Arkib Tag: Mitsubishi Xforce 2026

Mitsubishi Malaysia catat serahan sebanyak 900 unit Xforce kepada pelanggan akhir April

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan permulaan yang sangat memberangsangkan bagi model baharu Mitsubishi Xforce.

Tidak sampai sebulan selepas dilancarkan pada 8 April 2026, sebanyak 900 unit telah diserahkan kepada pelanggan akhir April.

Takashi Sakamaki, Ketua Pegawai Eksekutif MMM berkata, sambutan luar biasa ini membuktikan keyakinan pelanggan terhadap jenama Mitsubishi dan model baharu tersebut.

Jelasnya lagi, MMM terus komited untuk memastikan proses penghantaran berjalan lancar.

Mitsubishi Xforce 2026 dijual pada harga RM109,980 untuk varian Urban, dan RM119,980 untuk varian Ultimate.

SUV ini dipacu enjin empat silinder sebaris 1.5 liter MIVEC menghasilkan 103 hp dan 141 Nm.

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi CVT.

 

Mitsubishi Xforce 2026 rasmi di Malaysia – harga dari RM109,980

Mitsubishi Motors Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan SUV terbaharu mereka, iaitu Mitsubishi Xforce 2026.

Berikut merupakan senarai harga bagi setiap varian yang ditawarkan:

  • Urban – RM109,980
  • Ultimate – RM119,980

Promosi pelancaran

MMM turut melanjutkan promosi Early Bird, sah sehingga 12 April 2026 yang merangkumi:

  • rebat tunai RM5,000 untuk pembeli terawal
  • rebat tunai tambahan RM1,000 untuk pemilik Mitsubishi sedia ada atau pekerja kerajaan
  • kos penyelenggaraan 5-tahun cuma RM3,900 serta pengecualian kos buruh sebanyak tiga kali
  • peraduan “Beli 1 Percuma 1” di mana setiap pelanggan yang membuat tempahan sebelum pelancaran April ini berpeluang untuk membawa pulang Mitsubishi Xforce Ultimate

MMM turut menawarkan tiga pakej aksesori berikut:

  • Excitement (RM4,000) – kit badan depan, sisi dan belakang.
  • Fashion Roof Rail (RM2,200)
  • Practical (RM700) – dulang kargo & mud guard

Sempena pelancaran Xforce, MMM menawarkan diskaun 20 peratus terhad kepada 50 pelanggan pertama.

Spesifikasi Xforce

Xforce dikuasakan enjin MIVEC empat silinder sebaris (kod 4A91) 1.5 liter dipadankan dengan kotak gear CVT dan pacuan roda depan.

Kuasa mencecah 103 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 141 Nm @ 4,000 rpm.

Xforce menawarkan sehingga 4 mod pemanduan iaitu Normal, Gravel, Mud, dan Wet.

Dari segi ukuran, Mitsubishi Xforce 2026 membawakan panjang 4,390 mm, lebar 1,810 mm dan tinggi 1,660 mm.

Jarak antara roda pula sekitar 2,650 mm sementara jarak lega bumi 222 mm.

SUV ini turut menawarkan sudut pendekatan 21 darjah serta sudut pelepasan 30.5 darjah, sesuai untuk pemanduan off-road ringan.

Kapasiti kargo pula sebesar 410 liter.

Kelengkapan

SUV ini menggunakan tetapan topang MacPherson di depan dan torsion beam di bahagian gandar belakang.

Dari sudut luaran, Xforce mendapat ciri seperti:

  • lampu utama LED berserta DRL
  • lampu belakang LED
  • spoiler belakang
  • rim aloi 18 inci
  • tayar Toyo Proxes CR1 saiz 225/50 R18
  • pintu tailgate berkuasa elektrik (varian Ultimate sahaja)

 

Untuk ruang kabin, Xforce hadir dengan kelengkapan seperti:

  • upholsteri leatherette
  • skrin kluster digital 4.2 inci
  • skrin infohibur 8 inci
  • sokongan Apple CarPlay/Android Auto berwayar
  • enam pembesar suara
  • kawalan iklim dua zon automatik

Untuk varian Ultimate pula mendapat kelengkapan tambahan:

  • upholsteri kulit sintetik dengan aksen mocha
  • tempat duduk larasan manual
  • skrin kluster digital 8 inci
  • skrin Display Audio 12.3 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • sistem audio Dynamic Sound Yamaha Premium dengan 8-pembesar suara
  • port pengecasan USB
  • sistem pencahayaan ambien
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar

Keselamatan

Secara standard, Xforce didatangkan dengan empat beg udara, peranti perakam video pemanduan, serta dua fungsi keselamatan aktif iaitu amaran titik buta (BSW) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

Varian Ultimate pula mendapat kelengkapan berikut:

  • enam beg udara
  • peranti perakam video pemanduan depan dan belakang
  • sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
  • kawalan jelajah adaptif (ACC)
  • sistem mitigasi pelanggaran hadapan (FCM)
  • notifikasi pergerakan kereta hadapan (LCDN)
  • bantuan suluhan tinggi automatik (AHB)

Lima perkara buat kami terpikat dengan Mitsubishi Xforce 2026 – pandu uji ringkas

Mitsubishi Xforce 2026 tiba pada saat pasaran SUV subkompak (segmen B) Malaysia semakin padat dan sengit persaingannya.

Berdasarkan sesi pandu uji ringkas pertama ini, jelas model baharu ini bukan sekadar cuba menumpang gelombang populariti SUV semata-mata.

Persoalannya, sejauh mana Xforce dapat menonjolkan diri dalam pasaran yang dibanjiri dengan bermacam pilihan dari pengeluar tempatan, China dan juga Jepun?

Berikut merupakan lima perkara yang buatkan kami terpikat dengan pakej terbaharu daripada Mitsubishi Motors Malaysia ini.

 

Rupa paras tersendiri

Mitsubishi Xforce diberikan pendekatan Dynamic Shield yang jauh lebih moden.

Dengan ciri seperti lampu utama yang besar dan tajam serta padanan rim 18 inci, tidak menghairankan apabila SUV ini nampak lebih menyerlah dan menonjol bila dipandu atas jalan raya.

Mujur juga Mitsubishi tidak terikut-ikut dengan trend bar lampu LED melintang seperti kebanyakan pengeluar.

Rekaan yang ditampilkan pada luaran Xforce ini turut menyumbang kepada aspek aerodinamik yang jauh lebih baik berbanding model pesaing.

Bila kali terakhir anda melihat sebuah kereta Mitsubishi yang hensem bergaya macam Xforce ini?

 

Ruang kabin moden

Pada pendapat penulis, susun atur ruang kokpit Mitsubishi Xforce merupakan antara yang paling kemas untuk sebuah SUV segmen B.

Paparan menu mudah untuk dibaca, dan skrin kluster digital pula sengaja diposisikan lebih dalam supaya rasa lebih natural.

Tidaklah terasa macam memandang dua keping iPad yang bertenggek atas papan pemuka.

Yang paling penulis suka? Ada paparan skor pemanduan gaya Pajero dan meter kapal terbang disediakan pada skrin tengah.

Butang kawalan fizikal untuk sistem pendingin hawa dan penukaran mod pemanduan direka besar dan mudah untuk dicapai pemandu.

Selain itu, Xforce turut menawarkan tempat duduk yang cukup selesa di baris depan dan belakang, biarpun hanya dilengkapi dengan larasan manual.

Ruang kargo cukup besar, sekitar 410 liter untuk memuatkan barangan keperluan harian.

Poin seterusnya akan meletakkan Xforce sebagai salah satu SUV unik dalam segmennya.

 

Sistem audio Yamaha

Unik dalam segmennya disebabkan oleh sistem audio yang dibangunkan secara khusus oleh Yamaha!

Terdapat sehingga lapan pembesar suara dipasang pada ruang kabin Xforce merangkumi komponen berikut:

  • 25mm tweeter × 2 pada tiang A
  • 160mm woofer × 2
  • 160mm/25mm co-axial × 2 untuk penumpang baris kedua

Berdasarkan pengalaman ringkas tempoh hari, penulis mengakui kualiti dan lontaran bunyi yang dihasilkan daripada sistem audio Yamaha ini lebih dekat di hati berbanding model pesaing.

Terasa macam sedang pandu kenderaan yang jauh lebih mahal harganya.

 

Dinamik pemanduan inspirasi Evo

SUV ini dibina dengan meletakkan penggunaan harian di Asia Tenggara sebagai matlamat utama.

Biarpun menggunakan platform Xpander, Xforce diberikan struktur casis yang lebih tegar diikuti talaan suspensi yang lebih sesuai dengan keadaan jalan di sini.

Tidak menghairankan apabila Xforce mampu menawarkan dinamik pengendalian yang lebih baik berbanding Xpander.

Mungkin juga lebih baik berbanding kebanyakan pesaing di pasaran.

Rahsianya? Xforce mendapat sentuhan daripada Masahiro Tamura, Ketua Jurutera Produk MMC yang merangkap bekas jurutera jentera berprestasi tinggi Mitsubishi Lancer Evolution!

Buktinya ialah kehadiran ciri Active Yaw Control (AYC) untuk memastikan pengendalian SUV ini lebih meyakinkan atas jalan raya.

Kurang olengan badan dirasakan, malah maklum balas sistem stereng juga lebih tepat dan meyakinkan walaupun ada kalanya SUV ini dipandu sedikit agresif di kawasan berselekoh.

Enjin MIVEC 1.5 liter 4A91 berkuasa 103 hp dan 141 Nm itu dipadankan dengan transmisi CVT untuk menawarkan pemanduan permulaan yang lebih lancar.

Respons pendikit yang ringan, ditambah pula dengan sistem brek yang meyakinkan untuk memastikan SUV ini berhenti dengan baik.

Cuma ia mungkin tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai kaki kanan terlebih berat, disebabkan respons enjin yang tidak memberangsangkan ketika kuasa ekstra diperlukan.

Pendapat kami, Mitsubishi Xforce ini lebih sesuai dipandu santai sesuai dengan sifatnya sebagai SUV urban. Laju-laju nak pergi mana?

 

Mod pemanduan sesuai dengan keadaan cuaca ASEAN

Mitsubishi Xforce dilengkapi dengan beberapa mod pemanduan termasuklah Normal, Gravel, Mud dan juga Wet.

Tidak terhad kepada sekadar talaan output kuasa, mod pemanduan Xforce melaraskan tetapan respons pendikit, kawalan cengkaman, pengendalian serta ciri Active Yaw Control bergantung kepada situasi.

Mod pemanduan yang paling berguna untuk keadaan cuaca sekarang sudah semestinya mod Wet.

Kami diberikan peluang untuk menilai kecekapan mod ini di atas jalan yang sengaja dibasahkan untuk mensimulasi keadaan basah bila hujan.

Dalam keadaan biasa, SUV akan membuang keluar ketika kelajuan ditingkatkan.

Namun pengendalian menjadi lebih mudah dikawal apabila mod Wet diaktifkan dan Xforce dirasakan lebih melekat di atas jalan yang licin.

Menurut Mitsubishi, mod Wet ini merupakan mod baharu yang dibangunkan khusus untuk pelanggan ASEAN di kawasan yang mempunyai kadar kekerapan hujan yang tinggi.

 

Kesimpulan

Mitsubishi Xforce merupakan satu produk menarik yang ditawarkan MMM untuk pasaran tempatan.

Reka bentuk yang lebih matang, kabin yang jauh lebih moden, serta talaan pemanduan yang disesuaikan untuk jalan Asia Tenggara, ia memberi gambaran awal bahawa Mitsubishi benar‑benar mahu kembali menjadi pilihan utama dalam kelas ini.

Mitsubishi Xforce 2026 bakal dilancarkan tidak lama lagi, dan bagi kami harga jualan anggaran dari RM110,000 bukanlah satu masalah besar untuk para peminat tegar Mitsubishi.

 

Mitsubishi Xforce 2026 terima lebih 1,000 tempahan dalam tempoh seminggu

Dalam tempoh seminggu selepas pra-pelancaran, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan SUV segmen B Xforce sudah pun menerima lebih 1,000 tempahan.

 

Lanjutan Pakej Early Bird

Sebagai tanda penghargaan, MMM melanjutkan tawaran Pakej Early Bird kepada 1,000 pelanggan seterusnya yang membuat tempahan sebelum pelancaran rasmi.

Pelanggan yang menempah dalam tempoh lanjutan ini akan menikmati:

  • Rebat tunai RM5,000
  • Pengecualian kos buruh untuk servis sebanyak tiga kali
  • Peraduan “Buy 1 Free 1”, dengan peluang memenangi sebuah lagi Mitsubishi Xforce Ultimate

Xforce tawar pakej moden dan praktikal

Mitsubishi Xforce tampil dengan rekaan moden dan berani serta diiktiraf melalui iF DESIGN AWARD 2024.

SUV kompak ini turut menawarkan pengendalian lincah dengan empat mod pemanduan, Active Yaw Control (AYC) dan jarak kelegaan tanah terbaik dalam kelasnya iaitu 222mm.

Bahagian dalamannya pula menekankan keselesaan dan kemudahan harian, antaranya:

  • Tempat duduk belakang boleh baring 8 peringkat
  • Sistem audio Dynamic Sound Yamaha Premium
  • Paparan 12.3 inci dengan Apple CarPlay™ & Android Auto™ tanpa wayar
  • Penyaman udara nanoe™ X dua zon

Ciri pintar lain termasuk Power Tailgate dengan Kick Motion, sistem keselamatan Mitsubishi Motors Safety Sensing (ADAS), 23 ruang simpanan bersama kotak penyejuk tengah, serta All-Round Monitor dengan penderia parkir.

Harga jualan anggaran Mitsubishi Xforce 2026 adalah seperti berikut:

  • Urban – RM110,000
  • Ultimate – RM120,000

Mitsubishi Xforce 2026 bakal dilancarkan, tempahan dibuka awal Februari

Mitsubishi Motors Malaysia mengesahkan SUV segmen B terbaharu Mitsubishi Xforce bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Tempahan rasmi boleh dibuat pada awal bulan Februari akan datang, namun rakyat Malaysia boleh mendaftarkan minat dengan lebih awal menerusi pautan INI.

Pelanggan yang membuat pendaftaran minat akan diberikan keutamaan untuk menerima jemputan ke jelajah dan pengalaman berkaitan pelancaran, serta tidak ketinggalan kemas kini produk secara eksklusif.

Sebagai sebahagian daripada aktiviti pra-pelancaran, Mitsubishi Xforce akan dibawa ke beberapa lokasi di seluruh negara, perinciannya seperti berikut:

  • 16-28 Januari – KL & Selangor
  • 5-15 Februari – Pulau Pinang, Perak & Johor
  • 1-15 Mac – Kuantan, Kelantan, Kuala Lumpur & Selangor

Berpandukan slogan “Exceed Xpectations”, Mitsubishi Xforce direka untuk menawarkan nilai pintar dan praktikal yang disesuaikan dengan keperluan pemandu masa kini seperti aspek pengendalian yang unggul, rekaan bergaya, selesa dan penggunaan bahan api yang cekap.

Mitsubishi Xforce juga turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan merangkul anugerah iF Design Award 2024 di dalam kategori Rekaan Produk.

Mitsubishi XFORCE dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter berkuasa 103 hp dan 141 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT dan pacuan roda hadapan.

Walaupun dengan sistem 2WD sahaja, XFORCE tetap mempunyai ciri-ciri sebuah SUV off-road, seperti jarak lega bumi 222 mm, sudut pendekatan 21 darjah, sudut pelepasan 35 darjah, serta empat mod pemanduan (Normal, Gravel, Mud, Wet).

Untuk makluman, Mitsubishi Xforce turut mendapat penarafan lima bintang dalam ujian pelanggaran kenderaan baharu ASEAN NCAP.