Pasaran SUV kompak di Malaysia bagi bulan Mei 2026 terus menyajikan drama persaingan tiga segi di antara Perodua Ativa, Traz dan Proton X50.
Selepas pendaftaran terkumpul (YTD) Mac dan April memperlihatkan pergerakan agresif, kedudukan carta kini mula menunjukkan corak penguasaan yang semakin menarik untuk diteliti, terutamanya dalam kem Perodua.
Walau bagaimanapun, takhta kejuaraan secara individu masih lagi milik mutlak Proton X50 yang kekal kebal sebagai SUV paling laris di tanah air.
Proton X50 Kekal Mendominasi, Dekati Angka 12k Unit
Meskipun pasaran berdepan asakan hebat daripada lambakan SUV hibrid dan elektrik (EV) baharu dari China, keutamaan pengguna Malaysia terhadap Proton X50 nyata sukar digugat.
Bagi bulan Mei 2026, SUV segmen-B ini mencatatkan pendaftaran sebanyak 2,073 unit (menurun berbanding 2,468 unit pada April akibat faktor selepas raya).
Prestasi bulanan Proton X50 setakat lima bulan pertama 2026:
Januari: 1,891 unit
Februari: 2,340 unit
Mac: 2,858 unit
April: 2,468 unit
Mei: 2,073 unit
Jumlah Terkumpul (YTD Mei): 11,630 unit
Keupayaan enjin 1.5L Turbo yang digandingkan dengan transmisi DCT ini membuktikan pilihan rangkaian kuasa konvensional Proton masih memegang kepercayaan tertinggi dalam kalangan pembeli tempatan.
Di kem Perodua, persaingan antara Perodua Traz dan Perodua Ativa menjadi semakin membara.
Di atas kertas, Ativa membuktikan ia masih bertaring apabila berjaya memintas pendaftaran bulanan Traz buat kali kedua berturut-turut pada bulan Mei dengan kelebihan 223 unit.
Angka pendaftaran bulanan bagi bulan Mei 2026 sahaja:
Perodua Ativa: 1,762 unit (April: 2,230 unit)
Perodua Traz: 1,539 unit (April: 2,220 unit)
Namun begitu, dari segi pendaftaran keseluruhan (YTD), Traz yang dipacu enjin 1.5L NA kekal di hadapan hasil daripada momentum konsisten pada awal suku pertama yang lalu.
Prestasi pendaftaran terkumpul (YTD sehingga 31 Mei 2026):
Perodua Traz (No. 9 YTD): 8,849 unit
Perodua Ativa (No. 10 YTD): 8,276 unit
Strategi Dua Penjuru Perodua ‘Tapau’ Proton
Kewujudan serentak Traz dan Ativa dalam portfolio Perodua ternyata merupakan satu langkah taktikal yang sangat berbisa.
Gabungan pendaftaran terkumpul duo SUV kompak Perodua kini sudah pun mencecah 17,125 unit (YTD).
Angka keseluruhan ini bukan sahaja jauh meninggalkan pencapaian individu Proton X50 (11,630 unit), malah menjadi nadi dalam membantu mengukuhkan cengkaman apabila jumlah pendaftaran keseluruhan Perodua mencecah 130,778 unit setakat Mei 2026.
Statistik Pendaftaran Kenderaan (YTD Mei 2026)
Kejutan terbesar pada bulan ini menyaksikan Honda City terpaksa akur terkeluar daripada kelompok 10 kenderaan, sekali gus membolehkan Perodua Ativa kembali membuat kemunculan semula dan berada di tangga kesepuluh:
Pasaran SUV Malaysia bagi bulan April 2026 terus memperlihatkan penguasaan Proton X50 yang sukar digugat.
Meskipun pasaran kini dibanjiri dengan pelbagai model baharu sama ada dari jenama tempatan atau China, Proton X50 membuktikan kredibilitinya apabila kekal konsisten sebagai SUV paling laris di tanah air.
Sementara itu, dalam kem Perodua, perhatian terarah kepada model baharu Traz, yang kini secara rasmi memintas kedudukan pendaftaran terkumpul (YTD) saudaranya, Ativa.
Prestasi Proton X50 April 2026
Berdasarkan data pendaftaran sehingga 30 April 2026, Proton X50 kekal stabil dengan pendaftaran sebanyak 2,468 unit bagi bulan April.
Meskipun mencatat penurunan berbanding Mac, momentum X50 masih jauh di hadapan pencabar SUV segmen-B yang lain secara individu.
Prestasi konsisten ini menunjukkan model pembakaran dalaman (ICE) dengan kuasa turbo keluaran Proton masih memegang kepercayaan tinggi pengguna Malaysia.
Berikut adalah prestasi bulanan Proton X50 (Januari – April 2026):
Model ini mempamerkan momentum yang cukup kuat apabila merekodkan pendaftaran sebanyak 2,220 unit pada bulan April, sekali gus memintas kedudukan YTD Ativa.
Data pendaftaran bulanan bagi model Perodua Traz:
Januari: 1,520 unit
Februari: 1,850 unit
Mac: 1,720 unit
April: 2,220 unit
Jumlah Terkumpul (YTD): 7,310 unit
Manakala prestasi Perodua Ativa menyaksikan persaingan yang cukup sengit sejak Januari 2026:
Januari: 1,650 unit
Februari: 1,254 unit
Mac: 1,380 unit
April: 2,230 unit
Jumlah Terkumpul (YTD): 6,514 unit
Berdasarkan jualan April, dapat diperhatikan kedua-dua model ini sama kuat dengan Ativa berjaya memintas Traz sebanyak 10 unit.
Strategi SUV Perodua dan Penguasaan Pasaran
Bagi Perodua, kewujudan serentak Traz dan Ativa sebenarnya merupakan satu kelebihan taktikal yang sangat berbisa.
Persaingan sihat antara kedua-dua model ini memberikan kepelbagaian pilihan dalam segmen SUV kompak buat pembeli di Malaysia.
Pengguna boleh memilih sama ada mahukan teknologi turbo pada Ativa atau praktikaliti enjin 1.5L NA pada Traz.
Secara strategik, gabungan pendaftaran Traz dan Ativa kini mencecah 13,824 unit (YTD).
Angka ini ternyata jauh lebih tinggi berbanding pencapaian individu Proton X50 yang mencatatkan 9,557 unit (YTD).
Malah, jika dibandingkan dengan gabungan tiga model SUV utama Proton (X50, X70, X90) sebanyak 12,761 unit (YTD), duo SUV Perodua ini masih lagi mendahului dengan kelebihan 1,063 unit.
Setakat April, penguasaan Perodua dalam pendaftaran keseluruhan sudah pun mencecah angka 106,298 unit.
Gabungan Traz dan Ativa terbukti menjadi penyumbang dalam mengukuhkan cengkaman Perodua dalam pasaran SUV negara.
Statistik Pendaftaran Kenderaan (YTD April 2026)
Berikut adalah kedudukan 10 model paling popular mengikut pendaftaran terkumpul bagi tempoh Januari hingga April 2026:
Landskap SUV kompak Malaysia bagi penutup suku pertama (Q1) 2026 menyajikan drama yang tidak disangka-sangka di antara Perodua Ativa dan Traz.
Selepas dua bulan mendominasi dan menjadi sebutan ramai, Perodua Traz terkeluar daripada carta 10 terlaris dan berada pada tangga ke-15.
Berdasarkan data terkini, Mac 2026 menyaksikan senior dalam segmen SUV kompak, iaitu Ativa, kembali menunjukkan taring dan menduduki tangga sepuluh teratas.
Kebangkitan ini sekali gus berjaya memintas pencabar baharu tersebut dalam carta bulanan.
Analisis Perodua Ativa vs Perodua Traz 2026
Graf pendaftaran bulanan menunjukkan satu trend yang sangat ketara antara kedua-dua model Perodua ini sepanjang suku pertama 2026.
Persaingan dalaman ini membuktikan bahawa pilihan pengguna masih dinamik walaupun model baharu dilancarkan.
Januari 2026: Traz bermula garang dengan 1,901 unit, manakala Ativa sebanyak 1,012 unit.
Februari 2026: Jurang semakin rapat apabila Traz merekodkan 1,710 unit dan Ativa mula mendaki ke 1,352 unit.
Mac 2026: Kebangkitan mutlak Ativa dengan angka pendaftaran melonjak kepada 1,920 unit, manakala Traz menurun kepada 1,479 unit.
Prestasi cemerlang pada bulan Mac ini meletakkan Ativa kembali di hadapan, sekali gus membolehkan model turbo itu memasuki semula carta 10 model terlaris bulanan.
Kejatuhan pendaftaran Traz secara automatik menolaknya keluar daripada kelompok elit tersebut bagi bulan Mac.
Untuk Q1, Traz masih di atas dengan kedudukan 10 terlaris berdasarkan jualan terkumpul 5,090 unit manakala Atiza di tempat ke-12 dengan jualan 4,284 unit.
Persaingan Perodua Bezza, Proton Saga dan Perodua Axia
Persaingan di kelompok tiga teratas menunjukkan dinamika yang sangat sengit antara dua gergasi nasional.
Walaupun Saga memulakan tahun dengan agresif, kedudukan Q1 2026 menyaksikan takhta kereta nombor satu kini milik Perodua semula.
Pendaftaran Bezza pada bulan Mac mencecah 7,493 unit dan secara rasminya merampas takhta Q1 dengan pendaftaran terkumpul (YTD) sebanyak 22,955 unit.
Saga pula mengekor rapat di tangga kedua dengan 21,690 unit yang menyaksikan pendaftaran pada Mac susut ketara kepada 5,398 unit berbanding 6,007 unit pada Februari.
Satu yang menarik Perodua Axia dengan jualan 5,774 unit pada Mac berjaya memintas Saga dan berada pada tangga kedua.
Jualan terkumpul Axia adalah sebanyak 17,661 unit setakat Mac 2026.
Kebangkitan Honda City dan Nasib Toyota Hilux
Dua bulan lepas (Januari dan Februari), Toyota Hilux menjadi wakil tunggal jenama asing yang berjaya memecah masuk ke dalam kelompok 10 model terlaris.
Namun, Mac 2026 menyaksikan perubahan drastik dalam kategori jenama bukan nasional ini.
Honda City (Sedan & Hatchback) membuat kemunculan semula yang luar biasa dengan pendaftaran sebanyak 2,743 unit pada bulan Mac.
Kebangkitan ini meletakkan angka pendaftaran terkumpul siri City kepada 5,232 unit.
Walaupun pendaftaran Hilux pada bulan Mac menunjukkan peningkatan kepada 1,749 unit berbanding Februari (1,677 unit), kedudukannya tetap terancam.
Persoalan besar kini timbul dengan harga diesel yang melonjak tinggi, apakah nasib kenderaan utiliti seperti Hilux pada masa akan datang?
Toyota Hilux BEV dapat bantu kurangkan impak harga diesel?
Statistik Pendaftaran Kenderaan (YTD Mac 2026)
Berikut adalah kedudukan 10 model paling popular mengikut pendaftaran terkumpul bagi tempoh Januari hingga Mac 2026:
Luar biasa! Landskap automotif Malaysia menyaksikan anjakan besar dengan Perodua Traz membuktikannya kalis kecaman manakala Proton Saga dan Perodua Bezza terus bersaing sengit.
Segmen SUV kompak kini menjadi tumpuan Traz terus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok 10 terlaris, meninggalkan Ativa yang terkeluar dari radar kelompok elit sejak Januari 2026.
Dalam masa yang sama, persaingan dua model sedan paling ikonik negara, Saga dan Bezza terus menjadi drama kejar-mengejar sengit setakat tahun ini.
Drama Saga vs Bezza: Siapa Sebenarnya Raja?
Permulaan tahun ini memihak kepada Proton apabila Saga 2026 berjaya mengejutkan pasaran dengan kemenangan besar pada bulan Januari.
Namun, Perodua tidak menunggu lama untuk melakukan serangan balas pada bulan berikutnya.
Januari (Kemenangan Proton): Saga mendominasi dengan 10,285 unit, manakala Bezza tertinggal di belakang dengan 8,431 unit.
Februari (Kebangkitan Perodua): Bezza merampas kembali takhta bulanan dengan 7,031 unit, memintas Saga yang mencatatkan 6,007 unit.
Keputusan Keseluruhan (YTD): Walaupun Bezza menang di Februari, Proton Saga masih memegang gelaran Raja 2026 setakat ini dengan jumlah terkumpul 16,292 unit berbanding Bezza 15,462 unit.
Proton e.MAS 5: Dominasi Mutlak Pasaran EV
Satu lagi pencapaian yang wajib diberi perhatian adalah prestasi Proton e.MAS 5.
Model ini secara konsisten menjadi pilihan utama pengguna yang mahu beralih kepada teknologi elektrik daripada model petrol tradisional.
Setakat Februari 2026, e.MAS 5 telah merekodkan pendaftaran sebanyak 4,630 unit (YTD).
Kedudukannya yang kukuh di tangga ke-6 keseluruhan pasaran membuktikan bahawa Proton kini adalah peneraju sebenar pasaran EV massa di Malaysia, jauh meninggalkan pencabar EV dari jenama asing.
Satu-Satunya Wakil Luar: Toyota Hilux
Dalam keghairahan jenama nasional menguasai carta, satu fakta yang mengejutkan adalah bagaimana jenama asing tradisional semakin terhimpit.
Daripada 10 kedudukan teratas model paling laris, sembilan daripadanya didominasi sepenuhnya oleh Proton dan Perodua.
Toyota Hilux muncul sebagai pejuang tunggal jenama luar yang berjaya menyelit di kedudukan ke-10 dengan 3,015 unit pendaftaran (YTD).
Jenama Jepun lain yang dahulunya gah kini terpaksa akur berada di luar kelompok elit model individu bagi tahun 2026.
Fenomena Jenama China: Pintas Gergasi Jepun
Bukan sekadar model individu, landskap pengeluar juga berubah drastik. Jenama dari China kini mula mencabar dominasi tradisi jenama Jepun yang sudah lama bertapak di Malaysia:
Chery: Kini melonjak ke kedudukan ke-5 jenama paling laris dengan 5,101 unit, menghampiri Honda yang berada di tangga ke-4 (6,556 unit).
BYD: Berjaya menduduki tangga ke-7 dengan 1,382 unit, secara rasminya memintas jenama Jepun seperti Mazda (1,285 unit).
Perodua Traz vs Ativa: Jurang Semakin Rapat!
Di segmen SUV kompak, Perodua Traz terus membuktikan dirinya sebagai model yang kalis kecaman.
Walaupun dihujani kritikan netizen berkaitan spesifikasinya di media sosial, angka jualan menunjukkan realiti yang berbeza apabila Traz kekal utuh dalam kelompok Top 10 pasaran Malaysia bagi dua bulan berturut-turut.
Prestasi Perodua Traz (Kekal No. 8):
Januari: Mencatatkan 1,901 unit (Kedudukan No. 8).
Februari: Kekal kukuh dengan 1,710 unit (Kedudukan No. 8).
Jumlah Terkumpul (YTD): Sebanyak 3,611 unit, mengukuhkan statusnya sebagai antara SUV paling diminati rakyat Malaysia ketika ini.
Prestasi Perodua Ativa (Daripada 11 ke 15):
Januari: Bermula perlahan dengan 1,012 unit, menyebabkannya tercampak ke kedudukan ke-15.
Februari: Menunjukkan sinar kebangkitan dengan 1,352 unit.
Pertumbuhan: Pendaftaran melonjak drastik sebanyak 33.6% dalam tempoh sebulan.
Status Semasa: Melonjak naik ke tangga ke-11 dan berada di pintu Top 10.
Fakta Menarik (Jan – Feb 2026)
Saga Kekal Takhta Nombor 1: Walaupun tewas pada Februari, Proton Saga masih mendahului carta keseluruhan tahun 2026 dengan 16,292 unit.
Bezza Comeback: Perodua Bezza membuktikan taring terus berbisa dengan merampas kedudukan No. 1 Februari melalui 7,031 unit pendaftaran.
Lonjakan Ativa: Ativa mencatatkan pertumbuhan pendaftaran bulanan tertinggi dalam kem Perodua iaitu sebanyak 33.6% pada Februari.
Fenomena e.MAS 5: Satu-satunya model EV dalam Top 10 Malaysia dengan 4,630 unit atau separuh daripada pendaftaran Myvi.
Hilux Bertahan: Toyota Hilux menjadi satu-satunya model bukan kebangsaan dalam kelompok Top 10 dengan 3,015 unit.
Chery Himpit Honda: Jenama Chery kini hanya dibezakan sekitar 1,400 unit sahaja untuk merampas kedudukan ke-4 keseluruhan daripada Honda.
Dominasi Tempatan: 9 daripada 10 kereta paling laris di Malaysia bagi tahun 2026 setakat ini dari jenama kebangsaan.
Katakanlah (baca: kecam) apa jua yang anda mahu tentang Perodua Traz, tapi ini adalah SUV Perodua yang paling hensem pernah dihasilkan.
Walaupun tiba agak lewat di pasaran, kembar kepada Toyota Yaris Cross ini masih cuba untuk mengekalkan DNA Perodua yang dikenali ramai.
Ia ada pakej ruang yang selesa, praktikal, dan dalam masa yang sama hadir dengan teknologi moden.
Kami berkesempatan untuk memandu uji SUV ini selama beberapa hari, dan berikut merupakan penemuan kami:
Rupa Traz yang ganazz
Tidak dinafikan, Perodua Traz banyak berkongsi komponen dengan kembarnya Toyota Yaris Cross.
Almaklumlah, platform pun sama, guna DNGA-B macam Toyota Vios, Toyota Velos dan Perodua Alza.
Cuma, penampilannya boleh dibezakan dengan rekaan jeriji, serta rekaan rim 17 inci yang lebih agresif.
Penulis menggemari rupa paras luaran Traz yang tampak berkotak dan bersegi, terutama bila diperhatikan pada bahagian belakang.
Seakan sebuah SUV Lexus yang diberikan lencana Perodua.
Mahukan yang lebih menonjol, pilih sahaja kit badan GearUp.
Dimensi
Secara asasnya, Traz membawakan ukuran dimensi yang jauh lebih besar berbanding Ativa.
Dengan panjang sekitar 4,310 mm dan jarak antara roda 2,620 mm, Traz menawarkan ruang kabin yang besar dan selesa.
Jarak kelegaan tanah pula setinggi 210 mm, cukup memadai untuk digunakan di atas jalan raya Malaysia.
Antara kelebihan utama Traz ialah ruang kargo yang cukup besar, sekitar 471 liter.
Rebahkan sahaja tempat duduk baris kedua, dan anda akan disediakan ruang barang yang lebih besar dengan lantai hampir rata.
Radius putaran sekecil 5.2 meter pula memberikan kelebihan yang tersendiri terutama ketika memandu dalam kawasan urban yang sempit.
Kabin moden
Melengkapi imej sporti Traz ialah susun atur papan pemuka berorientasikan pemandu.
Sejujurnya, kehadiran ciri olskool seperti meter analog merupakan satu perkara yang amat dihargai oleh penulis.
Ringkas, mudah untuk dibaca.
Terdapat skrin paparan TFT sekecil 4.2 inci, itu pun sudah cukup untuk memaparkan info tambahan yang diperlukan.
Butang kawalan juga besar dan mudah untuk dicapai.
Jadi, penulis tidak berdepan masalah langsung untuk mencapai butang kawalan dan mengaktifkan ciri yang diinginkan semasa memandu.
Kualiti alunan bunyi yang dilontarkan oleh sistem audio Traz juga tidak mengecewakan untuk telinga seorang yang bukan audiophile.
Ada sokongan Apple CarPlay dan Android Auto pada skrin 9 inci untuk memudahkan urusan harian yang memerlukan bantuan sistem navigasi.
Cuma, apa yang perlu Perodua buat ialah kurangkan penggunaan aksen merah pada papan pemuka, kerana ia dilihat agak keterlaluan pada pandangan mata.
Pemanduan tidak sporti yang disangka
“Tekan, tekan, pergi” bukanlah moto Traz jika dibandingkan dengan Ativa yang hadir dengan enjin turbo.
Traz berkongsi enjin 1.5 liter (2NR-VE) yang sama wujud pada Perodua Myvi dan Toyota Vios.
Jadi, usah harapkan pecutan sepantas kilat di persimpangan lampu isyarat saat lampu merah bertukar hijau.
Dengan padanan transmisi D-CVT, Traz direka untuk pemanduan yang lebih santai, dan lebih mengutamakan keselesaan.
Mahukan pecutan yang lebih bertenaga, tukar saja kepada mod Power.
Biarpun hadir tanpa enjin turbo, penulis lebih gemar aspek pemanduan Traz yang rasa lebih stabil berbanding Ativa.
Prestasi brek juga meyakinkan, namun ia tidak diseimbangkan dengan talaan stereng yang lebih tajam.
Pengendaliannya terasa sedikit kaku dan tidak responsif seperti yang diharapkan, terutama pada kelajuan lebuh raya yang lebih tinggi.
Namun ia bukanlah satu masalah besar bagi kebanyakan demografik pengguna Traz.
Disebabkan casis yang lebih stabil, Traz juga sebenarnya seronok dipandu di laluan yang berliku walaupun sekadar dibantu dengan tayar standard Proxes CR1.
Kurang olengan casis dirasakan, dan pada kelajuan yang dibenarkan Traz ini boleh dipandu melekat sepanjang selekoh.
Keselesaan
Seperkara yang harus dipuji ialah tempat duduk Traz yang cukup besar dan selesa untuk penumpang dewasa, baik baris depan mahupun belakang.
Tidak seperti Ativa di mana pemandu perlu duduk menegak, posisi pemanduan Traz dirasakan lebih natural.
Sejujurnya, ini antara tempat duduk Perodua yang paling sedap pernah dihasilkan setakat ini.
Dengan sokongan kusyen untuk bahagian peha yang lebih panjang, ia membantu mengurangkan keletihan terutama ketika perjalanan jauh.
Larasan manual? Tidak menjadi masalah.
Setidak-tidaknya, ia mengurangkan kebergantungan diri terhadap perkakasan elektronik dalam SUV ini.
Aspek NVH juga cukup baik di mana penulis dapat merasakan suasana kabin kekal senyap.
Cuma sekali sekala tumpuan sedikit terganggu akibat bunyi bising enjin yang dikerah secara paksa.
Talaan suspensi juga dirasakan agak baik untuk sebuah Perodua, sesuai untuk kebanyakan permukaan jalan raya di Malaysia.
Ia mampu menyerap ketidakrataan jalan, menapis dan mengurangkan gegaran bagi memastikan kabin kekal selesa. Terasa macam kereta rali pula sekali sekala.
Keselamatan
Dengan ciri ADAS, kamera 360 darjah, dashcam dan penarafan lima bintang ASEAN NCAP, Traz boleh jadi satu model yang patut dipertimbangkan.
Disebalik senarai yang dibekalkan, satu sahaja kekurangan yang ada pada Traz: tiada fungsi kawalan jelajah adaptif (ACC).
Ketiadaan ciri tersebut membuatkan roda stereng Traz terasa kosong, boleh membuatkan ramai pembeli prospek berbelah bagi.
Namun, cuba bilang dengan jari berapa kali anda perlukan (dan aktifkan) ciri tersebut setiap kali memandu.
Kebanyakan masa dihabiskan dalam kesesakan trafik, balik kampung pun sekali-sekala, kan?
Kesimpulan
Terdapat banyak pilihan SUV segmen B yang ada dipasaran pada ketika ini.
Dalam julat harga sekitar RM100,000 ada SUV yang terlebih kuasa, terlebih canggih, dan terlampau jimat minyak.
Ciri sebegini memang mengujakan majoriti demografik pembeli masa kini terutama golongan muda.
Namun, usah lupakan kelompok pengguna yang masih mendambakan kereta moden dengan ciri teknologi yang lebih ringkas, tahan lasak, mudah dipercayai dan lebih penting kos pemilikan yang lebih murah.
Jadi, Perodua Traz merupakan jawapan yang ideal sekiranya anda berada di persimpangan dilema untuk memilih SUV yang sesuai digunakan setiap hari.
Spesifikasi Perodua Traz 2026
Enjin 1.5 liter 2NR-VE
Kuasa 105 PS @ 6,000 rpm, daya kilas 138 Nm @ 4,200 rpm
Perodua Traz ditawarkan dalam dua varian, X dan H, dengan harga bermula dari RM76,100 hingga RM81,100.
SUV yang lebih besar daripada Atiza ini menggunakan rangkaian kuasa yang sudah dikenali dalam keluarga Perodua, sekali gus memberi gambaran awal bahawa kos pemilikan jangka panjang berada pada tahap terkawal.
Traz berkongsi enjin 2NR-VE 1.5 liter aspirasi semula jadi (NA) yang sama digunakan pada Perodua Myvi dan Alza.
Enjin ini menghasilkan kuasa 105 ps pada 6,000 rpm serta daya kilas 138Nm pada 4,200 rpm.
Penggunaan enjin NA juga jawapan kepada pengguna yang tidak mahukan enjin turbo seperti Atiza.
Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi Dual Mode CVT (D-CVT) yang turut dilengkapi fungsi penukaran gear manual serta tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport.
Dengan tangki petrol 42 liter, Perodua Traz mencatatkan penggunaan bahan api 21.3 km/liter (MDC).
Selain kecekapan bahan api, satu lagi aspek penting bagi bakal pembeli ialah kos penyelenggaraan.
Berikut adalah ringkasan kos yang perlu dibayar bagi setiap tempoh servis, berserta komponen yang perlu ditukar sepanjang lima tahun pertama.
1. Servis Tahun Pertama (1K km & 10K km)
1K km (Bulan 1): Kos adalah RM0.00 bagi Semenanjung Malaysia (WM) dan Malaysia Timur (EM). Servis ini hanya melibatkan pemeriksaan menyeluruh dan ianya adalah percuma.
10K km (Bulan 6): Kos adalah RM184.70 (WM) / RM193.00 (EM). Komponen yang ditukar ialah Minyak Enjin, Penapis Minyak dan Gasket Saliran (Drain Plug Gasket).
20K km (Bulan 12): Kos adalah RM340.41 (WM) / RM350.71 (EM). Komponen yang ditukar ialah Minyak Enjin, Gasket Palam Saliran, Penapis Minyak dan Penapis Kabin.
2. Servis Tahun Kedua (30K km & 40K km)
30K km (Bulan 18): Kos adalah RM256.24 (WM) / RM264.54 (EM). Komponen yang ditukar ialah Minyak Enjin, Penapis Minyak dan Gasket Saliran.
40K km (Bulan 24): Kos adalah RM437.50 (WM) / RM452.30 (EM). Servis ini melibatkan penukaran Minyak Enjin, Gasket Saliran, Penapis Minyak, Bendalir Brek (1.0L), Penapis Kabin dan Penapis Udara.
3. Servis Tahun Ketiga (50K km & 60K km)
50K km (Bulan 30): Kos adalah RM256.24 (WM) / RM264.54 (EM). Komponen yang ditukar ialah Minyak Enjin, Penapis Minyak dan Gasket Saliran.
60K km (Bulan 36): Kos adalah RM340.41 (WM) / RM350.71 (EM). Servis ini melibatkan penukaran Minyak Enjin, Gasket Saliran, Penapis Minyak dan Penapis Kabin.
4. Servis Tahun Keempat (70K km & 80K km)
70K km (Bulan 42): Kos adalah RM256.24 (WM) / RM264.54 (EM). Komponen yang ditukar ialah Minyak Enjin, Penapis Minyak dan Gasket Saliran.
80K km (Bulan 48): Kos adalah RM437.50 (WM) / RM452.30 (EM). Servis ini melibatkan penukaran Minyak Enjin, Gasket Saliran, Penapis Minyak, Bendalir Brek, Penapis Kabin dan Penapis Udara.
5. Servis Tahun Kelima (90K km, & 100K km)
90K km (Bulan 54): Kos adalah RM256.24 (WM) / RM264.54 (EM). Komponen yang ditukar ialah Minyak Enjin, Penapis Minyak dan Gasket Saliran.
100K km (Bulan 60): Ini adalah servis major dengan kos RM769.38 (WM) / RM804.48 (EM).
Selain penukaran Minyak Enjin, Gasket dan Penapis Minyak, ia juga melibatkan penukaran Bendalir CVT, Gasket Saliran CVT, Penapis Kabin dan Palam Pencucuh Jenis Iridium.
Kos Penyelenggaraan 5 Tahun
Berdasarkan senarai harga servis, jumlah kos penyelenggaraan Perodua Traz sepanjang tempoh lima tahun atau sehingga 100,000 kilometer adalah RM3,179.86 bagi Semenanjung Malaysia (WM) dan RM3,301.66 bagi Malaysia Timur (EM).
Secara purata, kos penyelenggaraan tahunan adalah sekitar RM635.97 di Semenanjung Malaysia dan RM660.33 di Malaysia Timur.
Angka-angka ini memberikan panduan kepada pemilik mengenai peruntukan kewangan yang diperlukan untuk mengekalkan Traz mereka dalam tempoh jaminan atau lima tahun pertama.
Di sebalik kos tersebut, anda juga perlu memperuntukkan kos lain seperti penjajaran dan penggantian tayar, penyelenggaraan penyaman udara, bateri dan beberapa lagi sekiranya diperlukan.
Selepas pelancaran SUV elektrik QV-E pada awal bulan yang lalu, Perodua kini melancarkan sebuah lagi SUV baharu yang dinamakan sebagai Perodua Traz.
Ditawarkan dalam dua varian (X dan H), Perodua Traz 2026 dijual pada harga bermula dari RM76,100 hingga RM82,000.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Model keempat Perodua guna platform DNGA
Perodua Traz merupakan model keempat Perodua yang mengguna pakai pelantar DNGA (Daihatsu New Global Architecture) selepas Axia, Ativa dan juga Alza.
Seperkara yang harus anda tahu, Traz merupakan kembar kepada SUV segmen B Toyota Yaris Cross yang telah dijual di beberapa pasaran utama Asia Tenggara.
2. Dimensi
Traz diposisikan antara model Ativa dan juga Alza, dan disasarkan untuk golongan berpendapatan sederhana yang mahu naik taraf daripada sedan/hatchback kepada model SUV yang lebih praktikal dan bergaya.
Dari segi ukuran, Traz membawakan dimensi sepanjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,655 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,620 mm.
Berbanding Ativa, Traz mempunyai kelebihan 245 mm lebih panjang, 60 mm lebih lebar, 20 mm lebih tinggi dan jarak antara roda 95 mm lebih panjang.
Jarak kelegaan tanah pula setinggi 210 mm sementara radius putaran adalah sekecil 5.2 meter.
Dengan dimensi panjang ruang kargo 955 mm, Traz boleh memuatkan barangan sehingga 471 liter.
3. Enjin
Traz nampaknya berkongsi enjin 2NR-VE yang sama dengan Perodua Myvi dan Alza, iaitu nadi 1.5 liter NA yang mampu menjana kuasa 105 PS @ 6,000 rpm dan daya kilas 138 Nm @ 4,200 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan roda depan menerusi transmisi Dual Mode CVT (D-CVT), lengkap dengan fungsi penukaran gear secara manual.
Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport.
Dengan tangki bahan api sebesar 42 liter, Traz mampu menawarkan kadar penggunaan bahan api serendah 4.69 liter untuk setiap 100 km (21.3 km/liter).
4. Luaran
Traz hadir dengan kelengkapan seperti rim aloi 17 inci (tayar 215/60), lampu utama projektor LED berserta lampu nyalaan siang (DRL) LED, cermin sisi auto lipat, serta lampu belakang LED gaya Lexus.
Varian tertinggi pula didatangkan dengan lampu selamat datang, lampu kabus LED serta pintu tailgate bukaan elektrik dengan penderia kaki disertakan.
Terdapat empat warna disediakan seperti Cranberry Red, Ivory White, Glittering Silver dan Granite Grey.
Untuk varian H pula pembeli boleh mendapatkan pakej warna dua tona Glittering Silver atau Electric Blue dengan bumbung berwarna hitam.
5. Kabin
Secara standard, Traz hadir dengan kelengkapan seperti meter analog, skrin paparan TFT 4.2 inci, skrin Display Audio 9 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, stereng larasan tilt & teleskopik, panel kawalan iklim dengan skrin digital serta corong angin untuk baris kedua.
Ruang kargo pula disediakan tonneau cover.
Varian X menawarkan ciri berikut:
empat pembesar suara
tempat duduk balutan fabrik dengan grafik separa
roda stereng urethane
Sementara varian H pula mendapat kelengkapan seperti:
tambahan dua pembesar suara (enam secara keseluruhan)
sistem pendingin hawa automatik
roda stereng balutan kulit
sistem kemasukan pintar bebas kunci
6. Keselamatan
Traz menawarkan sehingga enam beg udara, ABS, EBD, BA, brek parkir elektrik (EPB) dengan fungsi Hold, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), cagak ISOFIX, peringatan tali pinggang keledar penumpang belakang, kamera undur serta pendera parkir depan dan belakang.
Ciri keselamatan termaju pula merangkumi ciri berikut:
Amaran Pra-Pelanggaran
Bantuan Brek Pra-Pelanggaran (kenderaan dan pejalan kaki)
Amaran Pergerakan Hadapan (FDA)
Kawalan Salah Operasi Pedal (PMC)
Amaran Keluar Lorong (LDW)
Pengelakan Keluar Lorong (LDP)
Pemantauan Titik Buta (BSM)
Ciri kamera keliling 360 darjah dan kamera perakam pemanduan (DVR) pula dikhususkan untuk varian H sahaja.
Dalam tempoh beberapa hari lagi Perodua akan memperkenalkan sebuah SUV baharu yang ketika ini dikenali melalui kod dalaman D66B, dengan nama komersial yang dikatakan sama ada Perodua Traz atau Perodua Nexis.
Model ini bakal mengisi ruang di atas Ativa dengan asas teknikal Toyota Yaris Cross versi Asia, bukannya versi Eropah. Sama seperti Aruz dan Alza, Toyota dijangka turut melancarkan versi tersendiri.
Pengguna di Thailand dan Indonesia terlebih dahulu dapat merasa Yaris Cross.
Berikut lima perkara awal yang boleh dirumuskan setakat ini.
1. Diasaskan Daripada Toyota Yaris Cross Versi Asia
Perodua Traz/Nexis ini berasaskan Toyota Yaris Cross seperti yang ditawarkan di Thailand dan Indonesia.
Ini bermakna ia menggunakan konfigurasi rangkaian kuasa, dimensi dan talaan yang disesuaikan untuk pasaran ASEAN, berbeza dengan Yaris Cross Eropah yang lebih kecil dan berorientasikan citarasa pengguna di sana.
Pendekatan ini selari dengan strategi Perodua yang menekankan praktikaliti, kos pemilikan dan kesesuaian penggunaan harian.
2. Pilihan Enjin 1.5L Petrol dan Hibrid
Berdasarkan spesifikasi pasaran Thailand, Yaris Cross versi Asia ditawarkan dengan sistem hibrid 1.5L menggunakan enjin 2NR-VEX:
Enjin 4-silinder sebaris DOHC 16-injap Dual VVT-i
Kapasiti: 1,496 cc
Kuasa enjin petrol: 91 hp @ 5,500 rpm
Tork enjin petrol: 121Nm @ 4,000 – 4,800 rpm
Kuasa gabungan sistem hibrid: 82 kW (111 hp)
Voltan bateri: 177.6 volt
Transmisi: E-CVT
Sementara itu, model Indonesia menggunakan dua pilihan enjin iaitu 1.5 liter 2NR-VE dan rangkaian kuasa hibrid 2NR-VEX seperti Thailand:
1.5 liter 2NR-VE
Kuasa maksimum: 105 ps @ 6,000 rpm
Tork maksimum: 138Nm @ 4,200 rpm
Transmisi: Manual dan CVT
Setakat ini tiada makluman atau petunjuk mengenai rangkaian kuasa Traz/Nexis. Untuk makluman, Perodua sebelum ini menawarkan rangkaian kuasa hibrid untuk Ativa secara pajakan buat pelanggan terpilih.
3. Dimensi
Sebagai rujukan, berikut adalah dimensi Toyota Yaris Cross Thailand dan Indonesia.
Panjang: 4,310 mm
Lebar: 1,770 mm
Tinggi: 1,615 mm
Jarak roda: 2,620 mm
Kelegaan tanah: 210 mm
Radius pusingan minimum: 5.2 meter
Dimensi ini meletakkannya hampir dengan SUV segmen B+ dan menghampiri saiz beberapa SUV segmen C.
4. Perbandingan Awal Dengan Ativa dan Proton X50
Dari sudut kedudukan pasaran, Perodua D66B jelas berada di antara Perodua Ativa dan Proton X50, baik dari segi saiz mahupun penawaran.
Perodua Ativa kekal sebagai SUV paling kompak dalam barisan Perodua:
Panjang: 4,065 mm
Lebar: 1,710 mm
Tinggi: 1,635 mm
Jarak roda: 2,525 mm
Sebaliknya, Proton X50 sedikit panjang dan lebar dan jauh lebih berkuasa berbanding Yaris Cross.
Panjang: 4,330 mm
Lebar: 1,800 mm
Tinggi: 1,609 mm
Jarak roda: 2,600 mm
Enjin 1.5L turbo empat silinder menghasilkan 181 ps dan 290Nm
Dipadankan dengan transmisi DCT
Dalam konteks ini, walaupun Perodua D66B bakal bersaing secara langsung dengan X50 dari sudut saiz dan segmen, pendekatan Perodua jelas berbeza.
Traz/Nexis dijangka menekankan kecekapan bahan api dan kos pemilikan berbanding prestasi tinggi, memandangkan X50 menggunakan enjin turbo dan transmisi DCT yang lebih berorientasikan pemanduan.
Indonesia:
Bermula daripada Rp358,700,000 (RM88,410.94)
Untuk pasaran Malaysia, harga Perodua Traz/Nexis berkemungkinan lebih tinggi daripada Ativa bagi mengelakkan pertindihan produk, namun masih kompetitif dalam segmen SUV-B+.
Ativa dijual pada julat harga sekitar RM62,000 sehingga RM73,000 dan menariknya Perodua sedang menawarkan rebat sehingga RM7,000.
Angka itu satu jumlah besar yang pernah ditawarkan Perodua atau mereka sedang membuat pelarasan harga?