada semua pelanggan dari mereka mula melangkah masuk ke premis.

POE melambangkan inisiatif asas, mencerminkan dedikasi Proton terhadap kecekapan operasi dan kualiti perkhidmatan selepas jualan.

Bidang tumpuan termasuk pematuhan kepada proses perkhidmatan berkualiti tinggi, kecekapan juruteknik, integrasi Sistem Pengurusan Pengedar (DMS) yang bakal dilancarkan, dan memupuk kepercayaan terhadap jenama.

Strategi termasuk mendapatkan tarikh servis pilihan dan menyelaraskan proses perkhidmatan dengan keperluan pelanggan.

Inisiatif ini juga menekankan pembangunan juruteknik dengan melengkapkan mereka dengan pengetahuan lanjutan untuk penyelesaian isu yang efisien.

Mengenai ketersediaan alat ganti, Roslan berkata peningkatkan kapsiti gudang telah mengurangkan masa penghantaran dengan ketara iaitu sekurang-kurangnya 30 peratus.

Ini membolehkan mereka menyimpan lebih banyak alat ganti, serta menyelaraskan pemprosesan pesanan, mengendalikan penghantaran ke luar negara, dan mengekalkan stok barangan kritikal yang lebih besar.

“Kami telah membuka dua gudang baharu secara strategik di Semenanjung Malaysia, bersama dengan gudang baharu di Malaysia Timur, Kuching dan tidak lama lagi akan dilancarkan di Kota Kinabalu untuk memenuhi permintaan dan bekalan alat ganti di wilayah itu, “katanya.

Di sebalik penambahbaikan operasi, Proton memberi penekanan yang kuat untuk membina dan mengukuhkan
kepercayaan dan keyakinan terhadap jenama dan perkhidmatannya.

Memperkasakan rangkaian peniaga, saluran komunikasi terbuka, usaha kolaboratif, sesi bimbingan satu sama satu, dan berkongsi amalan terbaik di kalangan pengedar untuk mengukuhkan rangkaian.

Skim Ganjaran & Pengiktirafan pula mengiktiraf pengedar atas perkhidmatan pelanggan yang cemerlang dan meraikan peristiwa penting di mana pengedar melebihi jangkaan.