Arkib Tag: Pahang

Pahang larang lekat, pamer darjah kebesaran pada kenderaan

PENERIMA-penerima Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Darul Makmur dilarang mempamerkan atau melekatkan lambang Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang pada kenderaan masing-masing.

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah Mencegah Penggunaan Tidak Wajar Pahang 2017 diperuntukkan bagi mencegah penggunaan tidak wajar lambang yang ditetapkan, gelaran atau anugerah dikurniakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.

“Menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah adalah dengan ini diberi peringatan kepada penerima-penerima Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang Darul Makmur untuk tidak mempamerkan atau melekatkan lambang Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Pahang pada kenderaan,” kata beliau dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujar beliau, penerima yang didapati melanggar dan melakukan kesalahan di bawah enakmen ini akan berhadapan tindakan penarikan balik Darjah -Darjah Kebesaran dan Pingat yang telah dikurniakan.

“Selanjutnya bagi mana-mana individu yang didapati menggunakan gelaran palsu boleh didakwa di bawah peruntukan yang sama.

“Sehubungan dengan itu, pentadbiran ini mohon kerjasama dari pihak Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia untuk mengambil tindakan penguatkuasaan bagi mereka yang melakukan kesalahan tersebut,” tambah beliau.

Sering banjir, LPT bakal dinaik taraf Julai tahun ini

PENGGUNA jalan raya terutama penduduk Pantai Timur boleh menarik nafas lega dengan cadangan naik taraf laluan Lebuhraya Pantai Timur yang sering dinaiki air terutama ketika musim tengkujuh.

Projek melibatkan kerjasama kerajaan negeri Pahang dan Persekutuan itu dilaporkan bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar Pahang berkata, projek naik taraf itu amat penting memandangkan ia melibatkan kepentingan rakyat.

Jelas, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, persetujuan sudah diberi kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek berkenaan.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – Foto ihsan Malay Mail

“Kerja ini perlu dilakukan dan diberi keutamaan. Oleh itu kerajaan pusat bersetuju menaik taraf laluan LPT bermula Julai depan,” katanya baru-baru ini.

Antara kawasan terlibat dengan proses naik traf ini adalah di daerah Lanchang sehingga ke Temerloh.

Sementara itu, Jabatan Pengairan Sungai (JPS) Pahang turut menerima peruntukan menaik taraf kolam takungan banjir.

Bagi tujuan itu, RM6.14 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan 42 kerja kecemasan di luar jangka.

Enjin kereta yang ditenggelami banjir mengudang risiko kerosakan. – Foto ihsan Malay Mail

JPS Pahang turut menerima peruntukan RM20.36 juta daripada kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja mengurangkan risiko banjir.

Negeri Pantai Timur saban tahun sering berdepan masalah banjir setiap kali memasuki musim tengkujuh.

Banjir bukan sahaja memberi ancaman kepada nyawa manusia dan haiwan malah, merosakkan harta benda awam.

UMP lancar nombor pendaftaran ‘UC’, sasar kutip RM3.5 juta

NOMBOR pendaftaran ‘UC’ bakal dilancarkan tahun depan bersempena sambutan ulang tahun ke-20 Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Orang ramai berminat mendapatkan nombor pendaftaran tersebut boleh membuat bidaan bermula Februari 2022.

Bidaan boleh dibuat secara dalam talian dengan nilai serendah RM1,000 bagi angka empat digit sehingga RM200,000 untuk nombor tunggal.

Ahli Lembaga Pengarah UMP Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, hasil jualan nombor pendaftaran itu akan digunakan bagi tujuan kebajikan.

Jelasnya yang juga Pengerusi Yayasan UMP, bidaan dijangka bakal memungut pulangan lebih RM3.5 juta bagi fasa pertama.

“Hasilnya nanti akan disalurkan untuk pelbagai program kebajikan bagi manfaat pelajar dan golongan memerlukan.

“Proses bidaan akan dilakukan secara dalam talian dengan nilai bidaan bermula RM1,000 untuk nombor empat digit dan RM200,000 bagi nombor tunggal,” katanya.

Ahli Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman. – Foto ihsan UMP

Sebelum ini, terdapat usaha daripada beberapa buah universiti yang melancarkan nombor pendaftaran kenderaan.

Antara universiti terbabit adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Terdahulu, UMP dalam satu kenyataan memaklumkan proses bidaan nombor pendaftaran kenderaan khas tersebut adalah hasil kerjasama dengan Aquatwo Sdn Bhd .

Syarikat itu juga bertanggungjawab dalam mengendalikan proses pemasaran dan jualan.

Lebuh raya CSR Bentong-Lebu dibuka hari ini

CENTRAL Spine Road (CSR) dari Bentong ke Lebu dibuka hari ini untuk pengguna jalan raya.

Laluan empat-lorong sepanjang 28.5km itu ialah bahagian Seksyen 5 (Kampung Asap – Kampung Sertik yang dikenali sebagai 5C dan Bentong yang dikenali sebagai 5D).

Sumber: Media sosial

Apabila dibuka, pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur atau Kuantan yang mahu ke Raub, Lipis dan Kelantan tidak perlu lagi melalui bandar Bentong.

Mereka yang melalui lebuh raya Karak boleh memasuki CSR berdekatan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong sebelum keluar di Lebu untuk menyambung perjalanan ke jalan lama sedia ada.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dijangka hadir untuk membuka laluan itu hari ini.

Wan Rosdy – yang memeriksa laluan itu di Mempaga minggu lepas – berkata sub-pakej 5C dan 5D itu adalah sebahagian dari laluan penuh sepanjang 350km yang merentasi dari Kuala Krai, Kelantan dan Bentong.

“Seperti disebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa membentangkan RMK-12, projek RM8.7 bilion itu dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025.

“Apabila siap, CSR akan mengurangkan masa perjalanan dan memberikan lebih keselesaan kepada pengguna jalan raya. Ia juga akan membantu meningkatkan status sosio-ekonomi rakyat dengan menyediakan infrastruktur berkualiti pada kawasan-kawasan terlibat,” tulisnya di laman Facebook.

CSR dibina menggunakan teknik Continuously Reinforced Concrete Pavement (CRCPP). Ia mempunyai enam fasa: dari Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit, Kelantan (47km), Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang, Kelantan (60km), Gua Musang ke Kampung Relong, Pahang (94km), Kampung Relong ke Raub, Pahang (45km), Raub ke Bentong (54km); dan Bentong ke Simpang Pelangai (47km).

Jalan lengang kerana ‘lockdown’, mat rempit pula ambil kesempatan

MENGECEWAKAN!

Demikian dapat disimpulkan mengenai sikap sekumpulan anak muda bersuka ria melakukan aktiviti lumba haram dekat Kuantan, Pahang.

Tular di Twitter, kumpulan berkenaan didapati berlumba sesama sendiri selain tidak mengindahkan ‘teguran’ pemandu lain.

Menerusi video dimuatnaik MyWatch, beberapa lelaki dilihat menghalang laluan sebuah kenderaan kerana terlalu ‘asyik’ berlumba haram.

Kesemua mereka tidak menghiraukan sebuah kenderaan yang cuba memotong walau telah diberikan amaran hon.

“Segelintir ‘mat rempit’ ambil kesempatan jalan lengang untuk berlumba. Lokasi di Kuantan, Pahang,” kata pengendali akaun MyWatch.

Isu lumba haram bukan suatu yang baharu di negara ini.

Pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa bagi menangani lumba haram termasuk mengenakan tindakan undang-undang yang ketat.

Namun, ada juga pihak berpandangan penguatkuasaan undang-undang tidak cukup untuk menghentikan lumba haram.

Satu langkah terbuka perlu dilakukan termasuk sesi dialog agar punca dan permasalahan dapat ditangani secara holistik.