Arkib Tag: merdeka

Lebih 600 pemilik Isuzu D-Max berkumpul rai semangat Merdeka di 29 lokasi berbeza

KIRA-KIRA 600 pemilik Isuzu D-Max dan kenderaan mereka di seluruh negara telah berhimpun bagi menyambut Hari Merdeka menerusi acara Konvoi Merdeka 66.

Menariknya, program anjuran Isuzu Malaysia ini menyaksikan himpunan pemilik di 29 lokasi berbeza secara serentak pada jam 9:15 pagi, 31 Ogos lepas.

Konvoi Merdeka 66 menjadi perhimpunan terbesar di negara ini yang berlangsung pada masa yang sama melibatkan Isuzu D-Max, bagi meraikan sambutan Hari Merdeka ke-66 Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo yang merasmikan acara ini di cawangan Isuzu Jinjang di Kuala Lumpur berkata, acara Konvoi Merdeka 66 telah memberi peluang kepada pengedar untuk berinteraksi dengan pemilik D-Max dan meraikan kesepakatan serta keharmonian yang telah dikecapi atas semangat perpaduan di negara ini.

“Dengan matlamat kami untuk menjadikan sambutan Hari Merdeka kali ini lebih bermakna bersama pengedar dan pemilik D-Max, kami juga ingin meraikan semangat perpaduan dan sehati sejiwa yang unik, yang sudah terjalin antara rakyat Malaysia melalui sebuah acara yang melangkau sempadan seperti ini,” ujar Sogo.

Peserta acara Konvoi Merdeka 66 menikmati aktiviti bersama dengan pemilik Isuzu D-Max yang lain di seluruh negara dan dihidangkan dengan beberapa program istimewa yang telah dianjurkan oleh pengedar masing-masing.

Kenderaan peserta juga dihiasi dengan pelekat peringatan dan bendera, serta setiap peserta turut diberikan kemeja-T eksklusif.

Bagi kami, himpunan sebesar ini sangat baik malah bijak dilakukan di lokasi berbeza. Pertama, ia mengurangkan kesesakan trafik disebabkan konvoi. Keduanya, lebih ramai orang awam di lokasi berbeza dapat melihat dengan lebih dekat. Syabas geng-geng Isuzu D-Max semua!

Antara aktiviti berasingan yang dianjurkan oleh pengedar yang terlibat ialah lawatan ke ladang durian, kursus off-road ringkas, sepetang di pantai, destinasi resort terpencil dan kunjungan ke pusat beli-belah.

Maklum balas daripada pemilik sangat positif dengan ramai daripada mereka menyatakan keinginan untuk menyertai aktiviti berkumpulan bersama pemilik D-Max lain lagi pada masa akan datang untuk menjalin hubungan mesra dan membina rangkaian persahabatan.

Ducati tawar rebat tunai sehingga RM8,000 sempena Merdeka

SEMPENA sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia tidak lama lagi, Ducati Malaysia kini mengadakan promosi ‘Massive Deals for Merdeka’ di mana pelanggan boleh menikmati pelbagai tawaran menarik untuk motosikal dan barangan rasmi jenama itu.

Bagi mereka yang ingin membeli motosikal Ducati yang baharu, inilah masanya kerana Ducati Malaysia menawarkan rebat tunai sehingga RM8,000 untuk model terpilih. Tawaran ini sah hingga 30 September 2023.

Bukan itu sahaja, pelanggan dan peminat Ducati juga boleh menunggang uji motosikal Ducati untuk merasai sendiri kehebatan jentera Itali itu sepanjang tempoh kempen ini diadakan.

Di samping rebat tunai, Ducati Malaysia turut menawarkan promosi diskaun sehingga 35 peratus ke atas pakaian dan barangan rasmi Ducati, servis Desmo, aksesori dan alat ganti.

Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ‘Massive Deals for Merdeka’ dan rangkaian model Ducati, layari laman web rasmi Ducati Malaysia atau kunjungi bilik pameran bertauliah Ducati di Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Sungai Buloh dan Pulau Pinang.

Merdeka ke-64: BMW Malaysia catat 64 unit tempahan SUV elektrik iX

BMW Group Malaysia telah menerima 64 pratempahan bagi BMW iX, bertepatan dengan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-64.

Pratempahan bagi kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) ini telah dibuka di platform BMW Shop Online melalui https://shop.bmw.com.my/ dengan bayaran RM 5,000, hanya lima hari yang lalu.

“Kami berbesar hati untuk melihat warga Malaysia menunjukkan keyakinan mereka untuk memilih mobiliti lestari sebagai gaya hidup mereka, ia turut memperlihatkan kepercayaan kami bahawa masa hadapan kita akan berlandaskan elektrik,” ujar Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

“Sejak sekian yang lama, kami telah memberi komitmen untuk membentuk mobiliti masa hadapan negara, dan kami akan terus memupuk peralihan ke arah mobiliti elektro dengan menggiatkan penyediaan infrastruktur pengecasan di Malaysia serta meluaskan lagi jaringan pengedar BMW i dengan segera di bandar-bandar utama Malaysia,” tambahnya.

BMW iX ditawarkan dalam dua varian di Malaysia, iaitu xDrive40 (RM419,630) dan xDrive40 Sport (RM472,630).

xDrive40 menggunakan konfigurasi elektrik dwi-motor, satu di depan dan satu di belakang. Ini menjadikan kereta ini sebuah pacuan semua-roda.

Sistem ini menjana 240kW (322hp) dan 630Nm tork, membolehkan iX memecut ke 100km/j dalam 6.1 saat sahaja. Kelajuan maksima ialah 200km/j.

Kuasa motor elektrik dibekalkan oleh bateri lithium-ion 76.6kWh, cukup untuk jarak pemanduan 425km. Untuk pengecasan pula, anda boleh guna pengecas AC 11kW yang akan mengambil masa tujuh jam 15 minit.

Pengecas laju DC pula menggunakan penyambung CCS2 pada kadar 150kW, membolehkan bateri pada tahap 10% mencapai 80% dalam hanya 31 minit.

Kelengkapan mewah dan canggih

BMW iX dilengkapi dengan lampu depan LED dengan bantuan High Beam, rim aerodinamik 21-inci, fungsi Comfort Access, dan kemasan tingkap berwarna hitam berkilat.

Bahagian kabin pula mendapat paparan instrumen dengan skrin melengkung 12.3-inci Live Cockpit Professional dan skrin sesentuh 14.9-inci di tengah.

Kemasan kulit pada iX adalah dari sintetik Sensatec dengan pilihan warna Mocha atau Black. Ciri lain adalah tempat duduk dengan fungsi memori, pengecas wireless, dan sistem audio HiFi.

Sementara itu, varian lebih tinggi xDrive Sport didatangkan dengan rim 22-inci, lampu BMW Laserlight, kemasan brek Sport Line, lampu lebih gelap, dan grafik krom pada gril.

Kemasan dalam juga lebih premium dengan bumbung panorama kaca Sky Lounge, sistem audio Harman Kardon 18 pembesar suara, dan kemasan kayu pada konsol tengah.

Ciri keselamatan pada BMW iX termasuklah pakej Driving Assist, dan Parking Assistant. Varian Sport ditambah dengan Parking Assistant Plus dan Driving Assistant Professional.

BMW iX xDrive40 serta BMW iX xDrive40 Sport sedia ditempah melalui platform BMW Shop Online di https://shop.bmw.com.my/ dengan bayaran RM 5,000.

Para pemilik juga dapat memanfaatkan waranti bateri yang terhad hingga lapan tahun atau 160,000 km, mana-mana yang dipenuhi dahulu.

Buat masa ini, 100 pelanggan terawal yang menempah BMW iX xDrive40 dan BMW iX xDrive40 Sport yang sulung dapat menikmati tawaran eksklusif yang meliputi pemasangan alat pengecasan secara percuma serta akses pengecasan awam bertempoh 1 tahun secara percuma.

Tawaran ini terhad sehingga 22 September 2021, tertakluk kepada terma dan syarat.

Wajib tahu lima perkara sebelum kibar Jalur Gemilang pada kenderaan

PEMASANGAN bendera Jalur Gemilang pada kenderaan adalah salah satu cara bagi menonjolkan semangat cintakan negara.

Bagaimanapun, terdapat beberapa ‘pantang larang’ yang perlu dipatuhi jika ingin mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan.

Apakah ‘pantang larang’ yang dimaksudkan ini?

Kedudukan Jalur Gemilang

Perkara paling utama jika anda ingin mengibarkan Jalur Gemilang pada kenderaan adalah dengan memastikan ia dipasang dengan keadaan betul.

Pastikan kendudukan Jalur Gemilang tidak berada dalam keadaan songsang atau terbalik.

Jangan kerana niat untuk buktikan rasa cinta pada negara akhirnya berubah menjadi penghinaan kepada bendera kebangsaan pula.

Pastikan selamat

Pemilik kenderaan boleh bersikap kreatif dalam mengibarkan bendera pada kenderaaan.

Bagaimanapun, aspek keselamatan jangan dilupakan.

Ini kerana terdapat beberapa kes terjadi kerana bendera yang dipasang telah menghalang pemanduan sehingga mengundang kemalangan.

Maka, cara terbaik adalah pastikan bendera dipasang dengan rapi agar ia tidak berterbangan sehingga berlaku kecelakaan jalan raya.

Periksa sebelum pasang

Semak dan pastikan bendera Jalu Gemilang yang dipasang tidak mempunyai kecacatan tertentu.

Terdapat kes di mana bendera dipasang kurang lengkap sifatnya seperti tidak mempunyai jumlah jalur atau bucu bintang mencukupi.

Justeru, pastikan anda periksa rapi Jalur Gemilang yang dibeli sebelum mengibarkannya pada kenderaan.

Foto fail ihsan Japen

Tukar jika rosak

Tukar Jalur Gemilang yang sudah rosak atau usang.

Selain ‘menyakitkan’ mata memandang, bendera yang sudah usang lebih mudah berterbangan sekaligus mengundang risiko tinggi kemalangan.

Lekatkan bendera dengan kuat

Pastikan anda gunakan gam yang kuat ketika melekatkan bendera Jalur Gemilang pada kenderaan.

Hal ini kerana penulis sering menemui bendera Jalur Gemilang bersepah di jalan raya akibat melayang dari kenderaan.

Ia bukan sahaja menyumbang kepada masalah pencemaran alam malah, satu penghinaan jika Jalur Gemilang dipijak individu atau digilis kenderaan lain.

Demikian lima ‘pantang larang’ pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan. Jika anda punya tips atau idea lain boleh kongsikan bersama kami.

Akhir kata, selamat menyambut hari kemerdekaan dan terus sayangi Malaysia yang tercinta!

Merdeka!!!

Ambang merdeka: Polis beri amaran jangan sertai konvoi, kekal patuh SOP

AKTIVITI berkonvoi masih tidak dibenarkan ketika ini.

Demikian amaran polis yang meminta semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan sebagai usaha membendung penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, larangan termasuk sesi perjumpaan di lokasi tumpuan ramai.

Jelas Azisman, pihaknya juga melakukan persiapan bagi memantau sebarang aktiviti konvoi menjelang sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos nanti.

“Bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini, pihak JSPT sudah bersedia dengan perancangan mengatur penugasan Op Khas Ambang Merdeka 2021.

“Penguatkuasaan menyeluruh melibatkan kontinjen dan daerah serta Sektor Kenderaan Peronda Lebuhraya (EMPV) Bukit Aman bermula 28 Ogos hingga 1 September,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial sekumpulan lelaki disaman polis kerana melakukan aktiviti konvoi bermotosikal di Shah Alam, Selangor.

Salah seorang individu disaman memuatnaik status di media sosial berhubung perkara itu sambil mengaku tidak mengetahui bahawa aktiviti konvoi masih tidak dibenarkan.

Terdahulu, Azisman memaklumkan polis telah mengadakan operasi secara bersepadu bersama lain-lain agensi penguatkuasaan.

Katanya, operasi secara besar-besaran dibuat bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan jalan raya dan berharap peraturan dikuatkuasakan terus dihormati.

“Memandangkan pandemik Covid-19 masih belum reda…tiada sebarang sambutan atau perarakan secara besar-besaran akan diadakan di peringkat kebangsaan dan negeri.”