Arkib Tag: Mini Electric

MINI Electric Resolute Edition yang terpaling go-kart – Pandu uji

TANYA sesiapa sahaja yang memiliki atau pernah memandu kereta MINI, pasti akan berkata pengendaliannya seperti go-kart. Atau go-kart dengan bumbung, cermin, pendingin hawa, lampu, dan nombor plat.

Walaupun MINI sekarang tidak begitu ‘mini’ lagi, jika kita tengok model Countryman atau Clubman pun sudah agak besar, sama saiz dengan BMW X1, Mercedes GLA atau Proton X50 sebagai perbandingan. Kita tak panggil Proton X50 sebagai kereta yang ‘mini’ atau kompak, bukan?

Tetapi talaan suspensi, stereng, dan cara penghantaran kuasa dapat menjadikan MINI yang besar ini masih mempunyai pengendalian lincah.

Untuk hari ini, kita akan lihatkan MINI Electric dan kami ingin katakan, inilah MINI yang terpaling go-kart, terpaling, bak kata budak-budak muda sekarang. Mengapa? Jom.

Elektrik, pantas, lincah

Baik, jadi jika anda buka hud depan, tiada enjin, sebaliknya di bawah penutup plastik itu terdapat motor elektrik yang dikuasakan oleh bateri 28.9kWh. Motor elektrik ini memberikan 181hp dan 270Nm tork, angka yang okey untuk hatchback seberat 1,440kg ini.

Menariknya, pecutan dan pemanduan MINI Electric ini terasa seperti ia lebih berkuasa, mungkin seperti kereta petrol dengan output 250hp dan 350Nm. Boleh dibandingkan seperti MINI atau BMW dengan enjin 2.0-liter 4-silinder turbo.

Memandangkan ini sebuah EV, kuasa dan tork maksima dapat diakses sebaik kereta mula bergerak. Tekan sahaja pedal selepas lampu isyarat bertukar hijau, anda terus dapat kuasa penuh.

Anda ingat lagi kereta Tamiya atau kereta kawalan radio (RC)? Tekan ON sahaja, terus motor berpusing laju, begitulah pecutan MINI Electric ini. Dipadankan dengan respon stereng yang laju dan tepat serta suspensi sporti, inilah MINI yang terpaling go-kart.

Malah, penulis terfikir go-kart hari ini pun sudah banyak beralih dari enjin dua-lejang dan empat-lejang kepada go-kart jenis elektrik untuk litar indoor (dalaman), jadi ini menjadikan kedua-dua jenis jentera (MINI Electric dan go-kart elektrik) lebih serupa.

MINI Electric juga tiada gear, jadi motor terus sahaja memecut dan ‘menarik’ kereta ini ke kelajuan maksima dalam satu pecutan terus-menerus, hingga ke kelajuan maksima 150km/j. Tak cukup laju? Bergantung.

Dalam kebanyakan keadaan, pemanduan dalam bandar, anda mungkin tidak akan memandu melebihi 130km/j pun. Yang penting berapa cepat untuk sampai ke kelajuan tiga angka. 100km/j boleh dicapai dalam 7.3 saat sahaja, lebih pantas dari kebanyakan sedan atau SUV segmen-B.

Talaan suspensi juga cukup seimbang, tidak terlalu keras yang anda jangkakan. Ia berada dalam ‘sweet spot’ antara sporti dan keselesaan. Semasa penulis bawa penumpang di tempat duduk belakang juga, mereka tidak merungut kata tidak selesa, sebaliknya sama seronok dan teruja dengan pemanduan EV ini.

Serius, anda pasti tidak lekang dengan senyuman bila pandu MINI Electric ini. Penulis juga rasakan MINI Electric antara kereta paling menyeronokkan penulis pandu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Anda juga akan dahagakan selekoh. Selepas pecut, anda mahu cari selekoh untuk brek menggunakan regenerative braking, masuk selekoh dengan tepat dan lancar, ‘pegang’ di situ, kemudian berdesup tekan semula pedal kanan sebaik jalan mulai melurus. Dan ulang lagi di selekoh seterusnya.

150km je, cukup?

Tetapi masalah terbesar MINI Electric ini ialah jarak pemanduannya. Jika dilihat pada risalah rasmi, ia mempunyai jarak 232km setiap cas penuh, menurut kitaran WLTP. Ya betul, 232km sahaja.

Dalam dunia sebenar, ia jauh lebih rendah dari ini. Semasa kami ambil kereta ini dengan bateri melebihi 95 peratus, jarak pemanduannya hanya sekitar 160km. Masa untuk panik?

Jangan panik dulu. Sebenarnya ia tidak seteruk yang disangkakan. Jika anda tidak tekan pedal ‘minyak’ lebih dari separuh sepanjang masa – yang sebenarnya cara pemanduan harian – anda boleh dapat lebih dari 160km.

Tetapi jika anda ‘nakal’ dan nak berseronok, sebenarnya motor elektrik MINI ini masih agak cekap. Jaraknya tidak turun terlalu mendadak, melainkan anda pandu di lebuhraya pada kelajuan melebihi 130km/j secara berterusan.

Meluncur pada 110-120km/j, jaraknya berkurang dengan kadar yang sama dengan pergerakan anda.

MINI Electric ini juga sentiasa menggunakan regenerative braking, dengan dua tetapan; kuat atau sederhana. Jadi ini juga membantu mengembalikan sedikit tenaga kinetik kembali ke bateri semasa anda memperlahankan kereta.

Dalam pemanduan bandar pasti berpuluh kali anda membrek dan memperlahankan kereta sama ada untuk melalui bonggol, masuk simpang, atau berhenti di lampu isyarat. Bila tenaga disalurkan dan dikumpul ke bateri, anda boleh guna semula semasa memecut nanti.

Inilah situasi paling ideal untuk MINI Electric; ke sana ke sini dalam bandar melakukan tugas harian. Sudah tentu paling bagus adalah bila anda mempunyai pengecas di rumah, balik petang terus cas beberapa jam hingga malam. Esoknya bateri penuh, dengan jarak 150-160km.

Kebanyakan kita tidak pandu melebihi 100km sehari, bukan?

Tak boleh dipandu jauh? Jujur kata, anda tak mahu cuba pandu ke luar negeri dengan MINI Electric ini. Ianya praktikal dan sempurna untuk pemanduan dalam bandar, tetapi lebih seronok dari kereta lain.

Boleh sahaja MINI sumbat bateri lebih besar pada kereta ini untuk berikan lebih jarak, tetapi ada faktor berat. Bila terlalu berat, kereta tidak akan seronok dipandu, defeat the purpose, bak kata orang putih.

Gaya mesti ada!

Sebagai sebuah MINI, gaya mesti ada! Ia masih mendapat bentuk ikonik hatchback British, bumbung putih untuk warna dwi-tona, lampu belakang LED dengan nyalaan grafik Union Jack, dan beberapa kemasan untuk menunjukkan ianya bukan MINI biasa.

Anda lihat rim empat-bilah, bentuk unik seperti soket elektrik pada penutup ‘tangki minyak’, dan warna kuning-hijau fluorescent pada tulisan-tulisan dan lencana sekeliling kereta, anda akan tahu ini sebuah MINI EV.

Dan dengan Resolute Edition, ia memberikan kemasan lebih unik pada kereta ini, seperti warna khas Resolute Bronze pada gril, lampu belakang, dan hendal pintu. Kemudian bingkai gril, logo dan lencana model pula berwarna hitam.

Paling penulis suka ialah tempat duduk dengan balutan fabrik/kulit Black Pearl Light Chequered, seperti tikar atau kain pelikat. Cukup cantik, trendy, dan sesuai dengan imej serta jiwa MINI ini. Kalau anda berusia 45 tahun, automatik terasa 10 tahun lebih muda dengan MINI Electric Resolute Edition ini.

Ciri lain adalah standard seperti kluster instrumen digital, sambungan Apple Carplay, pengecas tanpa-wayar, sistem audio Harman Kardon, dan paparan Head Up Display, kesemuanya anda dapat pada MINI lain yang terkini.

Secara keseluruhan, MINI Electric Resolute Edition ini sesuai untuk anda yang mencari kereta kedua atau ketiga dalam rumah.

Anda mahu sebuah EV untuk kegunaan harian, ada pengecas di rumah, dan mahukan sesuatu yang menyeronokkan untuk dipandu mengharungi trafik sesak atau selekoh lebuh raya DASH, ini kereta yang boleh dilihat. Paling penting, ia boleh menjadi sebahagian dari outfit anda sekiranya anda jenis yang mementingkan gaya.

Spesifikasi MINI Electric Resolute Edition

Harga: RM211,164
Bateri: 28.9kWh
Kuasa: 181hp
Tork: 250Nm

Gaya hidup baharu dengan Mini Electric 2021

ADAKAH anda peminat kenderaan jenis kompak?

Adakah anda juga seorang pencinta alam sekitar?

Jika “ya”, anda perlu mempertimbangkan untuk memiliki model Mini Electric 2021 yang baru dipasarkan di pasaran negara ini.

Mini Electric  baharu  memiliki rekaan lebih ‘segar’ namun, masih mengekalkan identiti kenderaan keluaran Mini.

Berdasarkan rekaan luaran, Mini Electric didatangkan dengan bampar hadapan baharu selain memiliki ciri aerodinamik.

Pada masa sama, terdapat palang keselamatan  terletak  di  bampar  hadapan  dengan  rona  sama  seperti  ‘tubuh’  kenderaan ini.

Ruangan belakang yang sesuai untuk si bujang atau 'weekend car'.

Apa lagi rekaan menarik?

Mini Electric baharu menampilkan ketutup sisi moden merangkumi indikator diod pemancar cahaya (LED) serta sisipan khas ‘Electric’.

Pintu but belakang yang sebelum ini berwarna Vigorous Grey juga digantikan dengan warna hitam.

Bagaimanapun, Mini Elektrik baharu masih didatangkan dengan set roda 17 inci dalam dwi-tona Mini Electric Power Spoke serta tayar ‘run flat’.

Selain itu, Mini Electric dikuasakan oleh versi motor elektrik segerak berkuasa tinggi dibangunkan oleh BMW Group.

Enjin elektrik gandar hadapan mampu menjana 135 kw/184 kk, termasuk unit bateri 12 modul berbentuk T dengan kapasiti bersih berjumlah 28.9 kWj.

Setakat ini, Mini Elektrik dikatakan mampu mencapai kelajuan tertinggi mencecah 150 km/j dan mempunyai jarak operasi sejauh 232 km (WLTP).

Hanya kurang 30 minit untuk pengecasan sehingga mencapai 80 peratus kuasa bateri.

Sistem pengecasan Mini Electric 2021

Tidak dinafikan ramai menitikberatkan mengenai sistem pengecasan sesebuah kenderaan elektrik.

Jangan risau kerana Mini Electric mempunyai sistem pengecasan yang super mantap!

Percaya atau tidak, Mini Electric  baharu  hanya memerlukan sekitar 36 minit pengecasan bateri dari kapasiti sifar sehingga 80 peratus!

Sementara itu, Mini Wallbox Plus pula menawarkan pengecasan 80 peratus dalam tempoh dua jam setengah iaitu sama seperti di stesen pengecasan  AC  awam!

Papan pemuka yang sangat 'merecik!'.

Ciri-cri menarik Mini Electric baharu

Terdapat beberapa ciri baharu lain bagi model Mini Electric baharu.

Antara ciri-ciri tersebut termasuk:

  • Lohong udara dalam dan luar yang diintegrasikan dengan fasia kokpit
  • pencahayaan ambien baharu dalam bentuk lembaran lampu yang menyoroti geometri ruang interior
  • Mini Controller dalam kemasan berwarna hitam
  • Rekaan panel  hitam  dicerminkan  pada  Mini Navigation System 8.8 inci
  • Papar Pandu Mini (Mini Head Up Display)
  • Sistem Bunyi 360 watt dengan 12 pembesar suara oleh Harman Kardon
  • Green Driving Assistant (GDA)
  • Bantuan Memandu (Driving Assistant)
  • Bantuan Parkir (Park Assistant)
  • Kawalan Jarak Parkir (Park Distance Control) hadapan dan belakang
  • Kawalan Luncur (Cruise Control) dengan fungsi pembrekan
  • Amaran Pengeluaran Laluan (Lane Departure Warning)

Ketika ini, Mini Electric baharu hadir dengan waranti tanpa had perbatuan selama empat tahun.

Ia juga mempunyai waranti  bateri selama lapan tahun atau jarak 100,000 kilometer dengan servis berjadual secara percuma.

Harga jualan Mini Electric baharu dengan Pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (atas  jalan, tanpa insurans) adalah RM 217,470.73.