Arkib Tag: pemilik

Lebih 600 pemilik Isuzu D-Max berkumpul rai semangat Merdeka di 29 lokasi berbeza

KIRA-KIRA 600 pemilik Isuzu D-Max dan kenderaan mereka di seluruh negara telah berhimpun bagi menyambut Hari Merdeka menerusi acara Konvoi Merdeka 66.

Menariknya, program anjuran Isuzu Malaysia ini menyaksikan himpunan pemilik di 29 lokasi berbeza secara serentak pada jam 9:15 pagi, 31 Ogos lepas.

Konvoi Merdeka 66 menjadi perhimpunan terbesar di negara ini yang berlangsung pada masa yang sama melibatkan Isuzu D-Max, bagi meraikan sambutan Hari Merdeka ke-66 Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo yang merasmikan acara ini di cawangan Isuzu Jinjang di Kuala Lumpur berkata, acara Konvoi Merdeka 66 telah memberi peluang kepada pengedar untuk berinteraksi dengan pemilik D-Max dan meraikan kesepakatan serta keharmonian yang telah dikecapi atas semangat perpaduan di negara ini.

“Dengan matlamat kami untuk menjadikan sambutan Hari Merdeka kali ini lebih bermakna bersama pengedar dan pemilik D-Max, kami juga ingin meraikan semangat perpaduan dan sehati sejiwa yang unik, yang sudah terjalin antara rakyat Malaysia melalui sebuah acara yang melangkau sempadan seperti ini,” ujar Sogo.

Peserta acara Konvoi Merdeka 66 menikmati aktiviti bersama dengan pemilik Isuzu D-Max yang lain di seluruh negara dan dihidangkan dengan beberapa program istimewa yang telah dianjurkan oleh pengedar masing-masing.

Kenderaan peserta juga dihiasi dengan pelekat peringatan dan bendera, serta setiap peserta turut diberikan kemeja-T eksklusif.

Bagi kami, himpunan sebesar ini sangat baik malah bijak dilakukan di lokasi berbeza. Pertama, ia mengurangkan kesesakan trafik disebabkan konvoi. Keduanya, lebih ramai orang awam di lokasi berbeza dapat melihat dengan lebih dekat. Syabas geng-geng Isuzu D-Max semua!

Antara aktiviti berasingan yang dianjurkan oleh pengedar yang terlibat ialah lawatan ke ladang durian, kursus off-road ringkas, sepetang di pantai, destinasi resort terpencil dan kunjungan ke pusat beli-belah.

Maklum balas daripada pemilik sangat positif dengan ramai daripada mereka menyatakan keinginan untuk menyertai aktiviti berkumpulan bersama pemilik D-Max lain lagi pada masa akan datang untuk menjalin hubungan mesra dan membina rangkaian persahabatan.

Semua tuntutan ditolak, ini keluhan sebenar pemilik Honda Civic FE

“Inilah kali pertama dan terakhir Honda dalam hidup saya,” tulis seorang pemilik Honda Civic FE yang meluahkan keluhannya dalam portal paultan.org Automotive/Car Discussion Group di Facebook.

Pengguna akaun yang bernama Choon Keet itu menulis tentang kekecewaannya kerana semua tuntutan jaminannya ditolak.

Menurut tulisannya, dia perasan akan suatu isu di bahagian tingkap sisi belakang beberapa hari selepas mengambil kereta baharunya. Dia kemudian membuat laporan semasa servis pertama 1,000km.

“Selepas satu bulan menunggu, saya difahamkan dari pusat servis bahawa tuntutan jaminan saya itu ditolak, alasannya ini bukan kecacatan pembuatan (pengeluaran dari kilang).

“Saya kemudian menghubungi pula Honda Malaysia untuk membuat rayuan dari tuntutan itu. Ini bukan isu pengeluaran (kilang) tetapi isu pemasangan,” katanya.

Beberapa minggu kemudian, dia dihubungi pihak Honda Malaysia dan mendapat makluman yang rayuannya ditolak.

“Kali ini alasan yang diberi ialah kerana saya memasang filem cermin gelap pihak ketiga!

“Seminggu kemudian saya merayu lagi kerana berjaya menjumpai foto semasa saya mengambil kereta di bilik pameran, ia jelas menunjukkan bahagian itu telahpun begitu (mempunyai kecacatan).

“Minggu berikutnya saya menerima panggilan dari Honda Malaysia, dan tuntutan saya ditolak lagi! Kali ini alasan lebih mengarut diberikan! Katanya saya tidak melaporkannya semasa mengambil kereta!”

Menurutnya lagi, isu ini sepatutnya hal kecil sahaja, dan dia tidak faham mengapa Honda Malaysia berkeras mahu menolak rayuannya walaupun alasan kukuh telah diberikan.

Tulisannya di forum itu telah mendapat lebih 900 Like, 600 komen dan 128 perkongsian semasa artikel ini ditulis. Rata-rata komen bersimpati dengan nasibnya.

Ada juga yang berkongsi pengalaman serupa dari Honda dan tak lupa juga dari jenama-jenama lain.

Anda boleh baca tulisannya di sini.