Arkib Tag: Miri

Pusat 3S BYD Miri rasmi dibuka, kemudahan 3S terbesar di Sarawak

BYD Sime Motors secara rasmi membuka pusat 3S baharu di Miri, Sarawak.

Dengan keluasan 12,228 kaki persegi, ia merupakan kemudahan 3S terbesar BYD di Sarawak yang menyediakan sokongan jualan, servis dan alat ganti di bawah satu bumbung.

Premis ini dikendalikan oleh Kah Progression Auto Sdn Bhd, disokong oleh 15 kakitangan yang mengendalikan operasi jualan dan selepas jualan.

Antara kemudahan yang disediakan termasuklah:

  • ruang pameran dengan kapasiti sehingga 5 kenderaan
  • ruang istirahat pelanggan
  • bilik perbincangan
  • ruang penyerahan kenderaan
  • kemudahan pengecasan EV

Pusat servis pula seluas 6,309 kaki persegi yang menyediakan enam ruang servis dan keupayaan mengendalikan sehingga 35 kenderaan sehari.

Setakat ini, BYD Sime Motors mengendalikan tiga cawangan rasmi di Kuching, Sibu dan juga Miri.

Pembukaan di Miri adalah sebahagian daripada pertumbuhan berterusan BYD Sime Motors di serata Malaysia Timur.

Untuk makluman, pusat 3S BYD yang pertama di Malaysia Timur dibuka di Kota Kinabalu pada Disember 2024.

Bilik pameran Mitsubishi Motors Miri dinaik taraf jadi pusat 4S

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan bilik pameran sedia ada di Miri telah berpindah dan dinaik taraf menjadi pusat 4S serba baharu.

Dengan keluasan 21,669 kaki persegi, pusat 4S ini menghimpunkan semua keperluan jualan dan selepas jualan di bawah satu bumbung.

Fasiliti yang lengkap dengan imej korporat global Mitsubishi Motors ini turut menawarkan kemudahan seperti:

  • ruang pameran kenderaan yang luas
  • ruang rehat pelanggan yang selesa, lengkap dengan hidangan ringan
  • 13 ruang servis
  • enam ruang badan & cat (B&P)

Pusat 4S ini dikendalikan oleh Auto Pacifica, rakan pengedar Mitsubishi Motors sejak tahun 2009 dan mempunyai rangkaian di Miri, Bintulu dan Kota Samarahan.

Takashi Sakamaki, Ketua Pegawai Eksekutif MMM berkata, “pembukaan pusat 4S baharu ini bukan sekadar peluasan rangkaian, tetapi komitmen kami untuk lebih dekat dengan pelanggan dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

“Dengan adanya fasiliti ini, pelanggan boleh menikmati pengalaman pemilikan yang lebih mudah, lancar dan menyeluruh,” ujarnya lagi.

Pusat 4S Auto Pacifica Miri terletak di alamat Lot 4448, K.B.L.D. 17, Jalan Miri Bypass, Autocity Eastwood Town Centre, 9800 Miri, Sarawak.

Ia dibuka untuk pelanggan setiap Isnin-Sabtu jam 8.30 pagi-5.30 petang, dan Ahad dari jam 10.00 pagi-3.00 petang.

Warga emas rentung, kereta terbakar langgar pokok di Miri

KEMALANGAN membabitkan sebuah kereta jenis Honda di Jalan Taman Awam dekat Miri malam tadi menyaksikan seorang lelaki warga emas rentung.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 10.50 malam.

Memetik Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, mangsa dikenali sebagai Tan Kaw Tee berusia 61 tahun.

Jelas kenyataan itu lagi, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, sebuah jentera dengan kekuatan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku setelah kereta dipandu mangsa terbabas dan melanggar sebatang pokok sebelum terbakar.