Arkib Tag: Mitsubishi Pajero

Mitsubishi Pajero 2027 kini ditawarkan di Thailand, harga mula RM182 ribu

Mitsubishi Motors memulakan jualan Mitsubishi Pajero generasi baharu di Thailand pada 19 Oktober 2026. ‘

Pajero 2027 dikeluarkan di kilang Mitsubishi Motors (Thailand) Co., Ltd. (MMTh) di Laem Chabang dan ditawarkan dalam tiga varian dengan harga bermula ฿1.499 juta (RM181,979).

Selain Thailand, penghantaran Mitsubishi Pajero baharu ke Australia dan Jepun akan dibuat sebelum jualan bermula pada pertengahan Disember 2026.

Bermula tahun kewangan 2027, Mitsubishi Motors merancang memperkenalkan model ini secara berperingkat di kira-kira 100 negara dan wilayah, termasuk pasaran Timur Tengah dan Amerika Latin.

Mitsubishi Pajero baharu meneruskan legasi model itu menerusi gabungan keupayaan pemanduan off-road, teknologi moden dan kabin yang mengutamakan keselesaan.

Model ini turut menampilkan kemasan bermutu tinggi serta pengendalian yang lebih lincah untuk memenuhi keperluan perjalanan di pelbagai keadaan jalan.

Enjin Diesel VGT 2.4L, 480Nm

Mitsubishi Pajero baharu menggunakan enjin diesel VGT 2.4 liter yang dibangunkan khusus untuk model ini.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan (8AT) dan menghasilkan kuasa maksimum 204 hp dan tork 480 Nm.

Mod Sport dan paddle shift turut disediakan untuk meningkatkan respons serta pengalaman pemanduan dalam pelbagai keadaan.

Antara ciri utama sistem pemanduan Pajero baharu ialah:

  • Super-All Wheel Control (S-AWC).
  • Super Select 4WD-II (SS4-II).
  • Active Yaw Control (AYC).
  • Tujuh mod pemanduan untuk pelbagai keadaan jalan dan perjalanan.

Gabungan sistem tersebut direka untuk memberikan keyakinan ketika memandu di permukaan jalan, keadaan cuaca dan laluan yang berbeza.

Reka Bentuk Luaran Lebih Tegap

Mitsubishi Pajero baharu mengekalkan penampilan SUV cross-country menerusi badan yang tegap dan garisan reka bentuk yang menyerlah.

Varian asas dan pertengahan menggunakan gril hadapan Kendo Mask.

Varian tertinggi pula menerima gril sarang lebah bersama kemasan bampar hadapan dan belakang khusus, pelindung bawah badan serta rim aloi 20 inci.

Model ini turut dilengkapi lampu alu-aluan (Welcome Light) yang menyala secara automatik apabila kunci pintu dibuka, selain animasi lampu Dynamic Flow Light ketika pintu dikunci atau dibuka.

Kabin Tujuh Tempat Duduk

Ruang dalaman Mitsubishi Pajero baharu menampilkan konfigurasi tujuh tempat duduk dengan susun atur yang direka untuk menyediakan ruang luas kepada penumpang di semua barisan.

Kabin menggunakan balutan kulit dan kulit sintetik dalam kombinasi warna Camel Brown dan hitam.

Untuk meningkatkan keselesaan perjalanan, Mitsubishi turut memasang kaca akustik pada tingkap pintu hadapan dan belakang, selain bahan penebat bunyi di seluruh kabin.

Ciri ini membantu mengurangkan bunyi angin dan enjin supaya penumpang dapat berbual dengan lebih selesa sepanjang perjalanan.

Tempat duduk hadapan boleh dilaraskan secara elektrik dalam lapan arah. Fungsi memori turut disediakan untuk tempat duduk hadapan, stereng dan cermin sisi.

Bahagian paparan hadapan mengambil inspirasi daripada susun atur mendatar Pajero generasi pertama.

Gayaan itu diberi sentuhan moden menerusi dua skrin bersaiz 14.3 inci yang disatukan dalam reka bentuk monolitik.

Satu skrin berfungsi sebagai sistem maklumat hibur skrin sentuh, manakala satu lagi memaparkan maklumat pemanduan.

Kelengkapan lain termasuk:

  • Sistem audio Dynamic Sound Yamaha Ultimate dengan 12 pembesar suara.
  • Bumbung kaca panoramik.
  • Kemasan kabin premium dengan gabungan warna Camel Brown dan hitam.

Teknologi Keselamatan Diamond Sense

 

Mitsubishi Pajero baharu dilengkapi teknologi keselamatan Diamond Sense dengan rangkaian ciri keselamatan dan bantuan pemandu.

Antara sistem yang disediakan ialah:

  • Lane Departure Warning (LDW) dan Lane Departure Prevention (LDP).
  • Leading Car Departure Notification (LCDN).
  • Front Cross Traffic Alert (FCTA).
  • Emergency Assist for Pedal Misapplication (EAPM).
  • Moving Object Detection (MOD).
  • Rear Cross Traffic Brake (RCTB).
  • Lane Keep Assist (LKA).
  • Traffic Sign Recognition (TSR).

SUV ini turut dilengkapi sistem bantuan pemandu pintar MI-PILOT yang direka untuk meningkatkan kemudahan pemanduan dan mengurangkan beban kerja pemandu sepanjang perjalanan.

Harga Mitsubishi Pajero 2026 Di Thailand

Mitsubishi Pajero pasaran Thailand ditawarkan dalam tiga varian, iaitu GLS, GSR dan Super Exceed.

  • Pajero GLS: THB1,499,000 (RM181,979)
  • Pajero GSR: THB,699,000 (RM206,059)
  • Pajero Super Exceed: THB1,999,000 (RM242,679)

Bos besar mahu Mitsubishi bangkit dan mampu hasilkan model hebat macam Lancer Evo

Bulan lalu, Mitsubishi menggemparkan dunia dengan perancangan untuk menghidupkan kembali nama ikonik Pajero.

Perkara tersebut ternyata diterima positif oleh kebanyakan pihak yang mahu melihat jenama Mitsubishi kembali bangkit.

Selepas Pajero, tiba giliran Lancer Evo?

Dalam mesyuarat agung tahunan yang ke-57 berlangsung baru-baru ini, terdapat juga pihak mengusulkan supaya Mitsubishi menghidupkan nama-nama lain seperti Lancer Evolution, Diamante dan Galant.

Menurut Keisuke Kishiura, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Mitsubishi Motors Corporation menjelaskan ketiga-tiga model tersebut merupakan kereta penting buat Mitsubishi Motors.

“Kami menganggap (Lancer Evolution, Diamante dan Galant) sebagai khazanah.”

“Pada ketika ini, kami tidak mempunyai pelan kukuh untuk kembali memperkenalkan model tersebut, namun kami mahu menjadikan syarikat kami berkeupayaan untuk menghasilkan semula kereta hebat seperti itu pada masa akan datang.

Mitsubishi sertai WRC semula?

Antara soalan panas yang turut ditanya ialah perancangan Mitsubishi untuk kembali menyertai Kejohanan Rali Sedunia (WRC) sebagai pasukan pengilang.

Untuk makluman, Mitsubishi merupakan antara nama-nama besar yang pernah menguasai pentas rali dunia sebelum menarik diri secara rasmi pada tahun 2005.

Menurut Kishiura, salah satu impiannya adalah menyertai semula WRC sebagai pasukan pengilang.

“Seperti yang saya telah sebutkan, tiada sebarang perancangan kukuh buat masa ini, namun saya mahu menjadikan Mitsubishi Motors sebuah syarikat yang dapat menyertai acara besar seperti WRC pada masa depan.

Lancer Turbo kereta kegemaran Presiden

Kishiura turut mendedahkan kereta pertama yang dipandunya ketika bergelar penuntut ialah sebuah Lancer Turbo.

“Secara peribadi, saya suka memandu. Kereta pertama yang saya pandu ketika belajar bukanlah sebuah Lancer Evolution, tetapi sebuah Lancer Turbo yang usang, sebuah kereta manual dengan stereng berat.

“Ia sebuah kereta pacuan roda belakang, tapi saya gemar memandunya ke resort ski. Saya masih lagi suka memandu kereta.”

Mitsubishi hidupkan semula plet ikonik Pajero, muncul secara rasmi musim luruh tahun ini

Mitsubishi akhirnya secara rasmi menghidupkan semula plet nama Pajero setelah kali terakhir nama ikonik tersebut digunakan pada tahun 2021.

Model SUV off-road baharu ini bakal diperkenalkan pada musim luruh 2026.

Ciri Pajero baharu

gambar sekadar hiasan

Mitsubishi Pajero serba baharu ini akan dibina berdasarkan platform ladder-frame yang diambil daripada trak pikap Triton.

Dengan cara ini, Pajero akan menjadi sebuah SUV off-road yang sebenar sekali gus mengekalkan warisan dan karakteristik yang dikenali ramai.

Antara ciri lain yang bakal dimuatkan termasuklah sistem pacuan empat roda, tetapan suspensi yang berbeza, serta reka bentuk ruang kabin yang lebih premium.

Pajero sebagai sebuah siri kenderaan


Dalam masa yang sama, Mitsubishi tidak mengehadkan nama Pajero untuk kegunaan sebuah model sahaja.

Sebaliknya, nama ikonik itu akan dilancarkan sebagai sebuah siri kenderaan off-road.

Difahamkan, sekurang-kurangnya dua lagi model baharu yang lebih kecil saiznya akan ditawarkan kepada pengguna.

Untuk info, pendekatan ini sebenarnya telah digunakan oleh Mitsubishi ketika zaman kegemilangan Pajero era 90-an dan 2000-an.

Antara model Pajero yang pernah ditawarkan sebelum ini:

  • Pajero Sport (SUV saiz pertengahan, platform ladder-frame)
  • Pajero Junior (SUV saiz kecil, platform unibodi)
  • Pajero iO (SUV saiz kecil, platform unibodi)
  • Pajero Mini (SUV kelas kei, platform unibodi)

13 model baharu Mitsubishi

Menjelang akhir Mac 2032, Mitsubishi bakal melancarkan sehingga 13 buah model baharu.

Selain daripada siri Pajero, Mitsubishi bakal menawarkan pelbagai jenis model off-road termasuklah trak pikap, SUV dan minivan.

Pasaran Jepun bakal menerima beberapa model SUV elektrik, trak pikap serta dua model kei car.

Pasaran ASEAN pula dijangka akan mendapat Xpander baharu.

Mitsubishi Pajero 

Mitsubishi Delica Mini berubah menjadi Pajero versi mini

Kei car kebiasaannya mempunyai rekaan yang lebih comel, sesuai dengan fizikalnya yang kecil.

Namun syarikat pengeluar kit badan terkemuka DAMD mempunyai idea untuk menjadikan penampilan kei car yang lebih agresif, lasak dan bergaya.

Seperti contoh, kit badan “Dali” (yang dipendekkan daripada Dakar Rally) berjaya mengubah rupa sebenar Mitsubishi Delica Mini yang comel menjadi sebuah jentera retro yang diinspirasikan daripada model Pajero era 80-an.

Jika anda perasan, lampu depan serba baharu itu lebih mirip kepada rekaan lampu yang wujud pada model Pajero generasi pertama.

Selain itu, ia turut hadir dengan struktur jeriji bersegi, lengkap dengan emblem asli Mitsubishi yang turut menempatkan pelbagai penderia ADAS disediakan.

Struktur bampar depan asal Delica Mini masih dikekalkan termasuklah perkataan “DELICA” dan liang pengudaraan asal, namun diperkemaskan dengan tambahan hiasan istimewa yang diakhiri dengan kemasan hitam berkilat.

Apa yang penting, segala penambahan tersebut tidak menjejaskan ukuran asal Delica Mini dan masih lagi mematuhi peraturan kei car yang ditetapkan oleh kerajaan Jepun.

DAMD turut menawarkan set decal sisi kustom, rim aloi Cantabile 15 inci yang dibaluti tayar Toyo Tires Open Country R/T, serta tidak ketinggalan rak bumbung.

Aksesori untuk ruang kabin pula masih lagi dalam peringkat fasa pembangunan. Harga pakej lengkap juga akan diumumkan kelak.

Model ini akan dipamerkan secara rasmi di reruai DAMD di Tokyo Auto Salon 2026 berlangsung pada bulan ini.

 

DAMD Dali

Mitsubishi Delica Mini