Arkib Tag: MyEG

JPJ: Stok lesen LMM, LKM mencukupi sehingga akhir tahun

STOK Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) adalah mencukupi sehingga akhir tahun ini.

Jaminan diberikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selain yakin tidak akan berlaku sebarang masalah berhubung isu pembekalan serta pengedaran LMM dan LKM.

JPJ dalam satu kenyataan memaklumkan stok dimiliki PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM), Pos Malaysia dan MY E.G. Services Bhd (MYEG) juga mencukupi.

“Sepanjang Ogos lepas, pihak JPJ telah membekalkan sejumlah stok dokumen terkawal yang mencukupi kepada semua rakan strategik JPJ.

“Ini termasuklah sebanyak 450,000 stok LKM Motokar dan 8,400 stok LKM Motosikal serta 6,600 stok LMM diberikan kepada MyEG.

“Pos Malaysia pula menerima 385,000 stok LKM Motokar, 287,999 LKM Motosikal dan 300,000 LMM.

“Manakala PUSPAKOM diberikan 5,500 stok LKM Motokar,” menurut kenyataan itu.

Setakat ini, MyEG masih memiliki 100,827 stok LKM Motokar, 10,843 LKM Motosikal dan 26,648 LMM.

Pos Malaysia mempunyai 365,518 LKM Motokar, 142,871 LKM Motosikal dan 789,274 LMM.

Manakala PUSPAKOM pula memiliki 11,950 LKM Motokar.

Semalam, Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim membuat lawatan mengejut di Pejabat Pos Malaysia, Sri Kembangan bagi melihat pengoperasian urus niaga JPJ.

JPJ: Tiada tempoh lanjutan, perbaharui lesen sebelum 30 September

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan menyambung tempoh lanjutan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) selepas 30 September.

Arahan itu termasuk pembaharuan Lesen Vokasional atau GDL/PSV.

Ketua Pengarahnya Datuk Zailani Hashim berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira tempoh lanjutan telah dilaksanakan sebagai mencukupi.

Katanya, JPJ juga menyediakan perkhidmatan secara dalam talian bagi memudahkan urusan pengguna.

“Pembaharuan LMM dan LKM digalakkan dibuat secara dalam talian dan hanya hadir ke premis sekiranya perlu,” katanya.

Sementara itu, Pos Malaysia memaklumkan janji temu boleh dibuat secara dalam talian melalui ciri Outlet Finder atau aplikasi mudah alih miliknya.

Terdapat peningkatan transaksi bagi perkhidmatan MyEG dan syarikat itu akan berusaha memastikan setiap transaksi dihantar kepada pelanggan sebelum 30 September.

Pengarah Eksekutif MyEG Datuk Raja Munir Shah Raja Mustapha berkata, pelanggan mempunyai masalah boleh segera menghubungi pihaknya untuk tindakan susulan.