Arkib Tag: nombor pendaftaran

Nombor plat P7 bernilai RM70 juta milik pengasas Telegram

BARU-baru ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membeli nombor plat FF1 pada harga RM1.2 juta, menjadikannya nombor pendaftaran kenderaan termahal di Malaysia setakat ini.

RM1.2 juta sememangnya satu jumlah yang sangat besar, namun ia jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan 55 juta dirham (kira-kira USD15 juta atau RM70 juta) yang dibelanjakan oleh pengasas aplikasi Telegram, Pavel Valeryevich Durov untuk membeli nombor plat P7.

Durov, yang berketurunan Perancis-UAE, mendapat nombor tersebut menerusi acara lelongan ‘The Most Noble Numbers’ yang diadakan di Dubai, UAE. Menurut laporan, hasil bidaan itu akan disalurkan kepada inisiatif bantuan makanan global bergelar ‘1 Billion Meals Endowment’ milik pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid.

Apa yang menarik, bidaan Durov mengatasi rekod dunia Guinness untuk nombor pendaftaran kereta paling mahal sebelum ini iaitu nombor “1” yang berharga 52.2 juta dirham (RM66 juta). Nombor itu dibeli oleh Saeed Abdul Ghaffar Khouri pada 2008.

Ini secara tidak langsung menjadikan P7 sebagai nombor pendaftaran kenderaan termahal di dunia. Agaknya nombor itu akan diletakkan di kereta apa ya?

Seperti yang kita tahu, nombor pendaftaran satu digit ini memang menjadi rebutan orang kaya. Di Australia, nombor plat “4” dijual pada harga USD1.6 juta (RM7.5 juta) pada 2017. Awal tahun ini pula, seorang individu dari Hong Kong membayar USD3.2 juta (RM15 juta) untuk nombor plat “R”.

Nombor plat FF1 milik Sultan Johor, RM1.2 juta

NOMBOR plat kenderaan FF1 iaitu turutan nombor baharu bagi Putrajaya menjadi milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Kenyataan di Facebook rasmi baginda memaklumkan, nombor itu dibida baginda dengan tawaran tertinggi.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi perkongsian di Facebooknya pada Sabtu memaklumkan plat FF1 itu bernilai RM1.2 juta.

Nombor plat kenderaan itu dipersembahkan Anthony semasa menghadap baginda di Johor Bahru baru-baru ini.

“Pagi tadi, saya mengadap DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim untuk mempersembahkan secara simbolik nombor plat FF 1 kepada Tuanku yang merupakan pemilik nombor khas unik tersebut,” tulisnya.

“Tuanku telah perkenan untuk membayar kepada kerajaan sebanyak RM1.2 juta untuk nombor khas tersebut. Untuk rekod, bayaran RM1.2 juta merupakan nilai tertinggi yang pernah dikutip setakat ini oleh kerajaan untuk pendaftaran satu nombor plat kenderaan.”

Pada 2016, Sultan Johor dilaporkan memenangi bidaan nombor plat kenderaan F1 dengan nilai bidaan RM836,660 bagi turutan nombor baharu bagi Putrajaya.

Selepas itu, pada Ogos tahun sama, baginda memenangi bidaan untuk nombor plat V1 dengan nilai RM989,780.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, bayaran yang diterima itu juga menjadikan jumlah kutipan hasil kerajaan untuk nombor siri FF meningkat kepada RM35.4 juta.

UMP lancar nombor pendaftaran ‘UC’, sasar kutip RM3.5 juta

NOMBOR pendaftaran ‘UC’ bakal dilancarkan tahun depan bersempena sambutan ulang tahun ke-20 Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Orang ramai berminat mendapatkan nombor pendaftaran tersebut boleh membuat bidaan bermula Februari 2022.

Bidaan boleh dibuat secara dalam talian dengan nilai serendah RM1,000 bagi angka empat digit sehingga RM200,000 untuk nombor tunggal.

Ahli Lembaga Pengarah UMP Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, hasil jualan nombor pendaftaran itu akan digunakan bagi tujuan kebajikan.

Jelasnya yang juga Pengerusi Yayasan UMP, bidaan dijangka bakal memungut pulangan lebih RM3.5 juta bagi fasa pertama.

“Hasilnya nanti akan disalurkan untuk pelbagai program kebajikan bagi manfaat pelajar dan golongan memerlukan.

“Proses bidaan akan dilakukan secara dalam talian dengan nilai bidaan bermula RM1,000 untuk nombor empat digit dan RM200,000 bagi nombor tunggal,” katanya.

Ahli Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman. – Foto ihsan UMP

Sebelum ini, terdapat usaha daripada beberapa buah universiti yang melancarkan nombor pendaftaran kenderaan.

Antara universiti terbabit adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Terdahulu, UMP dalam satu kenyataan memaklumkan proses bidaan nombor pendaftaran kenderaan khas tersebut adalah hasil kerjasama dengan Aquatwo Sdn Bhd .

Syarikat itu juga bertanggungjawab dalam mengendalikan proses pemasaran dan jualan.

Nombor plat ‘fancy’ boleh didenda hingga RM3k, ini cara untuk lapor kepada JPJ

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) semalam mengingatkan orang ramai agar mematuhi peraturan bagi memasang nombor pendaftaran kenderaan mengikut spesifikasi yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Jika didapati melanggar peraturan tersebut, anda boleh didenda antara RM300 hingga RM3,000 di bawah Seksyen 14 (4) APJ 1987.

Dalam siaran di laman Facebook Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, pihak JPJ turut berkongsi contoh-contoh gambar kenderaan yang tular dan tidak mematuhi spesifikasi (fancy) yang ditetapkan.

JPJ juga berkongsi cara yang boleh kita lakukan untuk melaporkan kesalahan nombor pendaftaran fancy dengan menghantar gambar dan butiran kenderaan ke aduantrafik@jpj.gov.my.

Antara perincian nombor pendaftaran fancy adalah mengelirukan, kabur dan tidak mengikut ukuran dimana huruf atau angka disusun untuk membentuk perkataan berlainan dari kombinasi asal.

Kenyataan ini walaubagaimanapun tidak termasuk siri nombor pendaftaran khas yang pernah dikeluarkan sebelum ini seperti PATRIOT, PERFECT dan UM.