Arkib Tag: MOF

Keselamatan, keselesaan juga faktor penukaran Perdana kepada Vellfire – MOF

KESELAMATAN dan keselesaan menjadi antara faktor utama kerajaan memutuskan untuk menukar kereta rasmi menteri daripada Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Proton Perdana 2.4 Premium

Faktor lain seperti yang dilaporkan sebelum ini ialah Proton tidak lagi mengeluarkan model tersebut di samping mengambil kira kos pembaikan dan penyelenggaraan.

Menurutnya, keputusan untuk menggantikan kenderaan itu dibuat pada Disember 2020 dan pada waktu itu, penggantian harus dilakukan kerana kenderaan digunakan telah tamat tempoh pajakan.

“Kereta anggota pentadbiran kerajaan telah tamat pajakan dan perlu diingatkan (penggantian perlu dilakukan) memandangkan ia melibatkan soal keselamatan dan keselesaan pengguna, di samping kos pembaikan,” kata Tengku Zafrul.

“Selain itu penyelenggaraan akan menjadi tinggi dan ketersediaan alat ganti pun makin berkurang sebab kereta itu (Proton Perdana) tidak dibuat lagi.

“Ia akan menjejaskan kelancaran penyelenggaraan anggota pentadbiran,” tambahnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dibangkitkan Sim Tze Tzin (PH – Bayan Baru) yang bertanya keputusan kerajaan menukar kenderaan rasmi seperti diumumkan baru-baru ini.

Tambah Tengku Zafrul, kerajaan ambil maklum bahawa kenderaan tempatan perlu diberi keutamaan untuk kegunaan anggota pentadbiran.

Begitupun, katanya, Proton sendiri secara rasmi memberitahu kementerian tersebut pada dua tahun lepas bahawa mereka tidak lagi mengeluarkan model berkenaan.

Menerusi jadual sewaan yang disertakan, kadar sewaan Toyota Vellfire 2.5 adalah RM4,851.61 sebulan berbanding RM4,854.41.

Harga RON95, RON97 dan diesel kekal

HARGA jualan RON97, RON95 dan diesel kekal bagi tempoh 19 sehingga 25 Ogos ini.

Ia bermakna RON97 masih lagi dijual pada harga RM2.74 seliter dan RM2.05 bagi RON95 seliter.

Harga bagi diesel pula adalah RM2.15 seliter.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol.

“Sungguh pun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan,” memetik kenyataan itu.

Terdahulu, MOF menjamin kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.