Arkib Tag: Manchester United

Youtuber beli Rolls-Royce Wraith Mansory milik Marcus Rashford

SEORANG Youtuber terkenal dari United Kingdom telah membeli Rolls-Royce Wraith milik penyerang Manchester United, Marcus Rashford yang rosak akibat kemalangan.

Kejadian itu berlaku pada September tahun lalu ketika Rashford keluar meninggalkan pusat latihan Carrington di Manchester selepas tamat perlawanan menentang Burnley.

Dia dikatakan melanggar sebuah lagi kereta yang dipandu oleh seorang wanita berusia 74 tahun sebelum merempuh tiang lampu berdekatan.

Rashford dan wanita itu tidak cedera namun kereta bernilai £700,000 (RM4.2 juta) itu mengalami kerosakan yang agak teruk.

Disebabkan kerosakan itu, Wraith itu dilelong dalam talian dan akhirnya dibeli oleh Mat Armstrong pada harga yang jauh lebih murah iaitu £184,000 (RM1.1 juta).

Perlu diingat yang ini bukan Wraith biasa-biasa – ia dikustom oleh Mansory dan didatangkan dengan komponen-komponen forged carbon dan pelbagai lagi ciri tambahan yang menjadikan ia lebih eksklusif.

Dalam satu video berdurasi lebih 30 minit, Armstrong memperincikan setiap kerosakan yang dialami oleh kereta tersebut.

Seperti yang boleh dilihat, keseluruhan bahagian hadapan termasuk gril, bampar, lampu dan fender hilang terus, manakala cermin sisi dan tingkap sebelah kiri pecah akibat perlanggaran itu.

Lebih teruk lagi, sistem suspensi sebelah kiri juga telah patah. Bahagian belakang kelihatan masih elok cuma sebahagian besar daripada bampar terkoyak dan but pula terkeluar sedikit.

Ketika kereta ini dibeli oleh Armstrong, ia mempunyai perbatuan yang sangat rendah iaitu sekitar 1,135 batu (1,827 km) sahaja.

Enjin 6.6-liter V12 itu pada mulanya gagal dihidupkan walaupun pengimbas menunjukkan yang ia tidak mempunyai sebarang kerosakan. Namun setelah beberapa kali mencuba, akhirnya enjin itu hidup semula.

Armstrong berkata misinya adalah untuk membaik pulih sepenuhnya Wraith itu supaya ia boleh dipandu semula. Walaupun enjin sudah boleh dihidupkan, dia masih lagi perlu mencari komponen dan alat ganti yang sesuai.

Bagi Rashford, kehilangan Wraith Mansory ini bukanlah suatu perkara yang besar kerana dia masih lagi mempunyai sekurang-kurangnya dua buah lagi Rolls-Royce dan beberapa kereta mewah lain termasuk sebuah McLaren 765LT dan Lamborghini Urus Performante.

Sultan Brunei miliki ribuan jenis kereta, koleksi cecah RM22.57 bilion!

MINAT mendalam Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah terhadap kereta mewah sememangnya telah diketahui seantero dunia.

Baginda bukan sahaja memiliki pelbagai jenis jenama kereta mewah malah, mempunyai ribuan unit kenderaan dijadikan sebagai koleksi peribadi.

Memetik laporan Daily Star, nilai keseluruhan koleksi kenderaan dimiliki Sultan Hassanal kini mencecah lebih empat billion pound atau bersamaan RM22.57 bilion!

Fakta lebih mengejutkan jumlah tersebut jauh melebihi nilai keseluruhan kelab bola sepak terkemuka, Manchester United.

Setakat ini, Manchester United dianggarkan bernilai sekitar 3.08 bilion pound atau RM17.38 bilion.

Koleksi kereta Sultan Hassanal

Foto ihsan Agensi

Sultan Hassanal dikatakan mempunyai 600 buah kereta Rolls Royces dan lebih 570 kereta jenama Mercedes-Benz.

Pada masa sama, Sultan Hassanal juga memiliki lebih 450 kereta Ferrari dan 380 model Bentley.

Memetik laporan berita itu lagi, baginda memiliki nilai kekayaan bersih sekitar 13 bilion pound atau RM73.36 bilion.

Berikut antara koleksi kereta mewah milik Sultan Hassanal Bolqiah seperti dilaporkan portal hotcars.com:-

Ferrari 456 GT Spyder

Foto ihsan hotcars

Model Ferrari ini dicipta khas buat Sultan Brunei dengan anggaran kos lebih AS$1.5 milion.

Kereta ini bukan sahaja kelihatan elegan tetapi lebih penting kuasa enjin terdapat padanya.

Ferrari 456 GT Spyder mampu mencapai 0-100 km/j hanya dalam masa lima saat dan kelajuan maksima adalah lebih 300 km/j.

BMW Nazca C2

Foto ihsan Wikipedia

Pernah dipertonton di Detroit pada tahun 1992, model ini antara kebangaan BMW.’

Berdasarkan spesifikasi kereta ini, ia mempunyai tahap kepantasan terbaik iaitu hanya mengambil masa 3.7 saat untuk mencapai kelajuan 0-100 km/j.

Selain itu, harga bagi sebuah model ini boleh mencecah lebih RM4 juta.

Aston Martin V8 Vantage Special Series II

Foto ihsan hotcars

Sultan Hassanal adalah satu-satunya pemilik model ini yang mana ia dicipta khas untuk baginda.

Terdapat tiga jenis model ini dan kesemuanya juga khusus untuk kegunaan peribadi Sultan Hassanal.

Model ini memiliki lebih 600 kuasa kuda yang mana kelajuan 0-100 km/j adalah hanya 4.4 saat sahaja.

Kelajuan maksimum Aston Martin V8 Vantage Special Series II ini pula adalah sekitar 330 km/j.

Jadi, adakah anda akan mengikut jejak langkah sama seperti Sultan Hassanal jika memiliki kekayaan seperti baginda?

Tepuk dada tanya selera!