Arkib Tag: Mercedes-Benz C-Class elektrik

Mercedes-Benz C-Class elektrik kini di Malaysia, harga anggaran dari RM360,888

Mercedes-Benz Malaysia hari ini mempertontonkan sedan C-Class elektrik yang bakal dilancarkan untuk pasaran Malaysia.

Varian tunggal C 300 4MATIC AMG Line ini ditawarkan pada harga anggaran RM360,888.

Pelan Agility+ pula menawarkan ansuran bulanan sekitar RM3,988.

Spesifikasi

C 300 ini dipacu oleh dua motor elektrik, dengan kuasa 421 hp dan daya kilas 800 Nm yang dipadankan dengan sistem pacuan semua roda 4MATIC dan transmisi dua-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 210 km/j.

Pek bateri 85 kWh menawarkan jarak pandu WLTP sejauh 690 km.

Dengan pengecasan AC 22 kW, bateri boleh dicas 0-100% dalam masa 4.5 jam.

Manakala dengan teknologi 800V, ia boleh menyokong pengecasan pantas DC 320 kW, membenarkan bateri dicas 10-80% dalam masa 22 minit, atau tambah 290 km dalam masa 10 minit pengecasan.

Kelengkapan

Secara standard, C 300 ini dilengkapi dengan tetapan suspensi selesa, pakej AMG line Plus, rim 20 inci AMG, serta DIGITAL LIGHT.

Menyerlahkan rupa paras sedan ini ialah jeriji ikonik dengan panel bercahaya, logo bintang Mercedes bercahaya, serta lampu belakang dengan grafik logo Mercedes.

Untuk ruang kabin, terdapat ciri seperti:

  • MBUX Hyperscreen 39.1 inci
  • sistem bunyi keliling 3D Burmester
  • sistem multimedia dan navigasi MBUX
  • sokongan Apple CarPlay & Android Auto
  • slot pengecas peranti pintar tanpa wayar
  • bumbung panorama SKY CONTROL
  • kawalan iklim automatik
  • sistem pencahayaan ambien
  • alas lantai AMG

Sedan ini turut dilengkapi dengan tempat duduk AMG Line Sports, balutan
upholsteri tempat duduk kulit hitam dengan jahitan kontras merah, serta tali pinggang keledar merah.

Dari segi keselamatan, C 300 ini hadir dengan kelengkapan:

  • MB.DRIVE ASSIST
  • MB.DRIVE Parking Assist 360
  • sistem bunyi akustik
  • kamera perakam pemanduan
  • sistem pemantauan tekanan tayar
  • 11 beg udara

Dengan jarak antara roda 2,962 mm, C-Class elektrik menawarkan ruang kabin yang lebih luas berbanding C-Class konvensional.

Ruang kargo adalah sebesar 470 liter, sementara ruang frunk pula sebesar 101 liter.