Arkib Tag: pininfarina

Pininfarina, Roux Helmets jalin kerjasama hasilkan topi keledar perlumbaan – harga dari RM3.8k

NAMA Pininfarina mungkin lebih dikenali menerusi model-model rekaannya seperti Ferrari 250 GT Lusso, Alfa Romeo Brera dan Hyundai Matrix, namun tahukah anda bahawa studio rekaan itu juga berkecimpung dalam bidang topi keledar?

Terbaru, Pininfarina telah memperkenalkan barisan topi keledar perlumbaan yang dibangunkan dengan kerjasama pengeluar topi keledar dari Amerika Syarikat itu Roux Helmets.

Topi keledar ini direka khusus untuk digunakan dalam pelbagai kelas perlumbaan, dari Formula 4 hingga Formula 1, dan sudah tentulah ia memenuhi piawaian FIA 8859/Snell SA2020.

Antara teknologi yang terdapat pada topi keledar Roux rekaan Pininfarina ini adalah sistem penyejukan air bersepadu Cool-X dan port udara terbina dalam.

GT Carbon Kevlar

Teknologi Cool-X berfungsi untuk menyalurkan air dari penyejuk dan mengekalkannya pada suhu 52 darjah Fahrenheit (11 darjah Celsius) bagi membolehkan pemandu kekal fokus pada perlumbaan.

Selain itu, terdapat juga sistem pembukaan khas yang membolehkan topi keledar dibuka dengan cepat dan mudah, tanpa sebarang tekanan pada leher, sekiranya berlaku kemalangan di dalam litar.

Formula Carbon

Turut disertakan adalah sistem visor yang dikatakan mampu memberikan sudut pandangan yang lebih luas, serta cagak untuk peranti sokongan kepala dan leher (Head And Neck Support, HANS).

Di laman web Roux Helmets, terdapat empat model topi keledar rekaan Pininfarina yang disenaraikan. Ia bermula dengan topi keledar go-kart (USD840 atau RM3,796), GT Carbon Kevlar (USD1,575 atau RM7,119), Formula Carbon (USD1,875 atau RM8,475) dan GT Carbon (USD1,990 atau RM8,994).

Pininfarinia Battista pecut 0-96km/j dalam 1.79 saat, cipta rekod baharu!

PININFARINA Battista sebuah hypercar elektrik (EV) yang laju, tetapi kini kita semua tahu berapa laju. Ia baru sahaja memecahkan rekod sebagai hypercar EV dengan pecutan terpantas di dunia. Dan untuk berhenti pula, Pininfarina berkata hypercar itu juga mencipta rekod baharu.

Battista memecut dari 0 ke 96km/j (60 batu sejam) dalam hanya 1.79 saat. Ia kemudian mampu mencapai 192km/j (120 batu sejam) dalam 4.49 saat.

Bayangkan, anda hendak habiskan perenggan di atas pun melebihi lima saat, tapi ia sudah memecut hampir ke 200km/j.

Untuk prestasi membrek, Battista mampu berhenti dari kelajuan 96km/j dalam hanya 101 kaki (30.7 meter).

Menurut Pininfarina, angka-angka di atas adalah rasmi dan merupakan rekod baharu untuk kenderaan produksi. Kelajuan maksima ialah 349km/j, bukanlah suatu rekod tetapi masih sangat laju. Inikan pula untuk sebuah EV.

“Dioptimakan khas untuk agihan berat dan titik graviti yang rendah menjadi perkara penting untuk hasil ini,” kata Ketua Pegawai Produksi dan Kejuruteraan Automobili Pininfarina, Paolo Dellacha.

“Kombinasi casis khas dan talaan suspensi, tayar yang terbukti dari ujian beribu kilometer, dan empat motor elektrik dengan torque vectoring memberikan kuasa menakjubkan yang membolehkan Battista menjadi kereta dengan pecutan terpantas di dunia.”

Bagi anda yang belum tahu, Battista menggunakan empat motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 1,900hp dan 2,300Nm tork.

Pek bateri 120kWh padanya dibekalkan oleh Rimac, disusun dalam bentuk T dan diletakkan rendah di bawah untuk agihan berat optima.

Setiap unit kereta dibina dengan tangan di Itali, mengambil masa 1,250 jam untuk disiapkan. 150 unit dirancang untuk pengeluaran, dengan harga bermula 2.2 juta Euro (RM10.34 juta).

Pengeluaran telah bermula pada Julai lepas, dan penyerahan kepada pelanggan kini akan dimulakan. Pininfarina memilih Arab Saudi untuk pendedahan Battista dan Emiriah Arab Bersatu untuk cubaan rekod dunia itu. Ia dibuat di Dubai Autodrome.