Arkib Tag: pesawat tempur

F/A-18 Super Hornet Tentera Laut AS terhempas, juruterbang terkorban

SEBUAH pesawat pejuang Boeing F/A-18E Super Hornet Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) terhempas baru-baru ini di padang pasir di selatan California, mengorbankan juruterbangnya.

F/A-18 Super Hornet di pangkalan NAS Lemoore. Imej oleh: Blog Before Flight

Pihak tentera laut mengesahkan pesawat itu yang berpangkalan di Naval Air Station Lemoore terhmepas kira-kira 2:30 petang di kawasan Trona, Mojave Desert di San Bernardino County, kira-kira 236 batu ke tenggara stesen udara itu.

Juruterbangnya terkorban dalam nahas itu dan pihak tentera laut menanti untuk memaklumkan kepada waris sebelum mendedahkan identitinya.

Maklumat terperinci mengenai punca nahas belum didedahkan, tetapi apa yang pasti tiada pesawat lain atau orang awam di daratan yang terlibat sama.

Lemoore merupakan pangkalan untuk Commander Strike Fighter Wing Pacific dan Commander Joint Strike Fighter Wing, serta menempatkan 16 skuadron Strike Fighter yang aktif.

Jet pejuang itu adalah pesawat jenis sama yang ‘diterbangkan’ Tom Cruise dalam filem hit terbaharu Top Gun: Maverick.

Tom Cruise dilihat ‘menerbangkan’ pesawat itu dengan kamera-kamera di dalam kokpit – bersama juruterbang Tentera Laut AS berpengalaman yang sebenarnya menerbangkannya.

Walaubagaimanapun, Tom Cruise dan pelakon-pelakon lain melalui Latihan Aviation Survival Training Curriculum penuh sebelum menaiki F/A-18 Super Hornet itu.

Proses TUDM beli Hornet terpakai Kuwait lancar, positif

PROSES Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mendapatkan pesawat tempur dari Kuwait sedang berjalan lancar.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, perolehan yang dirancang itu melibatkan 33 buah pesawat F/A-18C/D Hornet Tentera Udara Kuwait.

Jelasnya, kesemua pesawat berkenaan masih dalam keadaan baik serta mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.

Boeing F/A-18D Hornet milik TUDM. – Foto ihsan YouTube

“Inisiatif ini masih menunggu perbincangan antara kedua-dua buah negara atau di peringkat kerajaan dengan kerajaan.

“Sekiranya inisiatif ini berjaya direalisasikan, sudah pasti ia akan meningkatkan tahap kesiagaan dan keupayaan TUDM,” katanya.

Ikmal berkata demikian ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, hari ini.

Ura-ura TUDM ingin medapatkan pesawat tempur milik Kuwait pernah tular di media sosial.

Terdahulu, Ikmal berkata TUDM segala rangka program peningkatan keupayaan pesawat tempur F/A-18D (Hornet) masih berjalan.

Kerajaan Kuwait dijangka melucut tauliahkan pesawat F/A-18C/D setelah menerima dan mengoperasikan pesawat terbaharu F/A-18E/F lebih moden dari Amerika Syarikat.

Dalam perkembangan sama, TUDM masih tiada perancangan pemodenan bagi pesawat latihan untuk tahun depan.

Lakaran pesawat Pilatus PC-7

Pesawat latihan terdiri daripada model PC7 dan helikopter EC120 akan terus diguna pakai untuk tahun depan seperti yang digariskan dalam CAP55.

TUDM juga berhasrat menggunakan pesawat tempur F/A-18D sehingga 2035.

Aermacchi MB-339 TUDM akan diganti dengan pesawat baharu dwi-fungsi

TUJUH pesawat latihan lanjut Aermacchi MB-339 di bawah operasi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal diganti dengan platform tunggal baharu dengan keupayaan dwi-fungsi. Pesawat baharu itu bakal memikul tugas latihan lanjutan dan tempur ringan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata pesawat buatan Itali berkenaan yang memasuki perkhidmatan TUDM pada 2009 kini digantung pengoperasiannya sejak 2018. Ia adalah susulan kemalangan di Kuantan, Pahang dan beberapa masalah teknikal berkaitan enjin.

Beliau berkata perolehan pesawat baharu bagi menggantikannya menjadi antara fokus 10 tahun pertama (2021 hingga 2030) di bawah Pelan Rancangan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

“Berdasarkan tempoh hayat ekonomi pesawat pejuang dan CAP55, pesawat ini (Aermacchi MB-339) dirancang ditamat pengoperasian pada 2028.

“Perolehan pesawat baharu yang berupaya melaksanakan dwifungsi bukan sahaja mampu memberi pulangan penjimatan kepada kewangan kerajaan, malah turut meningkatkan keupayaan pertahanan negara,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai rancangan penamatan operasi Aermacchi MB-339 dan jumlah rekod penerbangan tujuh buah pesawat hingga kini.

Ikmal Hisham berkata hala tuju pesawat itu juga akan ditentukan selepas Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) melaksanakan audit ke atas pihak pengeluar peralatan tulen (OEM) enjin.

Menurut Ikmal Hisham, tujuh pesawat berkenaan melengkapkan sebanyak 5,961 jam penerbangan.