Arkib Tag: PKPD

Stesen minyak dibenar beroperasi dari 6 pagi hingga 12 malam

PERKHIDMATAN stesen minyak dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 12 malam bagi semua fasa kecuali kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Cadangan dipersetujui pada mesyuarat kedua Menteri Kuartet Covid-19 dan akan disyor kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19.

“Mesyuarat juga memberi fokus kepada penambahbaikan SOP dengan usaha mempermudah 181 SOP kepada 10,” kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sementara itu, Hishammuddin turut menyentuh mengenai cadangan kebenaran rentas negeri.

Jelasnya, keputusan kebenaran merentas negeri perlu dibuat secara bertanggungjawab dengan mempertimbangkan tahap keselamatan dengan tahap tertinggi.

Pelbagai faktor perlu dipertimbang termasuk jumlah peratusan vaksinasi dan kemampuan hospital di negeri dalam menangani Covid-19.

Buat masa ini, kerajaan telah memberikan kelonggaran berkaitan rentas negeri seperti projek rintis gelembung pelancongan Langkawi dan pasangan jarak jauh.

Puspakom seluruh Selangor, Lembah Klang mula operasi

PERKHIDMATAN Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) seluruh Selangor mula beroperasi, hari ini.

Pengoperasian pusat itu termasuk perkhidmatan bergerak Puspakom seluruh Lembah Klang dan melibatkan semua jenis pemeriksaan kenderaan.

Puspakom dalam satu kenyataan berkata, pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan perlu membuat temu janji secara dalam talian.

“Pelanggan yang ingin menjalani pemeriksaan kenderaan wajib membuat janji temu secara dalam talian sebelum hadir ke Puspakom.

“Pemeriksaan secara jumpa terus tidak dibenarkan.

“Pelanggan yang hadir pemeriksaan disarankan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” memetik satu kenyataan, semalam.

Bagaimanapun, Puspakom memaklumkan perkhidmatan di Batu Caves masih belum dibuka pada hari ini.

Pihak Puspakom menjangkakan cawangan Batu Caves akan mula beroperasi pada 21 Julai ini.

Sebelum ini, Puspakom telah menutup semua cawangannya di Selangor berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

PKPD: Puspakom seluruh Selangor ditutup kecuali di Sungai Besar

PUSAT Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) seluruh Selangor ditutup sehingga 16 Julai berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Puspakom dalam satu kenyataan berkata, penutupan meliputi perkhidmatan bergerak di Lembah Klang.

“Bagi pelanggan yang telah membuat janji temu di cawangan Puspakom yang tidak beroperasi, bayaran janji temu akan dikembalikan secara automatik,” memetik kenyataan itu.

Bagaimanapun, Puspakom cawangan Sungai Besar tidak terlibat dengan proses penutupan sementara itu.

Semua pusat pemeriksaan Puspakom seluruh negara termasuk perkhidmatan bergerak yang tidak berada dalam kawasan PKPD kekal beroperasi seperti biasa.

Namun, tiada pemeriksaan secara “walk-in” di pusat pemeriksaan sebaliknya hanya pelanggan mempunyai janji temu  dibenarkan melakukan pemeriksaan kenderaan mengikut tarikh, masa dan tempat dipilih.

Mereka yang hadir semasa pemeriksaan disaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Ia termasuk mengimbas aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis.

Segala maklumat mengenai operasi Puspakom bergantung kepada pengumuman terkini kerajaan.

Orang ramai boleh mengikuti Facebook Puspakom Sdn Bhd atau melayari www.puspakom.com.my untuk maklumat terkini.

PKPD: Operasi Puspakom Seremban ditutup

PARA pelanggan ingin mendapatkan perkhidmatan Puspakom Sdn Bhd cawangan Seremban diminta menangguhkan niat tersebut buat seketika.

Ini kerana Puspakom cawangan itu ditutup sementara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Memetik kenyataan Puspakom, cawangan itu akan ditutup sepanjang tempoh tersebut.

“Semua bayaran temujanji yang telah dibuat akan dikembalikan secara automatik,” memetik kenyataan Puspakom.

Daerah Seremban dikenakan PKPD bermula hari ini hingga 22 Julai 2021.

Sebarang maklumat sila layari laman web www.puspakom.com.my.

Foto ihsan Facebook/Puspakom Seremban

Parkir percuma di KL, rakyat ucap “terima kasih”

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak menghalang usaha murni Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengecualikan bayaran parkir sekitar ibu kota.

Perkara itu diumum Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, semalam.

Jelas Annuar, ia berkuatkuasa bermula hari ini sehingga 31 Ogos nanti.

“Saya bersetuju mulai esok sehingga 31 Ogos, semua tempat letak kereta bahu jalan dalam kawasan bandar raya Kuala Lumpur adalah percuma,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata usaha dijalankan pihaknya diharap dapat mengurangkan beban orang ramai.

Semalam, kerajaan mengumumkan beberapa lokaliti sekitar Kuala Lumpur akan dikenakan PKPD.

PKPD itu berkuatkuasa bermula 3 hingga 16 Julai 2021.

Orang ramai di kawasan terlibat tidak dibenarkan meninggalkan rumah jika tiada urusan mustahak.

Kerajaan menetapkan hanya seorang daripada isi rumah dibenarkan keluar bagi tujuan mendapatkan barangan keperluan.

Terdahulu di media sosial, pelbagai reaksi diberi orang ramai terhadap usaha kerajaan tidak mengenakan caj parkir di Kuala Lumpur.

Mohd Nizam misalnya mengucapkan terima kasih kepada Annuar yang peka terhadap masalah dihadapi rakyat.

“Terima kasih Tan Sri. Sampai mengenai parkir pun Tan Sri fikirkan.

“Itu masalah saya selalu hadapi bila ke Kuala Lumpur,” katanya.

Situasi semasa ketika ini menyaksikan ramai kalangan rakyat berdepan kesusahan.

Justeru, parkir percuma diberikan ini diharap dapat meringankan beban rakyat.

PKP di Selangor, pergerakan rentas daerah tidak dibenarkan

PERGERAKAN rentas daerah tidak dibenarkan di seluruh negeri Selangor bermula 6 hingga 17 Mei ini.

Arahan dikeluarkan kerajaan selepas mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah negeri itu.

Antara daerah terlibat termasuk Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Bagaimanapun, kerajaan membenarkan aktiviti ziarah pada 1 Syawal bagi kawasan PKP dengan jumlah tetamu tidak melebihi 15 individu pada satu masa.

Sementara itu, aktiviti ziarah dibenarkan selama tiga hari bermula 1 Syawal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Aktiviti ziara pusara tidak dibenarkan sama sekali bagi semua kawasan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kerajaan juga melarang penganjuran rumah terbuka Aidilfitri seluruh negara tahun ini.