Arkib Tag: ninja zx-25rr

Harga rasmi Modenas Ninja ZX-25RR diumumkan – RM36,500

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) hari ini secara rasmi mengumumkan harga untuk Modenas Ninja ZX-25RR iaitu RM36,500.

Menurut EMOS, model ini boleh didapati di semua bilik pameran Kawasaki All-Star Dealer menjelang akhir Mac 2024.

Untuk perbandingan, satu lagi varian ZX-25R iaitu ZX-25R SE dilancarkan ke pasaran tempatan pada September tahun lalu dengan harga jualan RM33,900.

Seperti versi SE, ZX-25RR dilengkapi dengan fork jenis Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 37 mm pada bahagian hadapan, namun di belakang, jentera Double-R ini menggunakan penyerap hentak Showa BFRC (Balance Free Rear Cushion) boleh laras.

Bagaimanapun, ‘nadi’ yang menggerakkan ZX-25RR adalah sama dengan SE iaitu enjin empat silinder sebaris bersesaran 250 cc yang mampu menghasilkan 46 PS pada 15,500 rpm dan 22 Nm pada 14,000 rpm.

Dari segi dimensi, motosikal ini mempunyai ukuran panjang 1,980 mm, lebar 750 mm, tinggi 1,100 mm serta jarak roda 1,380 mm. Ia mempunyai tempat duduk dengan ketinggian 785 mm, berat 184 kg dan kapasiti tangki bahan api 15 liter.

Tayar yang digunakan bersaiz 110/70 R17 di hadapan dan 150/60 R17 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm dengan angkup monoblock empat piston di hadapan dan cakera tunggal 220 mm di belakang.

Selain itu, ZX-25RR didatangkan dengan beberapa ciri elektronik terkini termasuk Kawasaki Traction Control (KTRC), Kawasaki Quick Shifter (KQS), Assist & Slipper Cluth serta tiga mod tunggangan. Turut disertakan adalah paparan TFT dengan sambungan Bluetooth menerusi aplikasi Rideology.

Modenas lancar Ninja ZX-25RR Februari ini

Pelancaran Modenas Ninja ZX-25R SE untuk pasaran tempatan sekitar September tahun lalu sememangnya mendapat sambutan menggalakkan. 

Motosikal tersebut bingkas menarik minat pembeli di Malaysia terutamanya mereka yang mahukan prestasi jentera berkuasa tinggi tanpa perlu menaik taraf lesen B2 kepada B (full). 

Bagaimanapun, Modenas bakal menghadirkan berita gembira bagi motosikal empat dapur itu apabila dikatakan bakal memperkenalkan varian tertinggi menerusi Ninja ZX-25RR pada bulan Februari ini.

Meskipun Ninja ZX-25RR berkongsi komponen sama dengan Ninja ZX_25R SE namun perbezaan utama terarah kepada kelengkapan monoshock belakang yang dilengkapi Showa BFRC (Balance Free Rear Cushion) boleh laras sepenuhnya. 

Monoshock premium tersebut merupakan komponen sama yang diguna pakai pada ‘abang besar’ , Ninja ZX-10R.

 

Sementara itu, versi RR kekal dikuasakan enjin 249.8cc empat silinder yang sama terdapat pada varian SE dan menghasilkan 51hp (dengan Ram-Air) dan 22.9Nm. 

Soal harga, sudah tentunya kami menjangkakan perbezaan antara RM2,000 hingga RM3,000 (sekadar jangkaan).