fbpx

Perodua Alza 2022 rasmi dilancarkan – 3 varian, harga bermula dari RM62,500

perodua alza 2022 event 02

SELEPAS pelbagai teaser disiarkan dalam tempoh beberapa minggu ini, Perodua Alza 2022 akhirnya dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia.

Menurut syarikat itu, mereka telah menerima lebih 30,000 tempahan untuk Alza sejak tempahannya dibuka 23 Jun lalu.

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Perodua menawarkan model generasi baharu itu dalam tiga varian iaitu X, H dan AV. Harga (tidak termasuk insurans) bermula dari RM62,500 untuk varian X, RM68,000 untuk varian H dan RM75,500 untuk AV.

Tidak seperti model terdahulu, Alza baharu dibangunkan menerusi platform Daihatsu New Generation Architecture (DNGA) yang menawarkan kelebihan seperti ruang kabin yang lebih luas, pemanduan yang lebih baik serta ‘ground clearance’ yang lebih tinggi sebanyak 160 mm.

MPV tujuh tempat duduk ini mempunyai pilihan enjin tunggal iaitu enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi yang menjana 105 hp pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,200 rpm. Dengan transmisi jenis D-CVT, ia dikatakan mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api sekitar 22 km/l.

Sebagai tambahan, tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Power disertakan pada varian AV untuk memberikan prestasi pemanduan yang lebih memuaskan.

Dari segi kelengkapan, setiap varian Alza dilengkapi dengan lampu depan LED dengan fungsi Follow-Me Home & Leaving Home serta lampu belakang LED. Rim didatangkan dalam saiz 15 inci untuk varian X, dan 16 inci untuk H dan AV.

Terdapat lima warna menarik yang ditawarkan iaitu Ivory White, Glittering Silver, Garnet Red, serta dua warna baharu iaitu Elegant Black dan Vintage Brown.

Di dalam, anda akan menemui paparan audio berukuran sembilan inci dan kluster instrument TFT tujuh inci pada varian H dan AV, port USB pada bahagian depan dan belakang, brek parkir elektronik dengan Auto Hold, stereng multifungsi dan upholsteri kulit dua tona (AV sahaja).

Satu lagi penambahbaikan ketara yang dibawa oleh model baharu ini adalah aspek keselamatan. Ketiga-tiga varian didatangkan standard dengan ciri Advanced Safety Assist (ASA) terkini yang merangkumi Pre-collision Warning, Pre-Collision Assist Brake (untuk kenderaan dan pejalan kaki), Mis-pedal Operational Control dan Front Departure Alert.

Bukan itu sahaja, semua varian Alza juga mendapat ciri-ciri bantuan pemandu lain seperti Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Hill Start Assist, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Control dan Blind Spot Monitor.

Bantuan untuk parkir pula terdiri daripada 360 Panoramic View Monitor, Rear Cross Traffic Alert, kamera undur, sensor sudut depan dan sensor sudut belakang. Ciri-ciri keselamatan lain yang ada termasuk enam beg udara, brek cakera belakang, ABS dengan EBD, serta Vehicle Stability Control dengan Brake Assist.

Galeri Perodua Alza 2022

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved