Arkib Tag: NKVE

PLUS tutup lorong NKVE waktu malam hingga November

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dengan sokongan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan kerja-kerja menaik taraf jambatan KTMB yang merentangi Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE).

Jambatan tersebut terletak di KM11.25 di antara Persimpangan Shah Alam dan Subang. Kerja naik taraf akan dilaksanakan secara berperingkat bermula hari ini (30 Mac 2023) dan dijangka siap sepenuhnya pada awal November 2023.

Dalam satu kenyataan, PLUS berkata kerja naik taraf akan dijalankan pada waktu malam bermula jam 10 malam hingga 5 pagi sepanjang tempoh tersebut. Ia akan melibatkan penutupan lorong di antara KM10.5 hingga KM11.3 laluan Shah Alam-Subang dan KM11.7 hingga KM11.1 laluan Subang-Shah Alam.

Semua lorong akan dibuka semula kepada pengguna lebuh raya mulai jam 5 pagi bagi memastikan tiada gangguan terhadap aliran trafik terutamanya pada waktu-waktu puncak.

Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan Aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini sepanjang tempoh tersebut.

Mereka juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papantanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit.

Untuk maklumat trafik atau sekiranya ingin mendapatkan bantuan kecemasan, pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine di talian 1800-88-0000.

Rider Yamaha R15 rakam vlog, tidak sangka berdepan kemalangan

SEORANG rider motosikal berdepan detik cemas apabila mengalami kemalangan jalan raya di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) berhampiran susur keluar Bukit Beruntung, petang tadi.

Berkongsi video kemalangan bersama EnGear, Azrishah Rohanan, 28, berkata kejadian berlaku dipercayai berpunca daripada tumpahan minyak di atas jalan raya.

Ketika kejadian, terdapat dua lagi kereta yang turut mengalami kemalangan dipercayai hilang kawalan akibat tumpahan minyak terbabit.

“Saya jatuh di NKVE hala Ipoh. Handle motor senget. Nasib baik ada frame slider.

“Mula-mula saya lihat kereta kemalangan. Saya cuba perlahan tapi handle motor terus ‘lock‘.

“Dah jatuh saya cepat bangun risau jika ada kenderaan lain di belakang. Sampai tepi jalan baru saya perasan ada tumpahan minyak,” katanya.

Sebelum ini, Azrishah pernah menghasilkan vlog di platform YouTube mengenai kemalangan jalan raya berpunca daripada tumpahan minyak.

Bagaimanapun, dirinya tidak menyangka akan berdepan kemalangan akibat tumpahan minyak selain berharap kejadian sama tidak berulang.

Justeru, Azrishah mengingatkan orang ramai khusus penunggang motosikal agar peka dengan keadaan sekeliling terutama ketika hujan dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya.

“Kalau boleh masa hujan kena lebih peka dengan keadaan sekeliling. Nasib baik ada action camera. Zaman sekarang penting jugak untuk pasang di motosikal,” katanya lagi.

Berdasarkan rekod kemalangan jalan raya, terdapat lebih 7,525 kes sejak Mac tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 2,576 melibatkan kemalangan maut penunggang motosikal.