Arkib Tag: OKU

Suspek lawan arus hingga sebabkan kematian penunggang Ducati mengaku OKU

SEORANG lelaki yang didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin atas kesalahan menunggang motosikal secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal Ducati bulan lalu, mengaku orang kurang upaya (OKU) dan menerima rawatan sebagai pesakit mental.

Ketika prosiding di hadapan Majistret, Amalina Basirah Md Top, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail berkata, anak guamnya, Mudzyadaha Mohammad, 42, telah menerima surat rujukan daripada doktor semasa ditahan di sebuah hospital di Kajang malah mendapat ubat untuk rawatan psikiatri.

Sebelum kejadian, peguam itu berkata, tertuduh merupakan seorang OKU dan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Foto: Media Sosial

“Semasa kejadian, anak guam tidak berfikir dengan waras sehingga berlakunya pelanggaran, jadi saya mohon agar mahkamah membenarkan dia menjalani ujian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran tidak membantah perkara tersebut.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Amalina mengarahkan tertuduh menjalani ujian psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Pada pagi Isnin, Muzyadaha yang bekerja sebagai pemandu lori mengaku tidak bersalah atas tuduhan menunggang motosikal secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64.

Kesalahan didakwa dilakukan di kilometer 22.2 Lebuhraya Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) di sini, pada jam 1.10 petang, 14 Jun lalu

Kerajaan umum pengecualian cukai kenderaan OKU, EV hingga 2025

KERAJAAN menawarkan pemberian insentif Pengecualian Bayaran Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan elektrik (EV) dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Memetik kenyataan Menteri Pengangkutan, kenderaan motor elektrik akan menikmati pengecualian itu bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2025.

Jelas Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, pengecualian bagaimanapun tidak terpakai untuk kenderaan hibrid mempunyai enjin pembakaran dalaman.

“Pengecualian fi LKM hanya diberikan kepada kenderaan EV sama ada dikuasakan oleh bateri atau ‘fuel cell’ (sel bahan api),” katanya, semalam.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. – Foto ihsan Malay Mail

Sementara itu, pengecualian fi LKM kenderaan motor milik OKU hanya terpakai kepada kenderaan motor yang telah diubah suai khas untuk mereka yang berkenaan.

Kenderaan tidak diubah suai pula, pengecualian hanya diberikan kepada Kenderaan Pemasangan Tempatan (CKD) dan kereta nasional.

“Kenderaan motor terbabit yang layak hendaklah didaftarkan dan dilesenkan atas nama individu OKU berkaitan.

“OKU hendaklah berdaftar serta mempunyai kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya lagi.

Pengecualian juga dipanjangkan kepada kenderaan motor didaftarkan dan dimiliki oleh ibu bapa atau penjaga berdaftar mempunyai anak OKU.

Ia meliputi suami atau isteri yang mempunyai pasangan OKU dengan syarat OKU terbabit juga telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Permohonan bagi pengecualian itu akan bermula pada 15 Mac 2022.

Pada Belanjawan 2022, kerajaan mengumumkan akan membayar sepenuhnya Lesen Kenderaan Motor bagi semua kenderaan persendirian milik OKU.

EV juga mendapat rangsangan termasuk pengecualian penuh duti import, duti eksais, cukai jualan dan 100 peratus pengecualian cukai jalan.