Arkib Tag: Perodua Bezza

KLIMS2026: Perodua perlihat konsep C2, petunjuk Bezza generasi baharu?

Bertempat di KLIMS 2026, Perodua mengambil kesempatan memperlihatkan model konsep baharu yang dinamakan sebagai Perodua C2 (atau Chapter 2).

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, “C2 adalah sebahagian daripada jalan cerita EV kami.

“Ia mengembangkan naratif buatan Malaysia untuk dunia, seiring dengan usaha kami menambah baik pengalaman mobiliti untuk pelanggan kami.

Konsep canggih

Perodua C2 dilengkapi dengan teknologi terbaharu serta dicipta oleh pereka muda dan berbakat yang mencerminkan visi mereka terhadap masa depan EV.

Ia diposisikan sebagai sebuah kenderaan segmen B yang dibantu dengan fungsi kepintaran buatan (AI) seperti:

  • sistem navigasi masa sebenar
  • lokasi stesen pengecasan
  • kemas kini trafik
  • ciri anti-curi
  • bantuan parkir kenderaan

 

Model ini juga menggabungkan aplikasi super P-Circle supaya pelanggan pada masa depan boleh mendapatkan akses mudah terhadap perkhidmatan seperti e-dompet dan penghantaran alat ganti tulen.

Menurut Dato’ Sri Zainal lagi, C2 mewakili fasa baharu gaya reka bentuk Perodua dan akan menjadi asas kepada EV Perodua pada masa depan.

“Kami teruja untuk berinteraksi dengan pelawat di reruai Perodua dan mendapatkan maklum balas serta pandangan mereka bagi memastikan produk baharu kami memenuhi jangkaan pelanggan,” ujarnya lagi.

 

Perodua Traz 10 terlaris pada Feb, Ativa terkeluar sejak Jan 2026!

Luar biasa! Landskap automotif Malaysia menyaksikan anjakan besar dengan Perodua Traz membuktikannya kalis kecaman manakala Proton Saga dan Perodua Bezza terus bersaing sengit.

Segmen SUV kompak kini menjadi tumpuan Traz terus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok 10 terlaris, meninggalkan Ativa yang terkeluar dari radar kelompok elit sejak Januari 2026.

Dalam masa yang sama, persaingan dua model sedan paling ikonik negara, Saga dan Bezza terus menjadi drama kejar-mengejar sengit setakat tahun ini.

Drama Saga vs Bezza: Siapa Sebenarnya Raja?

Permulaan tahun ini memihak kepada Proton apabila Saga 2026 berjaya mengejutkan pasaran dengan kemenangan besar pada bulan Januari.

Namun, Perodua tidak menunggu lama untuk melakukan serangan balas pada bulan berikutnya.

  • Januari (Kemenangan Proton): Saga mendominasi dengan 10,285 unit, manakala Bezza tertinggal di belakang dengan 8,431 unit.
  • Februari (Kebangkitan Perodua): Bezza merampas kembali takhta bulanan dengan 7,031 unit, memintas Saga yang mencatatkan 6,007 unit.
  • Keputusan Keseluruhan (YTD): Walaupun Bezza menang di Februari, Proton Saga masih memegang gelaran Raja 2026 setakat ini dengan jumlah terkumpul 16,292 unit berbanding Bezza 15,462 unit.

Proton e.MAS 5: Dominasi Mutlak Pasaran EV

Satu lagi pencapaian yang wajib diberi perhatian adalah prestasi Proton e.MAS 5.

Model ini secara konsisten menjadi pilihan utama pengguna yang mahu beralih kepada teknologi elektrik daripada model petrol tradisional.

Setakat Februari 2026, e.MAS 5 telah merekodkan pendaftaran sebanyak 4,630 unit (YTD).

Kedudukannya yang kukuh di tangga ke-6 keseluruhan pasaran membuktikan bahawa Proton kini adalah peneraju sebenar pasaran EV massa di Malaysia, jauh meninggalkan pencabar EV dari jenama asing.

Satu-Satunya Wakil Luar: Toyota Hilux

Dalam keghairahan jenama nasional menguasai carta, satu fakta yang mengejutkan adalah bagaimana jenama asing tradisional semakin terhimpit.

Daripada 10 kedudukan teratas model paling laris, sembilan daripadanya didominasi sepenuhnya oleh Proton dan Perodua.

Toyota Hilux muncul sebagai pejuang tunggal jenama luar yang berjaya menyelit di kedudukan ke-10 dengan 3,015 unit pendaftaran (YTD).

Jenama Jepun lain yang dahulunya gah kini terpaksa akur berada di luar kelompok elit model individu bagi tahun 2026.

Fenomena Jenama China: Pintas Gergasi Jepun

Bukan sekadar model individu, landskap pengeluar  juga berubah drastik. Jenama dari China kini mula mencabar dominasi tradisi jenama Jepun yang sudah lama bertapak di Malaysia:

  • Chery: Kini melonjak ke kedudukan ke-5 jenama paling laris dengan 5,101 unit, menghampiri Honda yang berada di tangga ke-4 (6,556 unit).
  • BYD: Berjaya menduduki tangga ke-7 dengan 1,382 unit, secara rasminya memintas jenama Jepun seperti Mazda (1,285 unit).

Perodua Traz vs Ativa: Jurang Semakin Rapat!

Di segmen SUV kompak, Perodua Traz terus membuktikan dirinya sebagai model yang kalis kecaman.

Walaupun dihujani kritikan netizen berkaitan spesifikasinya di media sosial, angka jualan menunjukkan realiti yang berbeza apabila Traz kekal utuh dalam kelompok Top 10 pasaran Malaysia bagi dua bulan berturut-turut.

Prestasi Perodua Traz (Kekal No. 8):

  • Januari: Mencatatkan 1,901 unit (Kedudukan No. 8).
  • Februari: Kekal kukuh dengan 1,710 unit (Kedudukan No. 8).
  • Jumlah Terkumpul (YTD): Sebanyak 3,611 unit, mengukuhkan statusnya sebagai antara SUV paling diminati rakyat Malaysia ketika ini.

Prestasi Perodua Ativa (Daripada 11 ke 15):

  • Januari: Bermula perlahan dengan 1,012 unit, menyebabkannya tercampak ke kedudukan ke-15.
  • Februari: Menunjukkan sinar kebangkitan dengan 1,352 unit.
  • Pertumbuhan: Pendaftaran melonjak drastik sebanyak 33.6% dalam tempoh sebulan.
  • Status Semasa: Melonjak naik ke tangga ke-11 dan berada di pintu Top 10.

Fakta Menarik (Jan – Feb 2026)

  • Saga Kekal Takhta Nombor 1: Walaupun tewas pada Februari, Proton Saga masih mendahului carta keseluruhan tahun 2026 dengan 16,292 unit.
  • Bezza Comeback: Perodua Bezza membuktikan taring terus berbisa dengan merampas kedudukan No. 1 Februari melalui 7,031 unit pendaftaran.
  • Lonjakan Ativa: Ativa mencatatkan pertumbuhan pendaftaran bulanan tertinggi dalam kem Perodua iaitu sebanyak 33.6% pada Februari.
  • Fenomena e.MAS 5: Satu-satunya model EV dalam Top 10 Malaysia dengan 4,630 unit atau separuh daripada pendaftaran Myvi.
  • Hilux Bertahan: Toyota Hilux menjadi satu-satunya model bukan kebangsaan dalam kelompok Top 10 dengan 3,015 unit.
  • Chery Himpit Honda: Jenama Chery kini hanya dibezakan sekitar 1,400 unit sahaja untuk merampas kedudukan ke-4 keseluruhan daripada Honda.
  • Dominasi Tempatan: 9 daripada 10 kereta paling laris di Malaysia bagi tahun 2026 setakat ini dari jenama kebangsaan.

Sumber: data.gov.my

Perodua Myvi, Yamaha 135LC paling banyak terlibat dalam kemalangan tahun 2024

Selain dinobatkan sebagai ‘Raja Jalan Raya’, Perodua Myvi juga dilapor paling banyak terlibat di dalam kemalangan jalan raya sepanjang tahun 2024, lapor akhbar NST.

Koordinator Majlis Pengurangan Kecurian dan Kemalangan Kenderaan Malaysia (VTAREC), Mas Tina Abdul Hamid berkata, rekod daripada industri insurans menunjukkan sejumlah 24,628 tuntutan yang dibuat tahun lepas membabitkan hatchback segmen B tersebut.

Tempat kedua disandang oleh Proton Saga dengan jumlah tuntutan 16,159, diikuti Honda City (13,388), Toyota Vios (13,007) dan Perodua Bezza (12,437).

Sementara itu, Yamaha 135LC menduduki tangga teratas sebagai model motosikal yang paling kerap terlibat dalam kemalangan dengan hampir 3,000 kes, diikuti Yamaha Y15ZR (2,154).

Jelasnya, kedua-dua model motosikal tersebut merangkumi 30 peratus daripada jumlah keseluruhan kemalangan motosikal pada tahun lepas.

Negara mencatatkan jumlah kemalangan sebanyak 266,716 kes pada tahun lepas, dengan peratusan tertinggi disumbangkan oleh kereta sebanyak 229,739 kes, diikuti dengan kenderaan komersial sebanyak 22,828 kes, dan motosikal (15,149 kes).

Perodua Bezza kini Raja Jalanan, Myvi turun takhta

Gelaran Raja Jalanan selama ini dipegang oleh Perodua Myvi berpuluh tahun lamanya sejak ia dilancarkan buat kali pertama pada tahun 2005.

Namun, keadaan itu kini berubah apabila Myvi kini tidak lagi diiktiraf sebagai Raja Jalanan.

Sebaliknya, gelaran tersebut dipegang oleh sebuah lagi model Perodua yang paling laris, iaitu Perodua Bezza!

Data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan sebanyak 56,735 unit Bezza telah didaftarkan pada tahun 2023, mengatasi jumlah Myvi yang didaftarkan untuk tahun yang sama (45,014 unit).

Populariti Bezza banyak disumbangkan oleh aspek praktikaliti sedan segmen A itu sendiri yang mampu memuatkan bagasi sehingga 508 liter, serta penjimatan bahan api yang lebih baik berbanding Myvi.

Selain itu, faktor harga juga turut memainkan peranan penting, di mana Bezza boleh didapati pada harga serendah RM35,580 berbanding Myvi yang bermula dari RM46,500.

 

 

Namun begitu, Myvi masih lagi mengungguli carta Google Trends sebagai model yang paling tinggi dicari dengan nilai minat carian purata 82, berbanding Perodua Bezza (nilai purata 38).

Perodua Myvi merupakan bahan carian utama di beberapa buah bandar dan pekan di pantai timur seperti Cukai (Terengganu), Ketereh (Kelantan), Pasir Mas (Kelantan), Balok (Pahang), dan juga Marang (Terengganu).

Sementara Perodua Bezza pula merupakan bahan carian utama bagi bandar dan pekan di Sabah dan Sarawak, seperti Sri Aman (Sarawak), Beluran (Sabah), Bintulu (Sarawak), Kudat (Sabah) dan Sandakan (Sabah).