Arkib Tag: penghantar makanan

Rider Foodpanda menangis, dakwa dizalimi dan dipotong gaji RM300

SEORANG rider (penghantar makanan) Foodpanda meluahkan kekecewaan dan kesedihan apabila mendakwa telah dizalimi oleh syarikat berkenaan berhubung soal pembayaran gaji.

Menerusi rakaman yang dimuat naik di TikTok, lelaki berkenaan mendakwa gaji yang sepatutnya diterima berjumlah RM800 pada minggu itu. Bagaimanapun dia mendakwa hanya menerima bayaran berjumlah RM500.

Menurutnya, perkara itu berpunca akibat tindakan membatalkan pesanan selain menyatakan ID akaun juga telah digantung syarikat selama beberapa hari menyebabkan dia tidak dapat bekerja.

“Dahlah nak dekat raya, RM300 itu terlalu besar, buat saya lebih-lebih dalam keadaan sekarang ini memang memerlukan duit,” katanya dalam rakaman itu.

“Rumah sewa saya di kampung sudah enam bulan tak dibayar, saya terpaksa pinjam RM1,000 daripada mak angkat untuk beli motosikal dan buat pekerjaan penghantar makanan,” luahnya.

Menurutnya, persoalan itu telah diajukan kepada Foodpanda, tetapi syarikat itu menyatakan soal pembayaran gaji dibuat dengan secukupnya selain isu penggantungan akaun (ID) adalah disebabkan kekerapan membuat pembatalan penghantaran.

“Saya dah emel Foodpanda maklumkan gaji saya tidak cukup dan tanyakan kenapa gantung akaun saya (ID).

“Dia (Foodpanda) memberi balasan, pendapatan tiada yang tidak cukup semua dibayar secukupnya… saya dah sertakan semua bukti tetapi dia maklumkan akaun digantung sebab selalu ‘cancel order’,” tambahnya.

Individu berkenaan yang baharu sahaja pulih daripada penyakit kanser tahap tiga mengharapkan rakaman berdurasi 180 saat itu mendapat perhatian syarikat terbabit.

Video yang dimuat naik di aplikasi TikTok menggunakan akaun @saifulxander_ itu juga setakat ini telah mendapat lebih 860,000 tontonan semasa artikel ini ditulis.

Berdasarkan kajian ringkas oleh Engear, dilihat ramai rakyat Malaysia yang bersimpati dengan nasib beliau dan telah membuat sumbangan dan derma ke akaun bank miliknya.

Kami akan laporkan berita susulan sekiranya terdapat sebarang kenyataan rasmi dari pihak Foodpanda.

@saifulxander_ Tolong bantu saya gunakan kuasa viral, sbb dah rmai rider yg kene, tapi mreka tk viral. Terima Kasih dan Salam Ramadan !🥲 #viral #foodpanda #foodelivery #rider #fyp #fypシ #fypdongggggggg ♬ Muhammad Nabina Binuru Hadina – Hidayat

‘Rider’ penghantar makanan boikot 24 jam hari ini

GERAKAN solidariti ‘rider’ penghantar makanan hari ini akan melakukan boikot selama 24 jam susulan pengurangan kadar upah mereka oleh syarikat penyedia perkhidmatan.

Boikot berkenaan dimaklumkan menerusi satu posting yang dimuat naik di akaun twitter #PartTimeKL semalam sebagai tanda solidariti kepada penghantar makanan.

Posting berkenaan menjelaskan penghantar makanan tidak akan beroperasi selama sehari esok (Jumaat).

“Solidariti untuk rakan-rakan rider frontliner @GrabMY & @foodpanda_my yang akan mogok satu hari esok. Yang mana tak dapat avoid, expect order delay/cancelled,” katanya.

Difahamkan tindakan itu diambil berikutan harga makanan yang dihantar naik tetapi kadar upah penghantaran dikurangkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan.

“Dah la makanan anda semakin mahal, fare kami pula makin sedikit,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penghantar makanan separuh masa di kawasan Lembah Klang yang namanya enggan dikenali berkata, gerakan tersebut akan menyebabkan banyak permintaan pelanggan terkesan dan berkemungkinan terpaksa dibatalkan.

Gambar oleh: Malay Mail

Bagaimanapun, katanya, situasi tersebut juga secara tidak langsung memberi kelebihan kepada penghantar makanan lain yang bekerja pada Jumaat kerana mereka dapat menjana lebih banyak pendapatan.

“Memang saya tahu mengenai boikot itu, dan kebanyakannya disertai oleh ‘rider’ penghantar makanan sepenuh masa esok.

“Tetapi untung pada yang bekerja pada esok sebab apabila ‘rider’ tak banyak, permintaan tinggi, jadi ‘rider’ dapat lebih banyak kerja berbanding hari-hari biasa,” tambahnya.