Arkib Tag: neo-retro

Suzuki lancar dua jentera neo-retro: GSX-8T dan GSX-8TT

Suzuki Motor Corporation mengumumkan kehadiran dua buah model motosikal neo-retro baharu untuk kelas 800 cc, iaitu GSX-8T dan GSX-8TT untuk pasaran global.

Biarpun menggunakan pelantar GSX-8 yang lebih moden, kedua-dua model ini boleh dibezakan menerusi penggayaan di mana GSX-8T mengambil inspirasi daripada jentera klasik T500.

Ia dilengkapi dengan perumah lampu utama LED berbentuk bulat, rekaan tangki dan pelana yang unik, serta bar hendal yang lengkap dengan cermin sisi pada bahagian hujung

Sementara rekaan GSX-8TT yang lebih macho itu diambil inspirasinya daripada jentera daripada era tersebut, seperti Yoshimura GS1000.

GSX-8TT masih mengekalkan perumah lampu yang sama seperti model 8T, namun bahagian itu dikemaskan dengan reraup bersegi, diikuti dengan pelindung radiator dan pelindung bahagian enjin (under cowl).

Dari segi kuasa, GSX-8T dan 8TT ini dijana dengan enjin parallel-twin 776 cc yang sama didapati pada mana-mana model GSX-8, dengan kuasa 80 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 77 Nm @ 6,800 rpm.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan komponen cross balancer bertujuan untuk mengurangkan gegaran.

Kedua-dua jentera ini menampilkan kerangka keluli dan lengan ayun aluminium, fork hadapan KYB jenis terbalik, penyerap hentak belakang KYB, serta sistem brek Nissin yang terdiri daripada rotor berkembar 310 mm di depan dan rotor tunggal 240 mm di belakang.

Tangki bahan api adalah sebesar 16.5 liter, sementara tinggi pelana pula serendah 810 mm (815 mm untuk model 8T).

Secara standard, GSX-8T dan 8TT turut dilengkapi dengan ciri bantuan elektronik seperti quickshifter dua hala, Suzuki Easy Start, kawalan cengkaman, Suzuki Drive Mode Selector (SDMS) serta Low RPM Assist.

Skrin paparan TFT berwarna penuh memaparkan segala informasi penting yang diperlukan oleh penunggang termasuklah meter rpm, kelajuan, dan kedudukan gear.

Suzuki GSX-8T

Suzuki GSX-8TT

Suzuki SV650 2025 rasmi di Malaysia – harga RM29,900

Suzuki Malaysia baru-baru ini melancarkan motosikal ikonik SV650 2025 untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan RM29,900.

Jentera naked dengan penggayaan neo-retro ini dikuasakan oleh nadi v-twin 645 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 69.3 hp @ 8,350 rpm dan daya kilas 59.9 Nm @ 8,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi pacuan rantai dan transmisi enam nisbah kelajuan.

SV650 ini dilengkapi dengan fork teleskopik di hadapan, diikuti dengan penyerap hentak tunggal di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor berkembar di hadapan, rotor tunggal di belakang dibantu dengan sistem ABS.

Selain daripada itu, ciri lain termasuklah skrin paparan instrumen LCD penuh, tangki bahan api sebesar 14.5 liter, tinggi pelana 785 mm, fungsi Low RPM Assist dan Suzuki Easy Start System.

Terdapat tiga warna yang boleh dipilih iaitu Pearl Vigor Blue/Metallic Mat Black No. 2, Pearl Mat Shadow Green/Metallic Mat Black No. 2 dan Metallic Mat Black No. 2.

Dalam masa yang sama, Suzuki Malaysia turut memperkenalkan pasukan perlumbaan AMI Suzuki Motorsport (ASM).

Pasukan ini akan menyertai MAM Malaysia Superbike Championship (MSBK) di bawah kategori MSBK1000, serta MotoMSF di bawah kategori MSF Superbike.