Arkib Tag: mattel

Hot Wheels lancar siri Netflix Let’s Race, bawa pengalaman unik di IOI City Mall

HOT Wheels telah melancarkan Hot Wheels Let’s Race, sebuah siri animasi kanak-kanak terbitan Mattel Television Studios secara global.

Diinspirasikan oleh Hot Wheels, jenama permainan nombor satu di dunia, siri animasi Hot Wheels Let’s Race ini merupakan sebuah siri komedi penuh aksi untuk kanak-kanak yang menggabungkan kenderaan-kenderaan luar biasa, watak-watak yang penuh aksi, perlumbaan, cabaran, dan banyak lagi.

Serentak dengan pelancaran ini, Hot Wheels membawakan unsur-unsur dari siri tersebut di IOI City Mall.

Siri Let’s Race ini memaparkan tentang sekumpulan pelumba generasi baru: Coop, Spark, Mac, Brights, Axle, dan Sidecar menyertai sebuah kem perlumbaan yang sentiasa menguji kemahiran pemanduan mereka,” ujar Encik Murat Ariksoy, Pengurus Besar Mattel Asia Selatan.

“Hot Wheels Let’s Race merupakan satu perkembangan yang memberangsangkan bagi kami di Mattel. Kami berharap semua peminat ternanti-nanti akan kemunculan babak-babak yang penuh aksi dan perlumbaan yang mencemaskan menjadi kenyataan,” tambahnya.

Mattel telah mendedahkan rangkaian produk Hot Wheels yang menampilkan kenderaan, latar set, dan jalan cerita siri animasi tersebut.

Anda boleh membawa pulang aksi siri Let’s Race ke rumah dengan membeli set Hot Wheels seperti Ultimate T-Rex Transporter, Ultimate Garage, City Downtown Ice-Cream Shop, City Nemesis Bat vs. Tire Shop, City Pizza Slam Cobra Attack, Action Hyper Loop Extreme dan pelbagai lagi.

Selain itu, sebuah Kejuaraan Perlumbaan Ultimate Hot Wheels telah diadakan. Peringkat kelayakan telah bermula dari 15 Februari sehingga 3 Mac yang berlangsung di lokasi-lokasi yang terpilih seluruh Malaysia.

Bagi acara kemuncak kejuaraan Hot Wheels Let’s Race ini akan diadakan di ruang legar IOI City Mall bermula dari 5 Mac hingga 10 Mac 2024 dan pertandingan akhir bagi kejuaraan ini adalah pada 9 Mac, diikuti dengan kejuaraan kategori terbuka pada 10 Mac.

Ruang legar IOI City Mall akan berubah menjadi sebuah Bandar Hot Wheels bersaiz sebenar yang penuh keasyikan seperti yang disiarkan dalam siri tersebut.

Pengunjung boleh menantikan sebuah Ultimate Garage sebagai acara tumpuan utama dan pelbagai set permainan lain dari Hot Wheels City.

Acara tersebut akan dibahagikan kepada empat zon bagi para pelumba muda untuk mereka meneroka dan menakluk:

  • Zon Pitstop Hot Wheels adalah tempat di mana pelumba muda boleh mencuba pakaian perlumbaan untuk sesi bergambar.
  • Zon Garage Hot Wheels adalah tempat di mana pelumba muda boleh menguji kepantasan tangan mereka untuk menukar tayar semasa perlumbaan besar!
  • Di Zon Test Drive Hot Wheels, pelumba boleh cuba berlumba dalam permainan Hot Wheels Unleashed 2.0 sebelum perlumbaan besar mereka!
  • Akhir sekali pelumba akan menerima cabaran Zon Lumba Hot Wheels dengan melaungkan “Challenge Accepted!” ke Raceway Challenge, Cobra Challenge dan Flame Challenge

Pelumba yang berjaya menyelesaikan aktiviti mereka di setiap stesen, akan menerima Hot Wheels Flame Badge sebagai cenderahati untuk dibawa pulang.

Hot Wheels Proton Saga 1985 bakal dikeluarkan hasil kerjasama Mattel dan Proton!

SUDAH menjadi impian peminat permotoran dan pengumpul model die-cast di Malaysia untuk melihat model Proton dikeluarkan secara rasmi oleh Hot Wheels. Impian anda akan menjadi kenyataan kerana Proton Saga 1985 akan diabadikan dalam bentuk die-cast skala 1:64!

Ini merupakan hasil kerjasama antara Mattel Malaysia Sdn Bhd (MMSB) dan Proton, sempena sambutan ulangtahun ke-40 syarikat pengeluar mainan itu di negara ini.

Model Hot Wheels baharu itu dijangka akan mula dihantar dan dijual di seluruh dunia menjelang hujung tahun depan.

Penulis sebagai pemilik Proton dan pengumpul Hot Wheels pastinya mengalu-alukan projek dan kerjasama sebegini.

Diharapkan mereka boleh juga merealisasikan die-cast model-model ikonik Proton yang lain seperti Wira, Putra, Satria GTi, Satria R3, Satria Neo R3, Arena, dan Perdana. Malah masukkan sekali model terkini Proton seperti X70 dan X50, pasti menarik.

Untuk pengetahuan, Mattel mempunyai kilang pengeluaran di Perai, Pulau Pinang dan fasiliti itu merupakan pusat pengeluaran Hot Wheels terbesar di dunia dengan kapasiti pengeluaran sembilan juta kereta seminggu.

Dalam perkembangan sempena ulangtahun ke-40 itu juga, MMSB mengumumkan bahawa mereka akan memperbesarkan kilang itu dengan kerja-kerja dijangka siap pada Januari 2023. Pembesaran ini dikatakan akan meningkatkan kapasiti pengeluaran sebanyak 20 peratus menjelang 2025.

MMSB pada masa ini mempunyai 3,900 pekerja dan jumlah ini akan ditambah menjadi sekitar 4,300 orang selepas kilang itu dibesarkan.