Arkib Tag: miata

Mazda MX-5 FSW Ver.2 (2027) kembalikan warna Sunflower Yellow, cuma enam unit ditawarkan

Kali terakhir Mazda menggunakan warna luaran Sunflower Yellow pada MX-5 adalah pada generasi NC, tetapi model itu sudah meninggalkan pasaran lebih sedekad lalu.

Kini, warna kuning ikonik tersebut kembali pada MX-5 generasi ND menerusi MX-5 FSW Ver.2, namun hanya enam unit akan dihasilkan.

Dan untuk mendapatkannya, pembeli perlu menyertai cabutan bertuah secara fizikal di Fuji Speedway.

Bukan sekadar cat semula di pusat pengedar

MX-5 FSW Ver.2 bukanlah model yang dibangunkan sepenuhnya oleh Mazda Motor Corporation. Ia merupakan projek bersama empat pengedar jenama itu di Jepun, iaitu Koshin Mazda, Shizuoka Mazda, Tokai Mazda Sales dan Kanto Mazda.

Asasnya ialah versi S Special Package dengan kemasan dalaman Jet Black Mica, sebelum diberikan warna Sunflower Yellow yang sebelum ini hanya ditawarkan pada MX-5 generasi NC.

Warna yang sama pernah ditawarkan untuk MX-5 pasaran Amerika Syarikat bagi model keluaratan tahun 2009 dan 2010 namun di sana, ia dikenali sebagai Competition Yellow.

Menariknya, kerja mengecat semula dan proses pengesahan kereta ini dilakukan di Mazda Engineering & Technology (E&T) di Hiroshima, iaitu fasiliti yang sama di mana kereta-kereta konsep dihasilkan.

Setiap satu daripada enam unit FSW Ver.2 didatangkan dengan sijil daripada E&T bagi mengesahkan asal-usul dan proses pembinaannya.

Bukan sekadar beli warna eksklusif

Pakej Sunflower Yellow ini menelan kos tambahan sebanyak 1,452,000 yen atau sekitar RM37,600 berbanding harga sebuah MX-5 biasa.

Namun, pembeli bukan sekadar membayar untuk cat tersebut. Setiap pembeli bakal menikmati pengalaman istimewa lawatan dua hari satu malam ke Hiroshima, termasuk kunjungan ke ibu pejabat Mazda, Mazda Museum serta fasiliti E&T berkenaan.

Nak beli? Kena menang cabutan bertuah di Fuji Speedway

Permohonan untuk mendapatkan MX-5 FSW Ver.2 akan dibuka ketika Mazda Fan Festa 2026 di Fuji Speedway pada 3 dan 4 Oktober ini, dengan tiga unit diperuntukkan bagi setiap hari. Pemohon perlu hadir sendiri ke acara tersebut bagi mengemukakan permohonan.

Pemenang akan diumumkan dari pentas utama sebelum acara berakhir, dan hak pembelian hanya diberikan kepada nama yang didaftarkan.

Model ini juga terhad kepada pasaran Jepun, dengan jualan serta khidmat selepas jualan dikendalikan oleh salah satu daripada empat pengedar yang terlibat.

Mazda MX-5 dikemas kini di Jepun, patuh peraturan bunyi lebih ketat

Walaupun Mazda telah mengesahkan pengganti MX-5 sedang dibangunkan, model generasi keempat (ND) masih menerima kemas kini bagi memastikan ia terus boleh dijual di Jepun.

Untuk yang terbaru ini, perubahan bukan tertumpu kepada prestasi atau teknologi, sebaliknya bagi mematuhi peraturan bunyi kenderaan baharu yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai Julai 2026.

Ubah suai khusus untuk patuh peraturan bunyi

Bagi memenuhi had bunyi luaran yang lebih ketat, MX-5 kini dilengkapkan dengan tayar yang lebih senyap, silencer ekzos yang lebih besar serta sistem kemasukan udara (intake) yang dikemas kini.

Untuk varian Retractable Fastback (RF), penggunaan silencer yang lebih besar menyebabkan ruang pemasangan menjadi lebih terhad, sekali gus mengurangkan sedikit kapasiti but yang sememangnya kecil.

Peraturan baharu di Jepun menetapkan had bunyi antara 68 hingga 72 dB bergantung kepada nisbah kuasa dan berat kenderaan. Tanpa kemas kini ini, Mazda tidak lagi dibenarkan menjual MX-5 di pasaran Jepun selepas peraturan baharu itu dikuatkuasakan.

Edisi Pure Sport untuk versi 1.5 liter

Dalam pada itu, Mazda turut memperkenalkan edisi khas Pure Sport (PS) untuk MX-5 1.5 liter.

Ia dipadankan dengan bumbung fabrik kelabu, warna badan Zinc Green Metallic, rim Rays hitam bersaiz 16 inci, brek Brembo dengan angkup berwarna perak serta penyerap hentak Bilstein sebagai kelengkapan standard.

Perubahan kecil di ruang kabin

Di bahagian dalam, perubahan agak minimum. Pure Sport menerima tempat duduk fabrik ala suede, bersama kemasan hitam berkilat pada cincin butang penghidup enjin, tombol kawalan pendingin hawa dan corong penyaman udara.

Ini bukan Aston Martin klasik, tetapi Mazda MX-5 NC tahun 2007

Sekilas pandang, kereta roadster ini nampak seperti ia keluar daripada kilang pengeluaran Aston Martin di Gaydon, United Kingdom. Walau bagaimanapun, tersembunyi di sebalik rekaan bergaya ini adalah sebuah Mazda MX-5/Miata Sport generasi ketiga (NC) keluaran tahun 2007.

Inspirasi daripada DB5

Seperti yang boleh dilihat, MX-5 ini direka semula sepenuhnya, dengan pengaruh yang kuat daripada Aston Martin DB5. Bahagian hadapannya menampilkan sepasang lampu bulat, skup pada bahagian bonet, serta gril signatur jenama British itu.

Di belakang pula, terdapat empat lampu berbentuk bulat serta sepasang muncung ekzos yang keluar daripada bahagian tengah bampar. Penampilan klasik MX-5 ini dilengkapkan dengan rim 16 inci dengan kemasan krom yang kelihatan tidak ubah seperti rim Borrani yang digunakan pada DB5.

Tidak cukup dengan itu, logo Mazda digantikan dengan logo Aston Martin, manakala nombor plat pula tertera ‘DB 007’, satu penghormatan kepada James Bond yang menggunakan DB5 dalam filem Goldfinger.

Ruang dalaman juga klasik

Ruang dalaman turut diberi wajah baharu, dengan kemasan kayu pada papan pemuka dan konsol tengah, serta stereng kayu klasik Nardi, lengkap dengan logo Aston Martin.

Namun begitu, di bawah bonet, enjin asal 2.0-liter empat silinder dikekalkan. Enjin tersebut menghasilkan 166 hp dan 190 Nm, disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik enam kelajuan. Setakat ini, odometer menunjukkan bacaan sekitar 26,000 batu (kira-kira 41,842 km).

Sambutan agak popular

Direka oleh Simpson Design dari Washington, MX-5 unik ini boleh menjadi milik anda memandangkan ia kini dibuka untuk bidaan menerusi laman web Bring a Trailer.

Semakan pada laman web berkenaan menunjukkan kereta ini mendapat sambutan yang agak memberangsangkan daripada peminat, dengan bidaan terkini USD20,500 (RM81,270).

Mazda Vision Study Concept – Adakah kamu MX-5 generasi baharu?

MAZDA mengemaskini agenda mereka dengan membentangkan perancangan ke arah elektrifikasi untuk beberapa tahun akan datang. Ini mirip dengan hala tuju pengeluar-pengeluar lain, tetapi ada sesuatu yang menarik perhatian di sini.

Walaupun tidak disebut dalam siaran media, terdapat satu video menunjukkan sebuah coupe sports misteri. Apakah ia? Sebuah “Vision Study Model” buat masa ini.

Dalam video berdurasi 36 minit di saluran Youtube rasmi Mazda Japan, Presiden dan CEO iaitu Akira Marumoto berkata mengenai langkah-langkah jenama itu untuk karbon sifar menjelang 2050.

Lima minit terakhir menampilkan “visi Mazda untuk masa depan”, dan benda pertama anda akan lihat ialah MX-5 ND. Model-model MX-5 generasi sebelumnya juga membuat penampilan sebelum sebuah coupe berwarna putih muncul.

Ia mungkin gambaran awal MX-5 generasi kelima, atau mungkin kami salah. Tapi bagaimana jika ia memang MX-5 generasi baharu?

Model coupe itu menampilkan bumbung keras dan bukan bumbung convertible lembut seperti biasa. Tetapi model MX-5 hardtop bukanlah benda baharu, generasi NB sebelum ini pernah dihasilkan dalam versi sebegini di Jepun, hanya 179 unit pernah dibina.

Kemudian konsep coupe dalam video itu juga memaparkan pintu butterfly, tetapi sudah tentu versi produksi tidak akan menggunakan pintu sebegini.

Selain itu, ia memang mempunyai bentuk sebuah kenderaan pacuan roda-belakang melihatkan kepada bonet depan yang panjang dan di belakang yang pendek.

Pengeluar Jepun ini pernah ‘berjanji’ untuk memastikan formula RWD dan ICE (enjin pembakaran dalaman) dikekalkan untuk Miata generasi akan datang. Walaubagaimanapun, sedikit elektrifikasi mungkin dimasukkan untuk menepati piawaian emisi yang semakin ketat.

Ia juga sesuai sebagai ‘persediaan’ sebelum MX-5 menjadi model EV sepenuhnya jika perlu.