Arkib Tag: operasi pemasangan tempatan

Program CKD: Kia Malaysia, Stellantis Malaysia umum kerjasama strategik

Kia Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Stellantis Malaysia bagi menyokong operasi pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.

Ia turut menandakan satu pencapaian penting dalam strategi penyetempatan dan pembuatan jangka panjang Kia di sini.

Stellantis Malaysia sebagai pemasang kontrak

Di bawah kerjasama ini, Stellantis Malaysia berperanan sebagai pemasang kontrak bagi operasi CKD Kia di fasiliti Gurun, Kedah.

Fasiliti tersebut dilengkapi dengan infrastruktur pengeluaran yang komprehensif, serta keupayaan pembuatan yang mematuhi piawaian terkini Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001 (QMS).

Ia juga turut menyokong pemasangan pelbagai model merentasi pelbagai jenis rangkaian kuasa.

Jadi dengan ini, ia mampu menampung pengeluaran semua model semasa Kia termasuk Sportage dan Carnival, serta model baharu pada masa hadapan.

Operasi CKD dijadualkan bermula pada suku ketiga (Q3) 2026.

Perkukuh kedudukan Kia di Malaysia

Kolaborasi ini dijangka memperkukuh ekosistem pembuatan Kia di Malaysia sambil meningkatkan fleksibiliti operasi, kemampuan skala dan persediaan memperkenalkan model-model baharu.

Perkembangan ini menandakan fasa seterusnya dalam pertumbuhan jenama tersebut di Malaysia dan pasaran ASEAN yang lebih luas.

Ia juga sekali gus mengukuhkan komitmen jangka panjang Kia terhadap pembangunan dan perluasan serantau.

Hyung Ho Kim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Malaysia serta Kia Sales Malaysia menyifatkan kolaborasi ini penting untuk memperkukuh kedudukan Kia di Malaysia.

Isaac Yeo, Pengarah Urusan ASEAN Stellantis menambah pihaknya kekal komited untuk menyokong ekosistem automotif dan pembuatan yang lebih luas sambil mewujudkan nilai bersama kepada rakan kongsi, pembekal dan industri.

Jetour mulakan operasi CKD untuk kukuh kedudukan di ASEAN

Jetour Auto Malaysia secara rasmi memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) untuk model SUV Dashing dan VT9 di fasiliti Berjaya Assembly Sdn Bhd (B-Assembly) di Tampoi, Johor Bahru.

Fasiliti berkeluasan 640,000 kaki persegi itu menyediakan lebih 100 peluang pekerjaan dalam menjadikan Malaysia sebagai hab strategik untuk pembuatan dan pengedaran bagi rantau ASEAN.

B-Assembly, anak syarikat milik penuh Berjaya Assets Berhad berperanan sebagai rakan pemasangan tempatan Jetour.

Fasiliti sedia ada ini dilengkapi dengan sistem berkeupayaan Industri 4.0, mencerminkan komitmen bersama kedua-dua syarikat terhadap piawaian pembuatan bertaraf tinggi, kecekapan operasi serta penyelesaian mobiliti mampan.

Menurut Wen Qiangkang, Naib Presiden Jetour International berkata, “pencapaian penting ini mencerminkan keyakinan kukuh kami terhadap Malaysia sebagai pasaran strategik untuk Jetour.

Fu Yong, Ketua Pegawai Eksekutif Jetour Malaysia berkata, “dengan pelancaran operasi pembuatan tempatan, kami berbangga dapat menawarkan kenderaan berkualiti tinggi yang dipasang di Malaysia, sejajar dengan komitmen berterusan kami terhadap kualiti, inovasi dan kepuasan pelanggan.

Sejak pelancaran rasmi barisan produk pertama di Malaysia, Jetour telah berkembang pesat dengan lebih daripada 20 cawangan di seluruh negara.

Operasi CKD ini menandakan detik penting dalam usaha mempercepatkan pemerolehan tempatan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, mempercepat masa penghantaran dan meningkatkan kepuasan pelanggan menerusi penawaran tambah nilai kepada pengguna di Malaysia.

Buat masa ini, fasiliti tersebut memberikan tumpuan pada pemasangan model Dashing dan VT9 di mana lebih 1,000 unit kenderaan telah dihasilkan.

Penghantaran model Dashing pemasangan tempatan bermula pada Jun 2025, dan akan disusuli oleh model VT9 kelak.

Pada masa hadapan, Jetour merancang untuk melabur sekitar RM1.4 bilion di Malaysia bagi menyokong pelancaran lebih banyak model pemasangan tempatan dan eksport ke negara jiran di rantau ASEAN.