Arkib Tag: perodua alza

Perodua Alza recall: Pemilik terima surat untuk pemeriksaan suspensi depan

PEMILIK-pemilik Perodua Alza generasi-kedua yang telah menerima surat jemputan panggilan semula (recall) boleh membawa kenderaan mereka untuk khidmat pemeriksaan kualiti.

Menurut surat yang dikongsi oleh seorang pemilik dalam forum Facebook Perodua Alza D27A Malaysia, isu itu adalah berkenaan suspensi depan dimana bolt mungkin perlu diketatkan jika ia longgar.

Kerja-kerja pemeriksaan itu akan mengambil masa sejam, dan semua kos ditanggung oleh Perodua.

Gambar oleh: Facebook Perodua Alza D27A Malaysia

“Kami memberi jaminan kenderaan anda selamat dipandu. Pemeriksaan kualiti ehsan ini bagi memberikan standard kualiti dan penjagaan tertinggi buat pelanggan kami yang dihargai” tulis surat itu.

Pemeriksaan bahagian atas suspensi depan ini difahamkan adalah serupa dengan kempen yang dijalankan untuk Toyota Veloz dan Vios sebelum ini.

Belum hilang bau kedai! Perodua Alza baru dimiliki dua hari terlibat kemalangan

BARU beberapa minggu selepas Perodua Alza 2022 dilancarkan, sudah terdapat sebuah MPV baharu itu dilaporkan terlibat dalam kemalangan.

Tular sejak semalam beberapa keeping foto menunjukkan Alza 2022 berwarna Elegant Black itu remuk setelah berlanggar secara berdepan dengan sebuah SUV Hyundai.

Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku di Kampung Sungai Dua, Gemencheh, Negeri Sembilan itu, Alza itu dikatakan milik seorang guru dan baru dimiliki sejak dua hari lepas. Bau kedai pun belum hilang!

Menurut komen-komen di media sosial juga, kejadian berpunca dipercayai selepas sebuah Proton Saga keluar dari simpang secara melili, menyebabkannya melanggar SUV Hyundai dan Perodua Kancil.

Hyundai itu pula kemudiannya terbabas dan bertembung dengan Alza.

Dikatakan juga guru yang memandu Perodua Alza itu mengalami kecederaan di bahagian lutut.

Setakat ini tiada maklumat terperinci atau kenyataan dari pihak berkuasa berhubung insiden ini.

Apa pun, semoga semua mereka yang terlibat bersabar dan redha serta dipermudahkan urusan.

Hati-hati memandu semua!

Sumber gambar: Facebook

Perodua Alza dan Toyota Hilux bertembung, lima sekeluarga maut

LIMA sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza dan Toyota Hilkux di jalan raya Timur Barat arah Gerik-Jeli berdekatan Hentian Titiwangsa di Gerik petang semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Gerik menerima panggilan mengenai nahas itu pada 3:45 petang.

Beliau berkata, kemalangan itu menyaksikan kesemua mangsa yang disahkan meninggal dunia menaiki Perodua Alza manakala dua lagi, yang menaiki Toyota Hilux, hanya cedera ringan.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Rodhi Othman, 58; Ahmad Khomaini Abu, 30; Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59; Siti Aishah Mohd Rodhi, 32, dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 5 tahun.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jeli, Kelantan untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah operasi tamat sepenuhnya pada 7 malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kedua-dua kenderaan masing-masing dinaiki lima orang.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintenden Zulkifli Mahmood pula berkata, kesemua mayat dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan waris telah dimaklumkan untuk proses selanjutnya.

Perodua Alza 2022 rasmi dilancarkan – 3 varian, harga bermula dari RM62,500

SELEPAS pelbagai teaser disiarkan dalam tempoh beberapa minggu ini, Perodua Alza 2022 akhirnya dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia.

Menurut syarikat itu, mereka telah menerima lebih 30,000 tempahan untuk Alza sejak tempahannya dibuka 23 Jun lalu.

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Perodua menawarkan model generasi baharu itu dalam tiga varian iaitu X, H dan AV. Harga (tidak termasuk insurans) bermula dari RM62,500 untuk varian X, RM68,000 untuk varian H dan RM75,500 untuk AV.

Tidak seperti model terdahulu, Alza baharu dibangunkan menerusi platform Daihatsu New Generation Architecture (DNGA) yang menawarkan kelebihan seperti ruang kabin yang lebih luas, pemanduan yang lebih baik serta ‘ground clearance’ yang lebih tinggi sebanyak 160 mm.

MPV tujuh tempat duduk ini mempunyai pilihan enjin tunggal iaitu enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi yang menjana 105 hp pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,200 rpm. Dengan transmisi jenis D-CVT, ia dikatakan mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api sekitar 22 km/l.

Sebagai tambahan, tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Power disertakan pada varian AV untuk memberikan prestasi pemanduan yang lebih memuaskan.

Dari segi kelengkapan, setiap varian Alza dilengkapi dengan lampu depan LED dengan fungsi Follow-Me Home & Leaving Home serta lampu belakang LED. Rim didatangkan dalam saiz 15 inci untuk varian X, dan 16 inci untuk H dan AV.

Terdapat lima warna menarik yang ditawarkan iaitu Ivory White, Glittering Silver, Garnet Red, serta dua warna baharu iaitu Elegant Black dan Vintage Brown.

Di dalam, anda akan menemui paparan audio berukuran sembilan inci dan kluster instrument TFT tujuh inci pada varian H dan AV, port USB pada bahagian depan dan belakang, brek parkir elektronik dengan Auto Hold, stereng multifungsi dan upholsteri kulit dua tona (AV sahaja).

Satu lagi penambahbaikan ketara yang dibawa oleh model baharu ini adalah aspek keselamatan. Ketiga-tiga varian didatangkan standard dengan ciri Advanced Safety Assist (ASA) terkini yang merangkumi Pre-collision Warning, Pre-Collision Assist Brake (untuk kenderaan dan pejalan kaki), Mis-pedal Operational Control dan Front Departure Alert.

Bukan itu sahaja, semua varian Alza juga mendapat ciri-ciri bantuan pemandu lain seperti Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Hill Start Assist, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Control dan Blind Spot Monitor.

Bantuan untuk parkir pula terdiri daripada 360 Panoramic View Monitor, Rear Cross Traffic Alert, kamera undur, sensor sudut depan dan sensor sudut belakang. Ciri-ciri keselamatan lain yang ada termasuk enam beg udara, brek cakera belakang, ABS dengan EBD, serta Vehicle Stability Control dengan Brake Assist.

Galeri Perodua Alza 2022

Perodua Alza 2022 kini dibuka untuk tempahan! Tiga varian, dari RM62k, ASA, 1.5 dengan D-CVT

PERODUA hari ini secara rasmi membuka tempahan untuk Alza 2022 serba baharu yang akan menggantikan model sebelumnya yang telah berada dalam pasaran sejak 2009.

Alza baharu dengan namakod D27A ini hadir dengan penambahbaikan ketara dari segi spesifikasi dan teknologi.

Menurut risalah rasmi yang dikongsi Perodua, Alza 2022 ini ditawarkan dengan pilihan tiga varian, iaitu X, H dan AV manakala harga tentatif adalah antara RM62,000 hingga RM75,000. Harga adalah untuk Semenanjung Malaysia, tanpa insurans dan cukai jalan.

Tentatif harga ini juga nampaknya serupa dengan imej yang tular awal pagi ini iaitu RM62,000 untuk X, RM68,000 untuk H, dan RM75,000 untuk AV.

Alza 2022 akan menawarkan ruang lebih besar berbanding model terhadulu, terutamanya di barisan ketiga, serta dilengkapi dengan pendingin hawa di barisan ketiga.

Untuk ruang kargo, Alza 2022 mempunyai kapasiti sebanyak 137 liter. Tetapi dengan tempat duduk barisan ketiga dilipat, ruang ini ditambah menjadi 498 liter.

Seperti dijangka sebelum ini, Perodua Alza D27A 2022 dikuasakan oleh enjin 1.5-liter Dual VVTi dan kotak gear D-CVT sama seperti Myvi 2021.

Padanan powertrain ini mampu memberikan penjimatan sehingga 22km/liter untuk Alza, lantas memberikan MPV ini penarafan EEV.

Ciri-ciri terkini bagi model Perodua termasuk Panoramic View 360⁰, Electronic Parking Brake dengan Auto Hold, brek cakera belakang, dan mod pemanduan (Normal, Eco, Power).

Ciri keselamatan lain adalah standard untuk semua varian seperti 6 beg udara, ABS dengan EBD, kawalan kestabilan kenderaan (VSC) dengan bantuan brek dan sensor belakang untuk membantu meletakkan kereta.

Ciri Advanced Safety Assist (ASA) juga standard, yang merangkumi Pre-collision Warning, Pre-Collision Assist Brake (untuk kenderaan dan pejalan kaki), Mis-pedal Operational Control dan Front Departure Alert.

Semua varian juga mempunyai sistem Lane Departure Warning dan Lane Departure Prevention. Sebagai bonus tambahan, semua varian juga akan dilengkapi dengan fungsi Leaving Home Headlamp Assist dan Hill-start Assist.

Perodua Alza 2022 didatangkan dalam 5 warna: Ivory White, Glittering Silver, Garnet Red, serta dua warna baharu iaitu Elegant Black dan Vintage Brown.

“Kami mengambil masa dalam merekabentuk model baharu ini kerana kami benar-benar ingin memahami kehendak para pelanggan kami, dan Perodua Alza baharu disasarkan untuk memenuhi permintaan itu,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Salah satu daripada permintaan mereka adalah pengalaman pemanduan yang lebih baik, dan untuk itu, kami telah menambahbaik ground clearance (kelegaan tanah) Perodua Alza baharu kepada 160mm yang mana pada penilaian kami, ianya adalah ketinggian terbaik untuk pemanduan Malaysia yang menyenangkan untuk sebuah MPV,” tambahnya.

“Perubahan model penuh ini mewakili usaha terbaik kami setakat ini dari segi penawaran produk kerana ciri yang disertakan adalah yang terbaik dalam kategori harganya,” kata Dato’ Zainal.

Berminat? Anda boleh mula membuat tempahan dengan mengunjungi mana-mana 188 bilik pameran Perodua seluruh negara atau layari laman web rasmi untuk maklumat lanjut.