Arkib Tag: motorrad

BMW C400 X ‘Golden Age’ NMoto kustom hampir menyerupai Vespa

SEKILAS pandang, skuter gaya retro ini tampak seperti produk keluaran Vespa. Namun percayakah anda bahawa jentera yang diberi jolokan ‘Golden Age’ ini asalnya adalah sebuah BMW C400 X?

Sukar untuk percaya namun inilah hasil tangan terbaharu syarikat kustom terkenal dari Florida, NMoto. Dengan bantuan Zillers Motorcycles, sebuah garaj motosikal kustom yang berpengkalan di Moscow, C400 X yang asalnya kelihatan seperti robot makhluk asing dari planet Cybertron kini kelihatan seperti Volkswagen Beetle beroda dua.

Walaupun begitu, Beetle bukanlah inspirasi untuk Golden Age. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NMoto Alex Niznik, rekaan era pra-perang jentera ini diilhamkan oleh motosikal Henderson Streamliner yang dibina oleh O.Ray Courtney pada 1936.

Kit badan unik ini dihasilkan oleh Zillers dan diperbuat sepenuhnya daripada gentian karbon komposit bagi memastikan ia tidak terlalu berat. Keringanan kit ini, serta permukaannya yang licin dan aerodinamik, membolehkan Golden Age mencapai kelajuan maksimum 144km/j, kira-kira 6km/j lebih tinggi berbanding C400 X.

Bagaimanapun, NMoto tidak menyatakan sama ada enjin asal C400 X itu telah diubah suai atau tidak. Atas kertas, enjin silinder tunggal bersesaran 350cc dengan teknologi penyejukan cecair itu menjana 34hp pada 7,500rpm dan 35Nm tork pada 6,000rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear jenis CVT.

Menariknya, walaupun tampil dengan bentuk badan yang berbonjol, Golden Age dikatakan mempunyai sudut condong maksimum yang mencecah 35 darjah, lebih 1 darjah jika dibandingkan dengan sudut condong Harley-Davidson Sportster S.

Antara modifikasi lain yang telah dilakukan pada skuter ini termasuklah penggunaan subrangka hadapan dan belakang baharu dan perumah lampu isyarat membelok baharu. Haluan sistem ekzos turut diubah suai, di mana ekzos gas kini keluar melalui bukaan gril kecil pada bahagian bawah fairing belakang.

Semua kelengkapan dari kilang masih dikekalkan, termasuk ABS, Automatic Stability Control, paparan 6.5-inci dengan sambungan Bluetooth dan ruang storan di bawah tempat duduk. Tempat duduk itu mempunyai ciri pemanas dan sistem penguncian sentral.

Sasaran NMoto adalah untuk menawarkan 100 kit Golden Age, sama ada dalam versi yang telah siap dipasang atau kit DIY. Pelanggan juga boleh mendapatkan aksesori tambahan seperti upholsteri kustom, suspensi udara, rak bagasi, sistem pencahayaan LED serta cermin sisi, lampu utama dan lampu membelok yang direka khusus berdasarkan pasaran yang berlainan.

BMW M1000 RR superbike dengan jiwa M, 212hp, RM249k

BMW Motorrad kini telah membawa masuk superbike M yang pertama, iaitu M1000 RR. Ia ditawarkan dengan harga RM249,500, hadir dengan jaminan dan program bantuan tepi jalan tiga-tahun.

M1000 RR diasaskan dari S1000 RR, tetapi dengan pelbagai tambahan komponen M untuk prestasi lebih tinggi. Antaranya adalah komponen enjin lebih ringan, serta penggunaan titanium untuk injap dan connecting rod.

Selain itu, ia menggunakan nisbah mampatan lebih tinggi iaitu 13.5, port kemasukan dengan geometri baharu, komponen aci seseondol baharu, dan sistem ekzos titanium.

Enjin 999cc 4-silinder ini menjana 212hp pada 14,500rpm dan 113Nm tork pada 11,000rpm. Redline ialah pada 15,100rpm.

Rupa M1000 RR ini tampil sporti dan seperti sedia menakluk litar. Ia mendapat komponen M seperti sayap lawi dan perisai angin untuk kestabilan di kelajuan tinggi.

Casisnya juga dioptimakan untuk tunggangan litar berserta geometri baharu dan agihan berat seimbang.

M1000 RR juga mendapat brek M untuk kali pertama bagi motosikal BMW, roda karbon M, bateri M lebih ringan, pengecas USB dan sistem penggera.

Untuk tunggangan, M1000 dilengkapi mod Rain, Road, Dynamic, Race dan Race Pro 1-3, selain Dynamic Traction Control dengan fungsi wheelie, Shift Assistant Pro, klac anti-hopping, Launch Control, Pit-Lane Limiter, dan Hill Start Control Pro.

Superbike ini juga menampilkan kluster instrumen dengan skrin TFT 6.5-inci, paparan OBD, M GPS dan pengira catatan masa.

BMW M1000 RR boleh dipilih dengan warna Light White, Racing Blue Metallic dan Racing Red.

BMW C400 X dan C400 GT pilihan terbaharu skuter premium di Malaysia, dari RM44k

PENAMBAHAN terbaharu BMW Motorrad di Malaysia adalah skuter premium C400 X dan C400 GT yang baru dilancarkan semalam.

Harga adalah seperti berikut:

C400 X: RM44,500
C400 GT: RM48,500

Harga adalah atas jalan, tanpa insurans, dengan jaminan 3 tahun.

Untuk penampilan, C400 X didatangkan dengan trim berbentuk V, postur badan menegak, lampu depan LED dan DRL sebagai standard.

BMW C400 GT pula mendapat lampu LED berkembar, lampu DRL, dan perisai angin yang sesuai untuk tujuan kembara.

Kedua-dua model dikuasakan oleh enjin 350cc silinder tunggal yang menjana 34hp dan 35Nm tork, dengan kuasa disalurkan melalui transmisi automatik CVT. Enjin ini juga mematuhi piawaian Euro 5 dan dikawal dengan pendikit elektronik.

Terdapat juga torsional drivetrain swing arm yang mengurangkan gegaran.

Ciri standard lain pada C400 X dan GT adalah soket 12V, pengecas USB, paparan FTF berwarna 6.5-inci, fungsi BMW Motorrad Connected untuk sambungan telefon pintar, Automatic Stability Control yang ditambahbaik, dan angkup brek baharu dengan ABS.

Hanya satu warna untuk BMW C400 X iaitu Black Storm (Style Triple Black) baharu. Sementara itu, C400 GT hadir dengan tiga warna – Black Storm (Style Triple Black) baharu, Callisto Grey, dan Alpine White.

Rangkaian BMW G310 GS dan G310 R diperkenalkan, harga bermula RM27,500

HARI yang agak meriah, selain R1250 GS, BMW Motorrad juga memperkenalkan rangkaian baharu untuk G310 GS dan G310 R. Malah, G310 GS turut mendapat pilihan 40 Years Edition. Harga adalah seperti berikut:

G310 R: RM27,500.00
G310 GS: RM29,500.00
G310 GS 40 Years Edition: RM31,500.00

Semua harga adalah atas jalan tanpa insurans, dengan jaminan 3 tahun.

Dari segi penampilan, ketiga-tiga model baharu ini turut membawakan pelitup perumah enjin bagi komponen alternator, klac, dan pam air, kini berwarna kelabu titanium serba metalik.

Lampu hadapan LED yang baharu mempunyai mekanisme yang mengelakkan getaran agar suluhan lebih sekata dan konsisten.

Unik bagi BMW G 310 GS 40 Years Edition ialah kombinasi warna hitam dan kuning yang diilhamkan oleh jentera R100 GS yang ikonik.

Kesemua BMW G310 R, G310 GS dan G310 GS 40 Years Edition kekal dipacu oleh enjin 313cc silinder tunggal yang mampu menjana 34hp pada 9,500rpm dan tork puncak 28Nm pada 7,500rpm.

G310 juga dilengkapi dengan klac self-boosting dan anti-hopping yang memudahkan tunggangan, terutamanya semasa membrek sambil menurunkan gear.

BMW R1250 GS dan Adventure baharu dengan 40 Years Edition, dari RM119k

BMW Motorrad Malaysia hari ini memperkenalkan R1250 GS dan R1250 GS Adventure baharu. Terdapat tujuh versi semuanya termasuk 40 Years Edition.

Harga adalah seperti berikut:

R1250 GS Style Rallye: RM119,500.00
R1250 GS Style Triple Black: RM120,500.00
R1250 GS ’40 Years GS’ Edition: RM122,500.00
R1250 GS Adventure (Lowering): RM130,500.00
R1250 GS Adventure Style Rallye: RM132,500.00
R1250 GS Adventure Style Triple Black: RM133,500.00
R1250 GS Adventure ‘40 Years GS’ Edition: RM135,500.00

Kesemua harga adalah atas jalan, tanpa insurans, dan dengan jaminan 3 tahun.

Ciri luaran pada barisan R1250 GS ini antaranya adalah lampu depan dengan komponen berbentuk X, lampu DRL, ekzos krom, dan lampu signal belakang multifungsi sebagai standard.

Kesemua barisan BMW R1250 GS dan Adventure ini dikuasakan enjin boxer 1,254cc dua-silinder yang mampu menghasilkan 136hp pada 7,750rpm dan 143Nm tork pada 6,250rpm.

Kuasa disalurkan melalui Gear Shift Assistant Pro dengan klac anti-hopping dan Dynamic Traction Control. Selain itu, terdapat juga mod tunggangan Rain, Road, Dynamic, Dynamic Pro, Enduro, dan Enduro Pro.

BMW R1250 GS baharu juga mendapat skrin TFT berwarna 6.5-inci, soket 12V, dan USB-A untuk integrasi mudah dengan telefon pintar penunggang.