Arkib Tag: menteri kewangan

Tengku Zafrul: Golongan T20 nikmati RM8 bilion subsidi bahan api

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan bahawa golongan T20 menikmati kira-kira RM8 bilion subsidi bahan api, RM2 bilion lebih tinggi berbanding jumlah yang dimanfaatkan oleh golongan B40.

Tengku Zafrul, yang sebelum ini pernah berkata bahawa subsidi menyeluruh lebih menguntungkan golongan kaya berbanding golongan miskin, berkata kerajaan akan melaksanakan mekanisme subsidi bahan api yang lebih bersasar.

Dalam jawapan bertulis parlimen, beliau berkata mekanisme tersebut itu sedang diuji.

“Ujian (awal) akan disusuli dengan ujian yang lebih meluas,” katanya sambil menambah kerajaan mahu memastikan kebolehlaksanaan mekanisme itu di kawasan bandar dan luar bandar.

“Ia (ujian) dijangka mengambil masa antara tiga dan enam bulan sebelum sistem baharu itu dilaksanakan di seluruh negara,” katanya menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai apa yang kerajaan lakukan untuk memastikan subsidi disasarkan dengan lebih baik.

Tambah Tengku Zafrul lagi, mekanisme subsidi bahan api bersasar akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan ia tidak menyebabkan inflasi atau menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Tahun ini, subsidi bahan api dijangka mencecah RM30 bilion.

Pembinaan stesen ECRL Puncak Alam diluluskan – Menteri Kewangan

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini mengumumkan kelulusan bagi pembinaaan stesen jajaran utara Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam.

Gambar oleh: Malay Mail

“Tempoh hari saya ada berjumpa dengan gabungan pengerusi-pengerusi penduduk di Puncak Alam. Mereka ada menyuarakan hasrat warga Puncak Alam untuk membina stesen ECRL di Puncak Alam.

“Oleh yang demikian, saya telah mohon pihak berkaitan untuk memberi pertimbangan rapi terhadap permintaan stesen ECRL ini, dan Alhamdulillah ianya telah diluluskan dan insya-Allah akan ada stesen ECRL di Puncak Alam ini,” katanya.

Zafrul berkata, bagi pembinaan stesen ECRL yang lain, pengumuman akan dibuat pada waktu yang sesuai.

Pada masa yang sama, beliau juga mengumumkan hasratnya menjadikan Kuala Selangor sebagai Daerah Angkat Kementerian Kewangan, bagi merealisasikan kemajuan daerah itu semaksimum mungkin ke hadapan.

Gambar oleh: Malay Mail

“Saya secara peribadi sememangnya sedikit sentimental dengan daerah Kuala Selangor ini. Memang banyak potensi tempatan yang boleh dikembangkan dan diketengahkan,” katanya.

Bercakap kepada media, beliau berkata, bagaimanapun semua kementerian serta agensi kerajaan akan terus memberi bantuan kepada semua sektor dan kawasan ekonomi di negara ini termasuklah di Kuala Selangor.

Mengenai program lawatannya yang dikatakan selalu dibuat di Kuala Selangor, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa beliau melakukan lawatan di pelbagai kawasan seluruh negara dan tidak hanya tertumpu di daerah itu sahaja.