Arkib Tag: motor elektrik

Koenigsegg perkenal Quark – motor elektrik kecil dengan kuasa besar

KOENIGSEGG sememangnya terkenal dengan pelbagai inovasi mereka sendiri yang canggih dan lain dari yang lain seperti teknologi Freevalve dan transmisi Koenigsegg Direct Drive (KDD).

Kini, pengeluar hypercar dari Sweden itu memperkenalkan satu lagi teknologi penting yang bakal digunakan secara meluas dalam model-model keluarannya. Dikenali sebagai Quark, ia merupakan sebuah motor elektrik ultra-kompak yang mampu menjana kuasa yang tinggi.

Menurut Koenigsegg, Quark dibangunkan khusus untuk dipadankan dengan enjin Tiny Friendly Giant (TFG) yang digunakan oleh Gemera namun ia juga boleh digunakan dalam aplikasi lain seperti trenkuasa elektrik, aeroangkasa, Vertical Take Off and Landing (VTOL), marin dan pelbagai lagi.

Secara asasnya, Quark menggabungkan topologi radial dan axial untuk membentuk apa yang digelar sebagai ‘Raxial Flux’. Gabungan topologi ini didakwa mampu memberikan nisbah tork-kuasa-berat yang terbaik dalam industri.

Dakwaan ini mungkin benar kerana motor elektrik itu hanya seberat 30kg (28.5kg tanpa komponen driveline), manakala saiznya tidak begitu besar dengan tinggi tidak melebihi dua buah tin minuman 330ml.

Namun bak kata pepatah, kecil-kecil cili padi. Satu unit Quark mampu menjana 340PS dan 600Nm secara berterusan selama 20 saat. Selepas itu, kuasanya akan diturunkan kepada 136PS dan 249Nm.

Angka tersebut mungkin tidak begitu mengagumkan pada zaman kini namun harus diingat bahawa Gemera mempunyai tiga unit Quark untuk membantu enjin TFG. Enjin twin-turbo tiga silinder itu juga boleh tahan berbisa dengan output mencecah 600PS dan 600Nm yang dihasilkan dengan sendirinya.

Untuk membuktikan kemampuan ciptaannya, Koenigsegg menggabungkan dua unit Quark dengan inverter enam fasa bernama David dan juga gear bagi menghasilkan sebuah pacuan elektrik yang dikenali sebagai Terrier.

Nama itu dipilih bersempena dengan baka anjing Terrier yang terkenal dengan sifatnya yang kecil tetapi bertenaga dan berani.

Untuk memberikan gambaran yang jelas tentang saiznya, Terrier mempunyai ukuran panjang 425mm, lebar 475mm dan tinggi 340mm, manakala beratnya ialah sekitar 85kg.

Tidaklah besar mana namun kuasanya boleh mencecah 680PS dan 1,100Nm. Apa yang menarik, ia juga mempunyai fungsi pemvektoran tork manakala saiznya yang kompak membolehkan ia dipasang terus pada casis tanpa perlu menggunakan subrangka.

Tidak dapat dipastikan pada model manakah Terrier akan digunakan kerana setakat ini, Koenigsegg masih belum mempunyai EV.

Stark Future lancar motocross elektrik dengan 80hp, harga RM50,366

INDIVIDU berminat mendapatkan motocross elektrik keluaran syarikat Stark Future boleh berbuat demikian hanya menerusi tempahan secara dalam talian.

Syarikat berpangkalan di Sepanyol itu berkata, penghantaran model diberi nama Varg tersebut dijangka bermula pada September tahun depan.

Varg merupakan sebuah motocross dipacu oleh motor elektrik dan bateri 6 kWh.

Foto ihsan Stark Future

Menariknya, Stark Future berjaya menghasilkan sebuah jentera agak ‘padu’ yang mana ia mampu menghasilkan 80 kuasa kuda dan 938 Nm tork walaupun hanya dijana menggunakan kuasa elektrik.

Penunggang yang gemarkan cabaran di hutan juga tidak perlu bimbang kerana jentera ini boleh bertahan selama enam jam menerusi pengecasan bateri penuh!

Antara spesifikasi menarik terdapat pada motocross ini adalah ia agak ringan dengan berat keseluruhan 110 kilogram selain mempunyai kuasa 30 peratus lebih daripada model 450 cc lain.

Foto ihsan Stark Future

Stark Future juga mendakwa kerangka jentera ini 50 peratus lebih ringan berbanding motocross biasa.

Suspensi yang digunakan adalah daripada Kayaba dengan jarak gerak 310 mm di hadapan.

Bagaimana pula harganya?

Varg dijual pada harga USD11,900 (RM50,366) dan pembeli boleh memilih spesifikasi sesuai untuk kegunaan mereka.

Foto ihsan Stark Future