Arkib Tag: pihak berkuasa

Tiada lagi pemegang pintu ‘flush’, China mahu seragamkan rekaan atas faktor keselamatan

Kebanyakan kereta baharu – terutama yang muncul dari pasaran China – mempunyai ciri pemegang pintu jenis ‘flush‘ atau tertanam kemas dalam badan kenderaan.

Ya, ia membuatkan rekaan sesebuah kereta nampak lebih kemas dan futuristik, namun tahukah anda ia sebenarnya dinilai sebagai satu ciri yang tidak selamat di China.

Menurut laporan Mingjing Pro yang memetik sumber industri automotif awal bulan lepas, pihak berkuasa China sedang berbincang untuk mengharamkan terus rekaan pemegang pintu yang tertanam sepenuhnya.

Pengeluar masih lagi dibenarkan untuk memasang pemegang pintu tradisional dan juga ‘semi-retractable‘, namun mesti dilengkapi dengan sokongan bukaan secara mekanikal.

Pihak berkuasa juga bercadang untuk melaksanakan undang-undang baharu ini bermula Julai 2027, bermakna semua kenderaan baharu yang dijual di China selepas tarikh tersebut tidak lagi akan menampilkan rekaan pemegang pintu jenis terbenam.

Perbincangan yang dibuat turut merangkumi mekanisme pembukaan pintu secara automatik terutama ketika dalam situasi kemalangan.

Trend rekaan pemegang pintu jenis terbenam ini pada awalnya dikatakan mampu menyumbang kepada aspek aerodinamik dan menjadikan jarak gerak yang lebih jauh.

Namun dalam pendedahan terbaharu, ciri ‘moden’ ini hanyalah menyumbang 0.005-0.01 Cd kepada pengurangan angka pekali seretan.

Sistem yang ‘canggih’ ini juga dikatakan lebih berat, tiga kali lebih mahal untuk dibaiki dan kadar kegagalan lapan kali ganda.

Beberapa kes dilaporkan sepanjang tahun 2024, di mana pemegang pintu elektrik ini gagal berfungsi sewaktu kecemasan seperti kemalangan dan kebakaran, malah terdapat insiden pengguna terperangkap di dalam kenderaan akibat gagal membuka pintu dari dalam.

Terdapat juga insiden litar pintas akibat hujan lebat yang menghalang penumpang membuka pintu dari dalam, memaksa mereka memecahkan tingkap untuk melepaskan diri.

Dalam perkembangan terbaharu, Kementerian Industri dan Teknologi Informasi China mengeluarkan garis panduan bertajuk Keperluan Teknikal untuk Keselamatan Pemegang Pintu Kenderaan yang terbuka untuk pandangan orang ramai sebelum dimuktamadkan pada 22 November ini.

Antara keperluan yang disenaraikan termasuklah:

  • Setiap pintu (kecuali trunk) perlu mempunyai pemegang pintu luaran dengan fungsi bukaan mekanikal
  • Dalam kemalangan melibatkan kebakaran, pintu sisi yang tidak terjejas perlu boleh dibuka tanpa bantuan alat
  • Tanpa mengira kedudukan, setiap pemegang pintu perlu menyediakan ruang operasi tangan yang mencukupi
  • Setiap pintu perlu menyediakan tuil pembuka pintu dalaman dengan keupayaan pelepasan mekanikal tanpa bantuan alatan
  • Sekiranya menggunakan pemegang dalaman elektrik, pemegang sandaran mekanikal juga perlu disertakan
  • Setiap pemegang/tuil pintu perlulah mudah dikenali, mudah dilihat diposisikan dalam lingkungan 300 mm dari hujung pintu, dan perlulah berada dalam zon spesifik relatif kepada posisi duduk

Secara ringkasnya, piawaian baharu ini menumpukan perhatian kepada tiga aspek penting, iaitu mengawal selia jenis struktur pemegang pintu, memastikan sistem masih boleh dioperasikan ketika insiden kehilangan kuasa dan menyeragamkan kedudukan pemegang pintu dengan tanda keselamatan yang jelas.

Kongsi foto kemalangan di media sosial, apa niat kita?

BUDAYA mengambil foto atau video kemalangan dan dikongsikan di platform media sosial dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Tindakan itu bukan sahaja mengundang aib kepada mangsa dan keluarga malah, lebih membimbangkan mampu memberi persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Apakah yang dimaksudkan dengan persepsi negatif?

Sebagai contoh, wujud seakan sindiran atau kadang kala menjadi ‘bahan’ ketawa di media sosial setiap kali berlaku kemalangan melibatkan kenderaan jenis Perodua Myvi.

Wujud golongan yang menganggap bahawa kebanyakan pemandu Perodua Myvi ‘bermasalah’ dalam pemanduan sehingga sering menjadi punca kemalangan.

Mengapakah perkara ini berlaku? Sudah pasti tidak lain semuanya kerana sikap masyarakat yang gemar berkongsi foto atau video di media sosial sehingga ia menjadi tular.

Foto sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi ‘terbang’ tular di media sosial. – Foto ihsan Twitter/Aeril Zafrel

Kemalangan jalan raya: Apa sikap kita?

Kes kemalangan jalan raya boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari di negara kita. Tidak dinafikan insiden seperti itu adakala boleh mengundang rasa cemas dan trauma kepada mangsa terlibat. Ia akan menyebabkan seseorang tidak mampu berfikir secara rasional apatah lagi mengambil langkah wajar bagi menyelesaikan masalah dihadapi.

Justeru, di sini kami kongsikan kepada anda langkah-langkah yang perlu dilakukan jika berada di lokasi kemalangan.

  • Tindakan pertama perlu dilakukan adalah menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan
  • Jangan alihkan mangsa jika mengalami kecederaan parah. Ini penting untuk mengelak mangsa mengalami kecederaan lebih teruk
  • Pastikan kenderaan anda tidak menghalang lalu lintas bagi mengelak kesesakan jalan raya
  • Beri kerjasama kepada pihak berkuasa seandainya diperlukan untuk menjadi saksi kejadian
Insiden kemalangan di Bayan Lepas, Pulau Pinang tular selepas seorang lelaki memandu Perodua Myvi dipersalahkan walaupun bukan penyebab berlaku insiden terbabit.

Jadi, berbalik kepada persoalan apakah kita langsung tidak boleh mengambil foto kemalangan?

Pada pandangan kami, anda tidak perlu berbuat demikian. Ia bukan sahaja akan memberi aib kepada mangsa malah boleh menimbulkan lain-lain masalah terutama kesesakan jalan raya.

Mungkin ada yang tertanya tidakkah foto itu penting untuk dijadikan bahan bukti untuk pihak berkuasa jalankan siasatan?

Jawapannya, kita serahkan tugas mengambil foto itu kepada pihak polis yang lebih arif.

Bagaimanapun, jika kebetulan kenderaan anda dilengkapi kamera dan merakam insiden kemalangan maka, tidak perlu ditularkan kejadian tersebut.

Cukuplah jika anda serahkan video yang dirakam kepada pihak berkuasa untuk tujuan siasatan.