Arkib Tag: Mitsuoka Ryugi

Mitsuoka Ryugi Final Edition 2026: 20 unit sahaja, harga dari RM83 ribu di Jepun

Mitsuoka Motor mengumumkan sedan kompak klasik Ryugi yang ditawarkan sejak 2014 akan ditamatkan pengeluarannya kelak.

Serentak dengan itu, Mitsuoka turut melancarkan model edisi penamat Ryugi Final Edition dengan unit produksi dihadkan kepada 20 unit sahaja.

 

Lencana khas untuk 20 pemilik terakhir

Secara keseluruhan, Ryugi Final Edition mengekalkan reka bentuk klasik yang menampilkan rekaan jeriji menegak, lampu bulat, serta bampar berlapis krom.

Emblem pada jeriji dan but kargo belakang pula dipasang menggunakan teknik tradisional Jepun “Shippo-yaki” yang menonjolkan sentuhan buatan tangan yang menjadi kepakaran Mitsuoka.

Akhir sekali, setiap unit Ryugi Final Edition diberikan lencana edisi penutup khas pada bahagian belakang.

Itu sahaja yang membezakan antara model Ryugi standard dan Final Edition.

 

Spesifikasi asas Mitsuoka Ryugi

Ryugi dibina berdasarkan sedan Corolla generasi kesebelas yang dikenali sebagai Corolla Axio di Jepun.

Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,510 mm, lebar 1,695 mm dan tinggi 1,460 mm.

Pembeli boleh mendapatkan versi enjin 1.5L NA (kod 1NZ-FE) yang mampu menjana kuasa 108 hp @ 6,000 rpm dan 138 Nm @ 4,400 rpm.

Terdapat juga versi enjin hibrid pengecasan kendiri 1.5L (kod 1NZ-FXE) dengan kuasa keseluruhan mencecah 99 hp.

 

Harga

Di Jepun, Mitsuoka Ryugi dijual pada harga seperti berikut:

  • Ryugi 15EX – ¥3,305,500 (RM83,360)
  • Ryugi 15EX 4WD – ¥3,424,300 (RM86,356)
  • Ryugi Hybrid EX – ¥3,855,500 (RM97,231)

 

Mitsuoka Ryugi ini sebenarnya sebuah Toyota Corolla yang sedang menyamar

Sedan dan wagon dengan rupa paras seakan model Britain klasik ini sebenarnya merupakan sebuah model buatan Jepun.

Tak percaya?

Inilah dia Mitsuoka Ryugi 2024, di mana ia sebenarnya menggunakan asas daripada sedan dan wagon Toyota Corolla, namun bukanlah datang daripada model platform TNGA yang terkini.

 

 

Sebaliknya, Mitsuoka menggunakan model generasi lama Corolla E160 di mana model tersebut (sedan Corolla Axio dan wagon Corolla Fielder) sebenarnya masih lagi dijual secara rasmi oleh Toyota di Jepun, namun dihadkan penjualannya sebagai kenderaan armada sahaja.

Ia membawakan rekaan muka depan yang agak klasik dengan struktur jeriji besar, mengingatkan kita kepada model-model seperti Rover P5 atau Jaguar Mark II.

Keempat-empat sudut tayar pula menampilkan rekaan rim yang langsung tidak kena dengan tema klasik yang cuba dibawakan.

Sementara bahagian belakang pula menampilkan unit lampu menegak, diikuti dengan kemasan bampar berwarna krom.

 

 

Di Jepun, Mitsuoka Ryugi dibekalkan dengan enjin 1.5 liter NA atau tetapan hibrid, yang dipadankan dengan sistem pacuan roda depan atau pacuan semua roda (AWD), serta pilihan transmisi manual lima kelajuan atau CVT.

Tidak banyak perubahan dibawakan pada ruang kabin, di mana ia masih lagi sama dengan rekaan papan pemuka standard pada Toyota Corolla terdahulu.

Apa yang berubah hanyalah kehadiran logo Mitsuoka pada roda stereng serta pada tempat duduk.

Ciri keselamatan turut dipertingkatkan, di mana kesemua varian (kecuali model manual) dilengkapi dengan sokongan brek parkir, sementara model manual pula didatangkan standard dengan fungsi auto kelam dan paparan undur pada cermin pandang belakang.

Harga jualan Mitsuoka Ryugi bermula dari 3,074,500 yen hingga 4,134,900 yen. (RM96,507-RM129,792).