Arkib Tag: PKPB

PKP di Selangor, pergerakan rentas daerah tidak dibenarkan

PERGERAKAN rentas daerah tidak dibenarkan di seluruh negeri Selangor bermula 6 hingga 17 Mei ini.

Arahan dikeluarkan kerajaan selepas mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam daerah negeri itu.

Antara daerah terlibat termasuk Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Bagaimanapun, kerajaan membenarkan aktiviti ziarah pada 1 Syawal bagi kawasan PKP dengan jumlah tetamu tidak melebihi 15 individu pada satu masa.

Sementara itu, aktiviti ziarah dibenarkan selama tiga hari bermula 1 Syawal di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Aktiviti ziara pusara tidak dibenarkan sama sekali bagi semua kawasan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Kerajaan juga melarang penganjuran rumah terbuka Aidilfitri seluruh negara tahun ini.

Pelbagai sektor ekonomi beroperasi semula, polis tingkat rondaan lebuh raya

USAHA pemantauan pihak polis di lebuh raya seluruh negara dipertingkatkan selepas hampir kesemua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula.

Susulan itu, elemen Peronda Lebuh Raya (EMPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan ke semua sektor lebuh raya.

Memetik laporan Bernama, rondaan itu bertujuan memantau keadaan sekaligus membantu menyuraikan kesesakan lalu lintas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya mengesan peningkatan aliran trafik di semua lebuh raya dan jalan utama seluruh negara.

Unit EMPV digerak bagi menguatkuasakan undang-undang dan peraturan jalan raya termasuk rondaan cegah kemalangan serta pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Sebelum ini, kerajaan memansuhkan syarat 30 peratus kehadiran pekerja di pejabat bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Operasi sektor swasta turut dibenarkan 100 peratus bagi bahagian pengurusan, penyelia dan bahagian operasi serta sokongan.