Arkib Tag: LPT2

Stesen pengecasan DC 180 kW Shell Recharge kini tersedia di R&R Paka LPT2

Pengguna Lebuhraya Pantai Timur yang mahu menuju ke Kelantan dan Terengganu, terutama pemilik EV kini boleh menggunakan stesen pengecasan berprestasi tinggi (HPC) Shell Recharge di dua lokasi baharu di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Lokasi HPC yang dimaksudkan itu ialah di Shell R&R Paka (kedua-dua arah Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu).

Dengan kemudahan pengecasan pantas sehingga 180 kW, ia mampu menjadikan perjalanan ke Pantai Timur yang lebih lancar dan boleh mengurangkan isu kebimbangan jarak untuk komuniti EV yang semakin berkembang.

 


Buat masa ini, pihak Shell masih lagi berusaha untuk menyiapkan stesen pengecasan di Shell R&R Temerloh (Arah KL), Lebuhraya Pantai Timur 1.

Apabila stesen ini siap kelak, ia bakal melengkapkan lagi rangkaian stesen HPC yang terdiri daripada 13 buah stesen di Semenanjung Malaysia, membolehkan EV yang serasi dicas 0-80 peratus dalam tempoh 30 minit.

Selain infrastruktur pengecasan, Shell juga mahu memastikan pemilik dan pemandu EV mempunyai akses kepada kemudahan penting seperti ruang rehat, kedai serbaneka, serta pilihan makanan dan minuman di Shell Café untuk perjalanan yang lebih menyenangkan.

Bersempena dengan musim perayaan Aidilfitri, Shell menawarkan rebat kredit eksklusif untuk pemilik EV yang menggunakan Shell Recharge di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur.

Bermula 24 Mac hingga 4 April, pemandu EV yang menggunakan aplikasi ParkEasy di lokasi HPC akan menerima ganjaran seperti berikut:
• Rebat kredit 100 peratus untuk ahli Platinum
• Rebat kredit 50 peratus untuk ahli Gold dan Standard (pay-per-use)

Rebat tersebut akan dikreditkan dalam tempoh tujuh hari selepas kempen berakhir, tertakluk kepada terma dan syarat.

Berikut merupakan senarai stesen pengecasan HPC Shell Recharge di seluruh negara:

1. Highlands Hotel, Genting Highlands
2. Shell R&R Tangkak PLUS (arah Selatan)
3. Shell R&R Pagoh PLUS (arah Utara)
4. Shell R&R Seremban PLUS (arah Utara)
5. Shell R&R Seremban PLUS (arah Selatan)
6. Shell RTC, Simpang Pulai PLUS
7. Shell R&R Tapah (arah Selatan)
8. Shell D’Alpinia LDP
9. Shell R&R Temerloh LPT1 (arah Timur)
10. Shell R&R Paka LPT2 (arah Kuala Terengganu)
11. Shell R&R Paka LPT2 (arah KL)
12. Shell R&R Perasing LPT2
13. Shell R&R Temerloh LPT1 (arah KL) – bakal dibuka

 

Tanah runtuh LPT2: Laluan kedua-dua arah kini dibuka semula

INI perkembangan terbaharu untuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berkenaan tanah runtuh yang berlaku pada Isnin lepas (19 Disember). Kemaskini ini dihantar oleh pihak lebuhraya berkenaan.

Gambar oleh: Twitter LPT2 Trafik

Semalam, LPT2 telah dibuka untuk laluan arah selatan iaitu dari Kuala Terengganu ke Kuantan, tetapi laluan arah utara masih ditutup dari Dungun ke Ajil. Hari ini, laluan berkenaan tidak lagi ditutup, bermakna LPT2 kedua-dua arah kini dibuka.

Gambar keadaan cerun runtuh di LPT2 yang tular di media sosial.

Walaubagaimanapun, kerja-kerja masih berjalan dan anda akan perlu memperlahankan kenderaan di kawasan terjejas untuk arah utara. Air banjir telah memasuki beberapa kawasan berdekatan R&R Bukit Besi, jadi laluan kecemasan masih ditutup.

Di kawasan berlakunya tanah runtuh (KM393.4), beberapa lorong telah ditutup, tetapi laluan kontra telah diaktifkan. Jadi, sentiasa peka dengan papan tanda dan arahan petugas lebuhraya.

Dilaporkan juga ada lorong kecemasan ditutup sekitar KM415. Laluan arah selatan semuanya dibuka tetapi anda akan perlu memperlahankan kenderaan kerana terdapat lorong kontra.

Apa pun, selamat memandu, rancang perjalanan anda, dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

Laluan KM392.4 arah utara LPT2 ditutup akibat cerun runtuh

LEBUHRAYA Pantai Timur 2 (LPT 2) Sdn. Bhd. mengumumkan penutupan laluan di Kilometer (KM) 393.4 menghala ke Ajil, daerah Hulu Terengganu susulan kejadian cerun runtuh pada pukul 11.10 malam tadi.

Dalam satu kenyataan di akaun Facebook rasmi, syarikat itu berkata kejadian itu berlaku di dalam laluan kontra yang telah dibuka lebih awal akibat kejadian banjir lumpur pada sebelah pagi.

“Berhubung dengan kejadian awal banjir lumpur yang telah dilaporkan berlaku pada jam 11.30 pagi, 18 Disember 2022, laluan Kontra telah diaktifkan di KM392.4 – KM394.6 bagi kerja-kerja pembaikan.

Namun begitu, pada jam 11.10 malam, 18 Disember 2022 satu lagi kejadian cerun runtuh telah berlaku di KM393.4 arah Utara menghala ke Ajil dan kejadian tersebut telah berlaku di dalam laluan kontra yang telah diaktifkan sebelumnya,” katanya.

Sebagai langkah keselamatan serta bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan tapak, LPT2 telah mengaktifkan “mandatory exit” di Plaza Tol Dungun dan Plaza Tol Ajil.

Ini bermakna, semua kenderaan dari arah Kuantan akan dilencongkan keluar ke Plaza Tol Dungun, manakala kenderaan dari arah Kuala Terengganu akan dilencongkan keluar ke Plaza Tol Ajil.

Sementara itu, dalam kemaskini semasa yang dihantar hari ini, LPT2 berkata perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan/Kuala Lumpur menggunakan LPT2 masih boleh dilalui oleh semua kenderaan seperti biasa.

Pemandu yang keluar dari Plaza Tol Dungun pula dinasihatkan untuk menggunakan Jalan Pantai (FT03) untuk menuju ke Kuala Terengganu.

Kerajaan tangguh kenaikan kadar tol Kesas, SKVE dan LPT2

KERAJAAN tidak bercadang melaksanakan kenaikan kadar tol bagi tiga lebuh raya tahun ini.

Tiga lebuh raya berkenaan adalah Lebuh raya Shah Alam (Kesas), Lebuh raya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Keputusan dibuat atas dasar prihatin terhadap peningkatan kos sara hidup rakyat kesan penularan wabak Covid-19.

Selain itu, kerajaan terus menangguhkan kenaikan kadar tol semua kelas kenderaan melibatkan 21 lebuh raya dan satu plaza tol.

Antara lebuh raya dimaksudkan adalah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya KL – Putrajaya (MEX).

Penangguhan menyaksikan kerajaan perlu menanggung kos pampasan sebanyak RM2.25 bilion.

Anggaran pampasan dibuat berdasarkan formula pengiraan yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

Jumlah sebenar bayaran pampasan tol akan ditentukan selepas proses verifikasi trafik dilakukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.